Opinion

Sang bohemian Lepat dan buku barunya

Buku baru Ismail Ariffin@ Lepat yang judulnya “Terimakasih Si Babi Hutan...Tuhan Kini Aku Datang” terjual dalam 15 ribu naskhah dalam masa 2 minggu, sepanjang berlangsungnya pesta buku di PWTC baru-baru ini. Hari pertama sewaktu pelancarannya sehingga hari ke-3 sudah “sold out”5 ribu naskhah!

Boleh dikatakan sehingga ke bulan Mei ini, inilah buku yang paling laris di pasaran untuk genre yang serius, bukan novel cinta remaja. Buku ini terbitan Dubook Press Sdn Bhd.

Bagi saya fenomena ini tidak menghairankan kerana Lepat sudahpun punya ikatan yang kukuh dengan peminat mahupun kenalannya yang ramai sejak lama dulu lagi. Konsep “love” dan “sharing” antara beliau dan mereka seakan menyatu dan hasilnya, itulah yang berlaku. Ia “natural”, hadir di waktu dan ketika yang tepat.

Kita tidak dapat nafikan Lepat adalah “ikon” yang mewakili jiwa anak muda yang bebas dan lepas daripada segi pemikiran mahupun gaya hidup. Kebanyakan mereka, yakni anak muda hari ini semakin moden dan progresif dari segi ideologi, tidak lagi jumud seperti golongan belia yang dilihat skema dan “poyo”.

Falsafah hidup dan pegangan, pertalian dan perkongsian yang erat antara beliau dan anak-anaknya yang boleh kita tonton di YouTube mahupun di Facebook, adalah faktor penting untuk kita lihat kesan atas kesemua yang dikongsi bersama sejak bertahun dulu.

Umpama satu jenama yang menarik dan laku di pasaran, itulah yang saya nampak. Bukunya itu satu hal, tapi perkara yang paling penting adalah watak “Lepat” itu sendiri. Dengan imej “rasta” dan Bob Marley yang jelas daripada gaya dan wataknya, tidak sukar untuk beliau dikenali ramai.

Tinggal di Bremen, Jerman sejak 11 tahun yang lalu, bersama isteri dan sepasang cahaya mata, ada masanya beliau akan pulang bercuti menziarah para sahabat dan keluarganya di sini.

Di sana, selain melukis, Lepat juga seorang “busker” dan menjadikan aktiviti “busking” sebagai salah satu sumber cari makan selain kepuasan. Beliau pernah mengajak saya ke sana untuk “busking”. Katanya tatkala menziarahi saya suatu ketika dulu, “ kalau hang ‘busking’ kat sana, lagi banyak hang boleh dapat duit dari aku”.

Tapi itulah, alasan saya masih sama, komitmen dan mungkin juga tidak seberani beliau dalam membuat keputusan dalam kehidupan.

Mengimbau era Pasar Seni yang masih asli di penghujung tahun 90an atau awal tahun 2000 dulu, saya mengenali insan unik bernama Ismail Ariffin atau lebih mesra dikenali sebagai Lepat atau Mail ini. Pasar Seni waktu itu adalah tempat singgah dan diamnya para spesies yang “rare” dan Lepat adalah salah seorang daripada watak dan penghuninya.

Kita boleh lihat banyak watak luar daripada kebiasaannya yang datang dan berlegar-legar saban hari di Pasar seni. Ia umpama magnet yang mampu menarik para pencari jiwa untuk ke sana. Ada yang gila isim, ada yang gila, ada yang buat-buat gila dan ada yang bila sampai ke tempat itu datanglah penyakit gilanya.

Saya membesar di kalangan mereka, dewasa juga di kalangan mereka yang bergelar pelukis, penyajak mahupun penyanyi jalanan. Itulah zaman keemasan Pasar Seni.

Kelebihan Lepat adalah dari segi pengetahuan ilmu agama dalam persepsi dan kefahamannya dan beliau mampu menghuraikan makna yang tersurat mahupun tersirat dalam bentuk yang mudah difahami.

Tentang bukunya yang bertajuk “ Terimakasih Si Babi Hutan”, juga albumnya (Dari Sahabat... Kepada Sahabat ) yang sejak 1998 sudah disiapkan, yang akhirnya berjaya juga di cetak, ia berkisar tentang perjalanan hidup seorang bohemian dalam mencari dan mengenal makna hidup yang variasi dan universal sifatnya.

Sebahagiannya tentang subjek kehilangan tentang sesuatu yang disayangi, sebahagian besarnya pula dipenuhi dengan falsafah keagamaan yang non konvensional dari segi kefahaman dan pemahamannya. Maknanya kita perlu melihat dan menilai dari sudut hakikat untuk kita faham makna dan cerita dalam buku yang dikarang yang sebahagiannya dalam bentuk kiasan mahupun perlambangan ini.

Saya sempat bersembang dalam satu sesi kedai kopi dengan orang kuat di sebalik penerbitan buku dan albumnya, saudara Abdul Rahim Sabri yang merupakan “master mind”atau tulang belakang dalam terhasilnya buku dan album Lepat ini. Seperti catatannya di bahagian belakang buku tersebut,

“Terimakasih Kasih Si Babi Hutan...Tuhan Kini Aku Datang adalah perjalanan 'surreal' dan nyata Ismail Ariffin@ Lepat saat dia berada dalam amukan kegilaan merempuh dugaan bertimpa yang menggasak jalan takdir hidupnya 19 tahun dahulu. Siri-siri hikayat “Al Kisah Mereka Tak Kisah” ditulis sejak tahun-tahun berikutnya yang naskhah asalnya beberapa kali hilang, dibakar orang, ditulis dan hilang lagi hingga yang tersisa apa yang ada di fikirannya sahaja. Ia juga adalah medium asal tulisan tangan sebelum adanya Facebook dan YouTube sebagai wadah bagi dia meluahkan amukan akal fikirnya kepada umum". – 14 Mei, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments