Hidup kita singkat, sesingkat sebatang rokok yang kita hisap. Nyalakan api, sedut asapnya, keluar masuk sehingga habis sebatang. Apa yang kita dapat daripada sebatang rokok?
Kepuasan, atau mungkin juga menanggung kesan penyakit yang bakal singgah?
Bak kata Bob Dylan dalam lagu “masterpiece”nya “Blowin in the Wind”, “ the answer my friend, is blowin in the wind...the answer is blowin in the wind”
Mengapa kita atau mereka merokok? Bukannya ada apapun.
Telan asap keluar masuk berserta nikotin. Itu tetap menjadi misteri bagi sang perokok. Bak kata pujangga, hanya jauhari yang mengenal manikam.
Ahh, itu hanyalah alasan. Kita sudah sebati dengan candu dalam badan, nak buang bukannya senang. Itu jawapan yang lebih jujur sebenarnya.
Saya mula merokok sejak tahun 80-an lagi. Waktu itu harga rokok Dunhill kotak besar tidak sampai RM3 rasanya.
Tahun 1997 harga sekotak Dunhill naik kepada RM3.70. Kalau gaji RM500 sebulan, masih mampu beli lagi.
Tahun demi tahun harganya makin naik, masih tidak terasa kesannya walaupun mungkin menjangkau RM10 sekotak.
Sebabnya harga rokok naik sedikit demi sedikit, 20 sen atau 30 sen, itu kita tidak terasa sangat.
Di zaman ini jenama yang paling popular masih lagi Dunhill dan Winston Light. 5 tahun lepas saya bertukar daripada Dunhill kepada Winston Light kerana harga rokok naik waktu itu. Sekotak Dunhill besar sudah mencecah lebih RM10, sedang Winston Light hanya RM8.50 sahaja.
Kemudian tidak berapa lama masa berlalu, harganya naik lagi. Sekotak Dunhill besar harganya RM13 dan Winston Light RM11.50. Kali terakhir harga rokok naik pada 13 September 2013.
Maknanya selang setahun harga rokok naik. Sebelumnya hanya naik 20 sen sahaja pada 22 Oktober 2012.
Sehinggalah baru ini harganya naik sehingga RM3, itu memang kita akan terasa.
Bayangkan tahun 1997, harga rokok gred A RM3.70 sekotak besar, hari ini harganya RM17 lebih. Berapa ratus peratus kadar kenaikannya?
Harga rokok tidak akan turun, malah akan naik dan naik lagi. Kalau sekotak harganya RM20, sebulan kita terpaksa berbelanja sebanyak RM600 atau mungkin lebih. Ini sudah menjadi santapan ekslusif bagi golongan yang berkemampuan sahaja.
Bayangkan jika pendapatan kita RM3000 sebulan. Sewa rumah RM700, duit kereta RM600, bil itu ini sekitar RM500, duit rokok RM600. Makan minum, anak sekolah?
Memang “sangap” jadinya.
Jadi kesimpulannya, jika kita perlu berbelanja untuk rokok sebanyak RM600 sebulan, maknanya kadar pendapatan kita perlu sekitar RM8 ribu atau lebih.
Sekotak rokok kotak besar hari ini harganya sama dengan harga beras 10 kg atau harga seekor ayam.
Inilah kenyataannya.
Berbual dengan seorang kawan, katanya dia menyesal kerana sewaktu berada di Mekah beberapa tahun yang lalu, tidak terlintas dihatinya untuk berdoa kepada Tuhan supaya berhenti merokok.
Sambil menghembus asap daripada rokok gred A yang dihisapnya, dia merenung jauh sambil menghitung beban dan kos harga rokok yang makin melambung naik.
Kesannya juga, syarikat rokok bakal menanggung kerugian yang besar kerana perokok punya alternatif lain. Mereka akan beralih ke rokok eletronik atau vape, rokok daun, rokok gulung tembakau atau rokok seludup.
Hari ini vape sudah menjadi satu fenomena. Di mana saja ianya sudah menjadi satu trend atau budaya anak muda hari ini.
Memang menjimatkan, dalam seminggu sehingga kita hanya perlu berbelanja sebanyak RM30 ringgit sahaja. Cuma perlu keluar modal untuk membeli kos peralatannya sekitar RM 300 ke atas.
Semakin ianya menjadi isu dan kontroversi, semakin bertambahlah jumlah penggunanya. Ada yang nak berhenti rokok, mereka beralih ke vape. Ada yang hisap vape untuk disesuaikan dengan trend zaman sekarang.
Yang mana merasa tidak sesuai dengan vape, mereka akan beralih ke rokok seludup yang harganya jauh lebih murah daripada harga rokok semasa yang dijual di kedai.
Kos sara hidup memang memeningkan kepala jika kita tinggal di kota besar seperti Kuala Lumpur. Tidak hairanlah semakin ramai para warga yang dilanda sakit jiwa kerana otak mereka sarat dengan beban dan masalah yang terpaksa dipikul.
Waktu demi waktu berlalu, ada antara kawan saya yang berjaya berhenti merokok. Cuma saiz badan mereka makin berisi berbanding sewaktu merokok dulu.
Hasilnya bila harga rokok naik dan naik, mereka akan tersenyum sebab satu beban dah lepas, sedang kita yang masih merokok ini?
Hari ini bila saya tengok para remaja yang merokok dengan bangganya hembus asap keluar masuk, saya hanya tersenyum.
Suatu hari nanti mereka akan faham sendiri. – 12 November, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments