Opinion

Politik dan kesetiaan

Orang politik atau politician adalah golongan yang hebat dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Saya salut mereka! Bukan menyindir, mereka bagi saya orang-orang penting yang terpilih untuk melengkapkan siri dan perjalanan cerita negara kita yang tercinta ini.

Memanglah kebanyakan mereka yang menceburi dunia politik akan mendapat imbuhan lumayan dan kemewahan yang tidak pernah kita bayangkan.

Tapi mungkin juga apabila malam menjelma sampai ke subuh, mata mereka masih tidak mampu terlelap dek sibuk memikirkan tentang cerita-cerita nafsu yang mereka hadap di siang hari itu berbanding kita golongan biasa ini yang walau tidak sehebat mereka, masih mampu mendakap tenang jiwa.

Landskap dan senario politik kita hari ini juga semakin menarik berbanding dulu. Hari ini kanak-kanak dan pelajar sudah terdedah pada politik dan istilahnya. Watak-watak penting juga bermain dengan jaya dan menarik sehingga mampu membuatkan rakyat menjadi keluh kesah dalam suka mahupun duka.

Berbanding zaman dulu, hari ini yang menceburi dunia politik adalah di kalangan mereka yang profesional dan businessman. Dulu biasanya orang politik hanyalah mereka yang berkerjaya sebagai guru. Jadi nilai kepentingan waktu itu pun kuranglah berbanding hari ini.

Tidak kira sama ada mereka itu di pihak kiri mahupun kanan. Saya tidak menilai mereka itu sebagai orang baik atau orang jahat. Mungkin di kalangan mereka ada baik dan ada jahat. Yang itu akan cakap yang ini jahat dan yang ini pula akan cakap yang itu jahat.

Saya percaya pada kifarah dan qada serta qadar. Kita bertanggungjawab atas setiap apa yang kita lakukan di dunia ini. Kita akan menerima segala yang baik mahupun yang buruk kerana segalanya sudah pun tertulis di luh mahfuz.

Mereka hadir di pentas kehidupan kita dan memainkan peranan penting. Penting kerana akan terbentuklah keputusan dan kesempurnaan versi mereka untuk kita tatap dan hadap. Kita penting untuk kesejahteraan dan keberadaan mereka.

Saya tidak sanggup dan tidak mampu menjadi ahli politik. Lebih baik jadi orang biasa yang kalau pun ada kepentingan masih di tahap yang sederhana. Berbanding mereka yang berada di atas sana atas dasar kepentingan dan agenda.

Untuk menjadi politician, mental perlu kuat. Dihina, dicaci, dipuji, disanjung, segalanya bercampur dan kalau mental tidak kuat, kita boleh masuk Tanjung Rambutan.

Saya melihat antara perkara yang paling penting dalam politik adalah “kesetiaan”. Ia inti kepada sebuah cerita yang namanya kehidupan dan kepercayaan. Ia pengorbanan yang mutlak.

Hang Tuah legenda orang Melayu dipertikai kewibawaannya kerana kesetiaan yang melulu kepada rajanya. Hang Jebat dianggap hero, jiwa rebel memberontak atas dasar kebenaran. Tapi bukankah Hang Tuah itu lambang kesetiaan sejati dan atas dasar kesetiaannya kepada raja, melebihi segala apa yang ada ditubuh dan yang apa yang disayangnya?

Jika kita mendalami akan makna kesetiaan,ianya sebuah misteri yang sukar untuk diungkapkan. Antara kebenaran dan dusta,antara kasih sayang dan benci. Segalanya terkumpul,bercampur menjadi subjek kesetiaan.

Dalam hikayat Seri Rama, Indrajit mati di tangan Letchumanan kerana kesetiaan kepada ayahnya Rawana walau dia tahu ayahnya itu lambang kejahatan sejagat. Walau dia tahu dia akan mati,walau dia tahu Rawana juga akan mati di tangan Seri Rama.

Walau dia tahu kebenaranlah yang akan duduk di atas takhta akhirnya. Semuanya kerana kesetiaan kepada ayahnya yang memberikan kasih sayang yang tak berbelah bagi kepadanya.

Seorang kawan suatu hari meminta pendapat saya tentang konflik antara dia dan ayahnya, yang mana katanya, ayahnya gagal berfungsi sebagai seorang ayah sepatutnya. Segala sifat yang tidak baik seperti kaki mabuk,berjudi dan berbagai lagilah.

Dan kebencian kepada ayahnya sering mengganggu mindanya. Begini, “tugas kamu adalah menghormati ayahmu walau siapa pun dia kerana itu tanggungjawab kamu sebagai anaknya. Tanpa dia, kamu tidak lahir ke dunia ini. Berdoalah semoga dibukakan pintu imannya semoga segalanya kembali seperti yang kamu mahukan”

Memang kadang-kadang kita tidak bernasib baik kerana mendapat seorang bapa yang tidak bertanggungjawab terhadap anak dan keluarganya. Namun untuk menghukum mereka, itu bukanlah sesuatu yang adil yang perlu kita lakukan. Sebab? Kerana merekalah kita lahir ke dunia. Walau siapapun mereka, mereka tetap ibu dan bapa kita.

Kita perlu melihat dunia dan perlakuannya dari atas agar kita lebih nampak banyak sisi. Kita perlu juga melihat pada hakikat kehidupan dan permainannya. Emosi perlu untuk mencorak rasa amarah atas nilai kehidupan dan keadilan yang katanya makin terhakis, namun rasional itu masih subjek terbaik yang harus kita tanamkan di jiwa.

Politik adalah kepentingan. Ia adalah fitrah kehidupan. Kita buka sahaja mata sewaktu lahir ke dunia mulut kita akan ternganga untuk mencari susu ibu. Siapa mengajarnya?

Membesar daripada kanak-kanak, remaja sehinggalah mencapai usia dewasa, walau kita tidak bekerja sebagai orang politik, pun untuk membentuk nilai kesempurnaan dan kematangan dalam masyarakat, kita perlu tahu apa itu politik dalam istilah yang sebenarnya. – 26 Februari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments