Zaman ini adalah zaman di mana siapa bijak dialah yang lepas. Bijak yang macam mana? Terlalu ramai pelajar mendapat kelulusan baik dalam peperiksaan di zaman ini dan ramai yang menggenggam segulung ijazah berupa sekeping kertas yang mengakui tahap bijak kita.
Bijak dari segala sudut pun ada juga, bijak membelit, menipu dan segala macam kategori bijak itu jika kita gaulkan adakah ia sampai kepad tahap piawaian nilai sebuah kejujuran?
Bak kata Iwan Fals dalam lagunya “Nak (versi 2)” antaranya,
“Hidup sudah susah jangan dibikin susah
Cari saja senang walau banyak hutang
Munafik sedikit jangan terlalu jujur
Sebab orang jujur hanya ada di komik”
Walau siapapun kita, pembelit, penipu, orang baik, orang jahat, ketuhanan, kesyaitanan, nyatalah kita tidak akan menipu diri kita sewaktu menatap wajah kita sendiri di cermin.
Walaupun muka kita ini hodoh, empat segi mahupun bulat, kita akan beranggapan kitalah paling kacak. Itu sebab jangan hairan jika kita boleh mengadap cermin berjam-jam lamanya membelek-belek wajah sendiri. Bukankah kita ini sesempurna kejadian yang dijadikan Tuhan?
Kerjapun bukan senang nak dapat walau kita lebih daripada berkelayakan berpandukan kejayaan akademik. Hari ini ceritanya lebih berkisar tentang siapa kita dan siapa yang kita kenal?
Jadi apabila banyak sangat budak pandai, kita ingin bertanya. Adakah dengan kepandaian mereka dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, mereka ini di kategorikan sebagai budak bijak?
Kenyataannya bukannya semua kita ini akan ditakdirkan bernasib baik dalam hidup, masa depan dan karier. Kawan saya bercerita tentang kawannya yang belajar di luar negara dalam jurusan kejuruteraan sehingga pulang dengan segulung ijazah dengan keputusan cemerlang.
Namun takdir dan peluang nyata tidak menyebelahinya. Kawan kepada kawan saya itu mencuba bekerja di beberapa tempat, namun masih gagal mendapat pekerjaan. Kalau dapatpun banyak masalah yang timbul.
Sudahnya dia hanya berkerjaya sebagai petani di kampung, mengusahakan dusun peninggalah arwah abangnya yang meninggal dunia.
Bijak yang paling bernilai bagi saya adalah apabila kita mampu menyelit di celah-celah peluang dan ruang yang terbuka untuk kita, walau kita ini tidaklah pandai sangat dalam akademik.
Saya punya ramai yang kawan yang kebanyakan mereka ini belajar universiti pun tak lepas, tapi masih berjaya dalam kerjaya dan kehidupan. Asas yang saya lihat yang ada dalam diri dan keyakinan mereka bahawa mereka ini orang yang bijak dan punya ‘confident level’ yang tinggi.
Apa yang paling penting kita perlu fokus dengan apa yang kita mahu capai. Kita perlu mengenali dan menyelami watak yang perlu kita mainkan.
Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang kawan, yang berkerjaya sebagai seorang “consultant” di salah sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal di negara kita ini. kerjanya hanya “consult”.
Semua pekerja tidak kira dari peringkat bawah sampailah ke peringkat atas akan mendengar pandangan dan nasihatnya. Kalau dia kata A maka A yang akan mereka ikut. Kalau dia kata B maka B lah yang akan mereka ikut. Dia hanya menjual air liur, nampak mudah tapi itulah, bukan senang nak senang.
Pengalamannya sampai pernah masuk I.C.U ( Unit Rawatan Rapi) kerana terlalu stress sebab kena maki dengan para “big boss” dan CEO.
Kawan saya ini juga bercerita tentang pengalamannya menemuduga para pemohon jawatan kosong yang kebanyakannya lepasan ijazah yang katanya kebanyakan mereka ini tidak pandai berkomunikasi dan kurang daya kreativiti.
Kata kawan saya itu lagi, dia tidak perlukan segulung ijazah kerana yang diperlukan adalah daya usaha dan kreativiti. Tidaklah bermakna saya kata sijil itu tidak laku langsung. Tak ada kelayakan macam mana kita nak dipanggil temuduga?
Saya kalau boleh mahukan anak-anak saya punya nilai keyakinan hidup dan kreativiti yang tinggi untuk terus hidup dan berjuang di pentas kehidupan yang serba mencabar hari ini. kita tidak punya pilihan sebenarnya. Jika lemah, kita akan ketinggalan.
Istilah “work smart” itu perlu kita praktikkan untuk hidup di zaman yang penuh dengan babak belit-membelit dan tipu menipu hari ini.
Pun begitu, kehidupan adalah politik. Politik adalah kepentingan. Politik juga adalah fitrah, sebagaimana kita sewaktu lahir sudah punya nafsu dan kehendak, maka kita akan mencari susu ibu walau tiada siapa yang mengajar kita waktu itu.
Seperti juga kita melihat pergolakan politik di Selangor tika ini. Tontonlah sebanyak mana babak, sama ada menyeronokkan atau memualkan, itulah politik.
Kita akan bertanya, siapa yang untung di antara kedua-dua kerajaan, Pakatan atau Barisan Nasionalkah? Mari kita lihat siapa yang kena...
Bezanya kita dengan orang politik, kita tidak berada di pentas politik. Kita berada di pentas kehidupan. Mereka bergaduh dan bergelut atas kepentingan dan agenda masing-masing.
Kita di pentas kehidupan pun punya agenda dan tujuan juga. Tujuan utama kita adalah untuk mencari rezeki, untuk meneruskan kehidupan. – 14 Ogos, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments