Opinion

Pursuit of Happyness dan sebuah kehidupan

Poster filem 'Pursuit of Happyness' yang dibintangi Will Smith dan anaknya.Poster filem 'Pursuit of Happyness' yang dibintangi Will Smith dan anaknya.“Pursuit of Happyness” adalah sebuah filem biografi yang sangat menarik tentang kepayahan hidup Chris Gardner, seorang “salesman” yang gelandangan dan bergelut dengan kesukaran hidup di kota besar San Francisco yang akhirnya menjadi seorang broker saham yang kaya.

Will Smith dan anaknya memberikan lakonan yang berkesan dalam filem keluaran tahun 2006 ini.

Dari menyewa sebuah apartmen yang kecil, tidak punya duit untuk meneruskan kehidupan, isteri pun cabut lari, akhirnya tidur di tempat awam bersama anaknya yang berumur 5 tahun.

Atas tekad yang kuat untuk mencapai bintang di langit, akhirnya Gardner berjaya menjadi pelatih terbaik dan diterima bekerja di syarikat saham Dean Witter Reynolds.

Saya berulang kali menonton filem ini sebab saya pernah melalui zaman susah sama seperti Gardner, walau tak sehebat Gardner, namun saya pernah melaluinya dan ia memang mengajar kita erti hidup yang sebenar.

Rumah sewa tak mampu nak bayar, kereta kena tarik, hutang sana sini, kehilangan kerja dan bergelut siang malam untuk menyara kehidupan dan keluarga, untuk meneruskan kehidupan.

Cuma saya tidaklah sampai tinggal di bawah jambatan.

Di waktu itu kita ingat dan congak pendapatan busking mungkin boleh menampung keperluan keluarga.

Namun ianya tidaklah semudah yang kita gambar dan rencanakan. Seawalnya kita berasa seperti burung yang bebas, boleh keluar sesuka hati berbeza sewaktu zaman kita bekerja dulu, pukul 8 sudah mula keluar rumah.

Pun banyak faktor juga yang akan menjadikan perjalanan hidup kita hari itu kurang menarik dan berserabut.

Siapa yang nak hidup susah? Semua kita kalau boleh tak mahu hidup susah. Akan tetapi kesusahan itu akan kita tempuh juga untuk melengkapkan perjalanan hidup kita sebagai insan di mukabumi ini. melepasi dan mengenang musim susah adalah antara perkara penting yang perlu kita simpan dan kenang.

Ianya refleksi diri dan proses muhasabah yang paling berkesan untuk kita mengenang asal usul kita. Bila kita berada dalam zon yang selesa, kadang itu buat kita mudah lupa.

Umpamanya hari ini kita makan makanan yang sedap belaka, tak sedap kita mula merungut.

Padahal dulu kita makan hanya ikan masin berlaukkan kicap sahaja.

Saya pernah bermalam di lokap selama 4 malam. Makanan yang dihidang hanyalah ikan kembung yang sudah basi dan sayur yang tak sedap langsung.

Pengalaman itu membuatkan saya tidak kisah apa makanan yang dihidang kerana ianya jauh lebih sedap dari makanan sewaktu di dalam lokap dulu.

Suatu yang saya dapat dari “Pursuit of Happyness” adalah tentang ketekunan dan kesabaran. Kita perlu tekun dengan apa yang kita lakukan. Kita perlu fokus apa yang kita mahu dalam hidup ini.

Kita boleh saja memilih menjadi gelandangan atau penganggur sepanjang hayat kita, jika itu yang kita mahu. Atau si Gardner yang “give up” dan menghabiskan saki baki hayatnya dengan menjadi gelandangan. Semuanya di tangan kita.

Saya melihat di KL Sentral sahaja, ramai gelandangan yang tanpa rumah tidur di sekitar bangunan tersebut bila malam menjelang tiba.

Di waktu siangnya pula kita akan lihat ramai para warga yang tidak punya kerja melainkan meminta simpati dari pengunjung untuk menghulur seringgit dua.

Saya berfikir, kebanyakan mereka ini ada yang muda-muda, mengapa tidak mahu bekerja sebagai tukang sapu atau pembersih, paling tidakpun bekerja di restoran makanan segera atau di 7 Eleven.

Mengapa memilih untuk meminta-minta?

Kalaulah mereka ini mahu bekerja di tempat-tempat yang saya sebutkan tadi, kita tak perlu mengambil warga asing yang jumlahnya hari ini semakin ramai memenuhi ruang sesak di kota besar ini.

Akhirnya saya berfikir memang mereka ini dilahir dan ditakdirkan untuk menjadi peminta sedekah.

Nyata mereka selesa dengan watak pelengkap yang mereka lakonkan, walau jalan untuk menuju terang tidak pernah ditutup, hanya mereka sendiri yang menutupnya.

Saya suka mengambil contoh salah seorang pelajar gitar saya yang sudah belajar dengan saya selama 5 tahun. Dia datang belajar dengan saya dari ‘kosong’ pada tahun 2010 dulu.

Hari ini pelajar saya ini sudah boleh bermain gitar dan nyanyi. Bagi saya itu bagi itu satu peningkatan dan pencapaian yang membanggakan. Yang penting kita tahu apa objektif kita.

Kita perlu tekun dengan apa yang kita lakukan sebab segala urusan yang melibatkan hal hal duniawi ini tidak akan selesai dalam sehari. – 22 Januari, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments