Alam dan ciptaan ini memang indah pada permukaannya. Kita melihat bukit yang hijau, katanya mampu memberi tenang jiwa dan mendamaikan perasaan. Siang kita disinari cahaya mentari, malam pula berteman bulan. Segalanya indah yang nampak di mata, maka bermainlah perasaan.
Persona alam memang begitu, kita mudah terpesona. Cuba kita daki bukit yang kita kata indah dan mendamaikan itu. Kenyataannya semua hanyalah panorama yang sekadar memukau mata pandang kita. Kita mungkin akan tersesat dan bergelut dengan berbagai masalah dan kesukaran apabila kita berada di bukit yang kita kata indah itu.
Nyatalah sebuah lukisan itu hanya indah ditatap dalam jarak yang tertentu sahaja. Jika kita menghadap jarak 2 kaki, yang kita tatap hanyalah campuran warna yang digaulkan untuk membentuk nilai kesempurnaan dan keindahan.
Kita menatap awan, memang mengasyikkan dengan alunan dan belaian, pun bila kita sampai ke sana ia hanya sekadar wap yang berkepul. Selepas awan, kita mencari langit. Di mana langit? Adakah ia seperti awan juga? Atau untuk memupuk nilai percaya ke dalam diri kita langit itu tidak ada tetapi ada?
Begitulah juga apabila saya menatap watak dan lakonan manusia di dunia ini. Perlakuan menjadi acuan sehingga kita sebati dengan imej kita atas kepercayaan siapa dan di mana kita berada.
Sedang cerita sebenarnya adalah tentang roh, yang semua kita memilikinya, walau siapa pun kita. Roh adalah rahsia alam dan kejadian yang paling misteri dan tidak akan terungkap tabir rahsianya. Yang akan menghadap pencipta adalah roh seperti yang termaktub dalam firmannya sejak azali lagi.
Jadi untuk menilai baik dan buruk seseorang itu, kita tidak tahu sebenarnya, sebab itu termasuk dalam bab ‘sirr’ yakni rahsiaNya.
Cerita dunia ini penuh dengan nafsu dan kehendak, kita memuja juga atas dasar nafsu yang mudah menghukum dan menilai mengikut hukum logik perasaan.
Nilai paling tinggi dalam hidup insan adalah tahap ikhlasnya dalam mengenal dan menggauli makna hidup dan kepercayaan.
Ia mungkin dalam bentuk yang konvensional mahu pun non konvensional. Bagi saya yang konvensional itu penzahiran dalam membentuk nilai-nilai baik untuk kita melihat dan menjadikan panduan dan pedoman, namun tahap ikhlas biasanya lebih dari itu.
Yang nyata pada kita adalah perlakuan watak di dunia ini. kita lihat mereka begitu, kita semudahnya akan menganggap akan begitulah hasilnya.
Jika begini pula, akan beginilah biasanya. Sedang perlakuan hanyalah sekadar sifat yang baharu. Ia tidak punya makna di sisi pencipta yang sifatnya bersalahan dengan segala yang baharu.
Saya menilai setiap watak di dunia ini walau siapapun mereka, hanyalah sekadar watak yang sedang menjalani kehidupan dengan skrip dan amanah di dunia ini untuk mereka galas. Tidak kira siapapun mereka, samada ulama, pemimpin, perompak, pemuzik atau apa saja watak mereka, mereka berhak mendapat rahmat dari kasih dan sayangNya.
Kita melakukan benda yang baik di dunia ini, dan kita akan dilihat baik. Itu cerita biasa tentang dunia kerana memang biasanya begitulah cara kita menilai.
Permukaan yang memukau bisa menjadikan kita taksub, sebab itu yang akan masuk ke dalam otak fikir. Sehinggalah apabila si baik itu meninggal, terciptalah mitos dan karamah kesan kebaikannya di dunia ini.
Presiden Korea Utara pun apabila meninggal dunia, mereka mencipta mitos sehingga dikatakan burung-burung dan alam pun turut berdukacita atas pemergian pemimpin mereka.
Saya ada sebuah cerita, dari seorang kawan yang berpengalaman menjaga bapanya yang menghidap penyakit kencing manis yang kronik sehinggalah saat bapanya meninggal dunia.
Kawan saya ini dalam waktu beberapa tahun menghabiskan masanya di kampung menjaga dan berbakti pada bapanya, termasuklah memandikan, membasuh luka yang berulat di kaki ayahnya dan banyak lagilah perkara baik yang dibuatnya.
Semasa hidup, arwah dari segi syariat dan pelaksanaannya agak kurang sehingga kawan saya yang waktu itu merupakan seorang anak yang warak dan taat, tetapi di benaknya mudah pula menghukum bapanya kerana bapanya dilihat tidak sewarak dia.
Sehinggalah bapanya meninggal dunia setahun yang lalu. Apa yang pasti, jasad arwah katanya sangat ringan dan segalanya berjalan dengan lancar selain jernih dan seri di wajahnya masih jelas terpancar walau sudah bergelar jasad.
Ditakdirkan bertemulah kawan saya ini dengan seorang yang mengenali arwah semasa hidupnya.
Katanya, “Bapa kamu pesan supaya aku simpan rahsia ini supaya jangan diceritakan pada sesiapa pun. Sesudah 9 tahun aku rasa kamu anaknya perlu tahu sesuatu tentang bapa kamu semasa hidupnya.”
“Bapa kamu orang susah, bekerja di kilang papan untuk menyara hidup kamu sekeluarga. Aku pula orang miskin. Setiap hari apabila pulang dari kerja, bapa kamu akan singgah ke pondok buruk aku sekeluarga untuk memberi beras dan barang keperluan dapur. Itu yang dilakukannya selama 9 tahun, setiap hari.”
Maka jelaslah pada kita, nilai ikhlas itu sangat tinggi nilainya di sisi pencipta kerana ia ‘connection’ yang paling tepat antara khaliq dan pencipta.
Kita tidak tahu apa cerita dan rahsia di sebalik tabir rahsia itu jika kita enggan untuk menyingkapnya.
Maka mungkin selamanya kita akan mudah tertipu dengan persona indah dunia.
Saya hormati ulama, tetapi tidaklah taksub. Wali keramat saya hanyalah ke dua ibu bapa yang melahirkan saya ke dunia ini.
Taksub tidak perlu ada dalam kamus seorang pencari. Bersederhana dalam segala hal dan perkara, itu sudah mencukupi. – 19 Februari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments