Opinion

Perkembangan seni jalanan hari ini

Bengkel Pemantapan Seniman Jalanan selama 3 hari bermula 14 hingga 16 Disember 2015 untuk busker sekitar ibu kota. – Gambar ihsan penulis, 17 Disember, 2015.Bengkel Pemantapan Seniman Jalanan selama 3 hari bermula 14 hingga 16 Disember 2015 untuk busker sekitar ibu kota. – Gambar ihsan penulis, 17 Disember, 2015.Baru-baru ini diadakan program 'Bengkel Pemantapan Seniman Jalanan' yang berlangsung selama 3 hari bermula 14 hingga 16 Disember 2015.

Program yang dirasmikan datuk bandar yang baru dilantik pada 18 Julai 2015 lalu, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz bertempat di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi (Karyawan) dengan kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Saya turut terlibat sebagai peserta dalam program tersebut. Bagi saya, ini satu program atau inisiatif bermanfaat daripada DBKL mahupun Karyawan untuk memartabatkan imej atau taraf para seniman jalanan atau busker ke satu tahap yang lebih baik.

Selain pemuzik, golongan pelukis, artis jalanan seperti badut antaranya turut terlibat dalam program ini.

Isu utamanya adalah pemberian permit untuk golongan busker. Ia mengikut pandangan DBKL sebagai satu simbolik pengiktirafan kerjaya sebagai seniman jalanan sebagaimana kerjaya lainnya.

Dengan tema "KL Permai" dan Merakyatkan Seni Kepada Masyarakat, DBKL dan Karyawan akan berusaha menjadikan golongan seniman jalanan ini sebagai satu produk penyeri dan keceriaan Kuala Lumpur.

Seandainya kualiti dan variasi seni jalanan ini berkembang dan bertambah baik, tidak mustahil suatu hari nanti Kuala Lumpur akan dikenali sebagai kota budaya hebat setaraf dengan lokasi lain seperti Harajuku, Melbourne dan lain-lainnya.

Pelbagai taklimat juga diadakan Jabatan Penguatkuasa DBKL, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Pejabat Cawangan Bukit Bintang DBKL.

Juga untuk program bengkel tersebut, dijemput pemuzik dan pelukis profesional yang memberi taklimat dan tips kepada para peserta.

Perkongsian Tips kemahiran dan saranan antara para seniman jalanan dan golongan profesional di dalam bidang seni adalah bagi memberi motivasi kepada golongan seniman jalanan yang hadir ke Seminar ini.

Antara maestro yang turut membantu ialah Tom Anuar (perkusi/cajon), Norman Omar (bass) Jay2 & Manbai (vokal), Fauzi Marzuki (gitar), Amron Omar (seni tampak), Sani Sudin (bengkel penghayatan seni) dan Helmi the Gimmik (motivasi), Aru ROB & Kudin Headwind (audition).

Saya berbual panjang dengan orang kuat Karyawan, Ahmad Adullah, pengurus besar di persatuan tersebut tentang program yang berlangsung sehinggalah kepada perkembangan dunia busking dari era dulu sampailah sekarang.

Menurut beliau, idea untuk program seni persembahan jalanan ini bermula sejak 2006 lagi, yang berlokasi di Laman Budaya, dengan konsep 'live' yang santai dan persembahan pemuzik variasi sifatnya.

2011 mereka mula memikirkan secara serius tentang pemberian permit untuk seniman jalanan. Ia setelah terdapat insiden busker yang dihalau DBKL kerana membuat persembahan di kawasan yang tidak dibenarkan waktu itu seperti di kompleks beli belah Sogo mahupun di Bukit Bintang.

Setelah itu 2 tahun kemudiannya dilangsungkan program pemberian permit untuk busker, yang berlangsung di Balai Seni Lukis. Itulah pertama kali di mana seramai 280 busker yang terlibat dalam sesi uji bakat mendapatkan permit tersebut.

Saya turut menjalani sesi uji bakat kali ke-2 yang berlangsung di Pavillion, Bukit Bintang di penghujung 2013 dulu.

Pada 2014 seramai 300 peserta yang terlibat dalam program pemberian permit yang berlangsung di Pusat Komuniti Sentul Perdana, tempat sama berlangsungnya program tersebut baru-baru ini.

Cuma pada kali ini bilangan pesertanya berkurangan iaitu seramai 260 peserta. Apabila ditanya akan sebab hal itu, Ahmad berkata, ia adalah soal persepsi masing-masing yang mana menurut beliau terdapat rungutan segelintir busker yang mengatakan, ada atau tidak ada permit, ia tidak membawa apa-apa perubahan pun.

Juga isu pendatang asing Filipina dan Indonesia yang semakin memenuhi lokasi busking di Kampung Baru dan kawasan Kuala Lumpur ini sehingga warga busker tempatan sukar untuk busking, isu ini sentiasa dititik-beratkan dari masa ke semasa.

Idea dan keprihatinan tentang isu busker ini asalnya datangnya daripada datuk bandar DBKL yang terdahulu, Tan Sri Ahmed Phesal Talib yang menjawat jawatan itu dari 18 Julai 2012 hingga 17 Julai 2015. Sehingga waktu itu, golongan busker ialah Projek Anak Angkat DBKL.

Juga dengan terlaksananya sistem permit, secara tidak langsungnya golongan busker bukanlah termasuk dalam golongan peminta sedekah yang terdapat dalam Akta Orang Papa/ Pengemis 1977.

Untuk perancangan jangka masa panjang pula, banyak rancangan kebaikan dan masa depan golongan seniman jalanan ini, antaranya tentang lokasi strategik, tentang rumah PPRT dan sebagainya lagi.

Golongan busker tidak boleh dikategorikan sebagai pengemis kerana mereka memperagakan bakat yang dimiliki kepada masyarakat secara terbuka walaupun di jalanan. Mereka umpama peniaga yang menjual bakat mereka untuk dinilai dan dipertontonkan.

Donation atau penghargaan mahupun derma dari mereka yang lalu lalang adalah budaya biasa di dalam kerjaya busking kerana mereka juga manusia yang perlu meneruskan hidup. Untuk hidup kita perlukan ringgit. Ia sama juga seperti pekerjaan lain. Jadi sokongan masyarakat sangatlah dihargai.

Sebenarnya busking adalah aktiviti sihat dan berfaedah untuk anak muda. Ia juga menguntungkan pihak penguasa mahu pun kerajaan kerana secara tidak langsung akan menjadi satu tarikan kepada masyarakat juga para pelancong dari luar negara khususnya untuk menikmati muzik secara percuma. Oleh itu sokongan berterusan kerajaan sangatlah diperlukan untuk membawa mereka ke arah yang lebih baik dan maju. – 17 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments