Dalam beberapa hari lagi negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-57 tahun ini dengan tema, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, yang sebaris rangkap senikatanya diambil daripada lagu Warisan, nyanyian allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Sudirman sudah 22 tahun meninggalkan kita, tetapi sehingga ke hari ini malah sampai bila-bila pun namanya akan tetap diingati kerana lagu 'Warisan', 'Tegakkan Bendera Kita' dan lagu '31 Ogos'. Nyata beliau seorang penyanyi yang bijak dan berjiwa patriotik.
Saya katakan bijak kerana beliau akan melakukan sesuatu yang bermakna, untuk dirinya malah untuk negara tumpah darahnya, untuk namanya diingati sentiasa walau berabad lamanya. Sudirman ada dalam jiwa setiap masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama sekalipun seperti dalam setiap lagu yang dinyanyikannya.
Seperti lagu Chow Kit Road, Orang Kampung, Pulang Dari Kilang, Punch Card, Kehadiranku, Balik Kampung dan Apa Khabar Orang Kampung.
Walau lagu asal 31 Ogos itu dinyanyikan oleh penyanyi legenda 1950-an Ahmad C B (Ahamad Chass Barra) yang mana tajuknya 'Tanggal 31 Ogos' bersempena hari kemerdekaan pada 1957, nyata hanya selepas Sudirman menyanyikan lagu itu semula, ianya kekal evergreen hingga ke hari ini.
Kita harus akui untuk menjadikan sesebuah lagu itu popular, kehebatan dan populariti sang penyanyi adalah salah satu penyebabnya. Sudirman bagi saya adalah penyanyi yang paling layak menyanyikan lagu '31 Ogos ' kerana tahap kefahaman dan dedikasinya yang jelas terhadap karier yang didukungnya sejak muncul juara bintang RTM pada 1976.
Untuk tahun ini, bertambah istimewanya kerana tema sambutan hari kemerdekaan menggunakan sebaris rangkap lagu Warisan, 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'.
Malah, akan diadakan konsert pada 29 hingga 31 Ogos ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Konsert yang asalnya dikenali sebagai Konsert Chow Kit Road 2.0 itu diubah kepada 'Memori Chow Kit Road' bagi menghormati sensitiviti rakyat yang masih berkabung kerana MH370 dan MH17.
Seperti ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tentang Sudirman dan konsert tersebut yang saya baca dalam laporan Bernama pada 25 Ogos lalu:"Sudirman adalah penyanyi yang memberi impak kepada rakyat Malaysia. Beliau bukan saja menyanyikan lagu-lagu bersifat pop dan hiburan tetapi juga menaikkan semangat melalui lagu patriotik seperti Tanggal 31 Ogos dan Warisan."
Bercakap tentang kemerdekaan, tahun ini sambutannya mungkin agak sederhana dan tidak semeriah sambutan tahun-tahun sebelumnya, kerana MH370 dan MH17. MH370 sehingga ke hari ini langsung senyap tanpa khabar dan berita, MH17 pula ada khabar dan ada beritanya, walau dipenuhi dengan cerita sedih dan menyayat hati.
MH370 dan MH17 adalah peristiwa sedih dan sejarah yang akan diingati buat selamanya dan tidak akan luput daripada ingatan kita. Kecuali orang gila, setiap kita yang punya akal waras turut bersedih waktu jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Ogos lalu.
Merdeka memberi makna yang lebih luas dan subjektif dalam pengertiannya. Bebas segalanya, itulah merdeka.
Adakah kita sudah merdeka? Saya tidak fikir begitu. Selagi kita ini hamba Allah dan masih bergantung dengan kudrat dan iradatnya, kita tidak akan merdeka sampailah kita meninggal dunia. Orang gila itu merdeka, bebas daripada belenggu nafsu dan mimpi dunia, namun perlakuan dan perencanaan hidup mereka tetap berada dalam perencanaan dan gerak-Nya jua.
Begitu juga bagi semua umat manusia apa fahaman mereka sekalipun. Golongan atheis yang menafikan Tuhan pun masih lagi di tahap hamba. Mereka mungkin menafikan cerita tentang roh dan semangat. Namun jika setiap gerak kita yang suisnya datang daripada semangat yang bermukim di jiwa, maknanya kita masih bergantung pada kuasa dan kebesaran-Nya, walau kita ini atheis.
Daripada segi keterbukaan, kebanyakan masyarakat kita hari ini semakin terbuka pemikiran mahupun pendapat dan kita boleh pilih siapa yang kita suka dan percaya.
Cuma pengertian merdeka itu sangat subjektif untuk kita huraikan sebenarnya. Kalau hendak ikutkan kita tidaklah dapat mengecap sepenuhnya makna merdeka itu sendiri dalam istilah yang sebenarnya kerana kita ini masih bernama manusia yang tinggal di negara ada undang-undang.
Tambahan pula tinggal di negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, jadi kita masih tertakluk pada hukum dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Apa pun menghormati sesame kita adalah ramuan yang paling terbaik untuk hidup rukun aman dan damai.
Apapun bagi saya mudah, pengertian merdeka ialah apabila kita masih mampu hidup aman damai, saling menghormati antara sama lain, walau berbilang masyarakat dan bangsa.
Kita sedang membaca berita kemusnahan demi kemusnahan yang sedang berlaku di Gaza. Anak kecil dibunuh, sekolah dan hospital dibedil Israel. Apa yang tinggal? Bagaimana mereka mahu meraikan kehidupan kalau sudah begitu nasib malang yang mereka terima?
Begitu juga apa yang sedang berlaku di Iraq dan Isis. Perang untuk selamanya adalah satu kerja bodoh, diterajui oleh mereka yang bodoh dan selamanya juga ia tidak akan membawa sebarang makna kebaikan sekalipun.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-57, dengan tema, 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'. – 27 Ogos, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments