Pada 1982 hidup saya adalah bola sepak. Waktu itu di tingkatan 3 bersekolah di kampung halaman.
Apabila dapat mewakili sekolah dalam sukan bola sepak, abang saya membelikan saya sepasang kasut bola jenama Adidas dan Puma.
Piala Dunia 1982 adalah klimaks saya berjaga sampai ke pagi menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia terutama yang melibatkan pasukan kegemaran saya, Brazil. Waktu itu Brazil hadir dengan line-up terbaik mereka seperti Socrates, Eder, Zico, Junior dan Falcao.
Yang kurang bagus tentang Brazil bagi saya waktu itu adalah penjaga golnya, Waldir Peres.
Apabila Brazil ditewaskan Itali dalam perlawanan pusingan kedua dengan keputusan perlawanan 3-2, saya terlalu kecewa sehingga menangis dan terlalu menyampah dengan kehebatan penyerang Itali, Paolo Rossi yang menjahanamkan impian saya melihat Brazil sebagai juara Piala Dunia 1982.
Dan Itali akhirnya berjaya mendakap Piala Dunia 1982 dengan menewaskan Jerman Barat dengan keputusan 3-1.
Tahun berikutnya saya sudah kurang bermain bola kerana asyik bergitar pula siang dan malam. Sebenarnya saya tidak punya bakat sebagai seorang pemain bola.
Saya bekerja keras sewaktu pemilihan untuk diserapkan ke pasukan sekolah, itupun sebab kawan-kawan baik saya kebanyakannya pemain bola yang berbakat.
Sehingga ke hari ini saya masih mengikuti perkembangan dunia bola sepak atas dasar minat tetapi tidak hingga meratap seperti budak-budak dulu jika pasukan kegemaran saya kalah.
Pada 1986 saya tinggal di Kuala Lumpur ketika Piala Dunia 1986 berlangsung yang menyaksikan kehebatan Maradona dan Argentina berjaya muncul juara Piala Dunia setelah mengalahkan Jerman Barat dengan keputusan 3-2.
Brazil pula pada 1986 dibarisi pemain yang berumur seperti Socrates dan Junior manakala Zico pula tidak berada dalam 'form' terbaiknya kerana masalah kecederaan.
Seperkara yang saya anggap penting, yang mengubah persepsi saya tentang bola sepak sewaktu Piala Dunia 1998 sedang berlangsung.
Ketika sedang rancak berbual dengan seorang kawan yang juga kaki bola di warung mamak. Topiknya tentang Piala Dunia yang sedang berlangsung waktu itu. Sejurus kemudian, datang seorang pemandu teksi yang tanpa disapa duduk semeja dengan kami.
Katanya, dia baru balik dari tempat perjudian sekelompok kaki judi. Mereka akan tahu pasukan mana yang menang, yang kalah, yang akan menang, yang akan kalah.
Dengan bookie dan jutaan ringgit dijudikan, apa yang kita boleh percaya lagi tentang ketelusannya sukan bola sepak juga para pemain dan pasukannya itu?
Betapa katanya di dunia ini, apa saja boleh dibeli dengan ringgit. Ia sangat mengecewakan kami, peminat bola sepak yang beria-ia memuji kehebatan pasukan yang kami salut atas kehebatan dan skil permainan mereka di atas padang.
Sejak saat itu saya hanya anggap sukan bola sepak seperti program bercorak hiburan wrestling, World Wrestling Federation (WWF). Apa benda saja jika ia melibatkan duit, perniagaan yang melibatkan untung rugi, kita tidak perlu beria-ia menganggap ia tulus dan bersih.
Piala Dunia 2014 sedang berlangsung dan Brazil menjadi tuan rumahnya. Saya yang sebelum ini menyangkakan majoriti penduduknya gila bola malah menganggap bola sepak itu sebahagian kepercayaan mereka, nyata tersilap!
Buktinya kita lihat terjadinya protes demi protes sepanjang kejohanan berlangsung, rakyat mereka membantah kerajaan yang membelanjakan wang banyak untuk kejohanan paling berprestij itu, sedangkan ramai rakyat masih hidup di bawah tahap kemiskinan.
Apa pun Jepun dan Korea Selatan, dulunya pada era Pestabola Merdeka penghujung 1979 dan awal 1980-an berada sama 'level' dengan Malaysia. Bahkan kita juga sering mengalahkan mereka. Di mana kita hari ini dan di mana pula mereka hari ini?
Jepun mula layak ke Piala Dunia pada 1998 dan mengikut ranking Fifa Jepun berada di ranking 46.
Korea Selatan pula layak ke Piala Dunia pada 1986 selepas layak kali terakhir pada 1954. Daripada segi ranking pula Korea Selatan kini berada di tangga ke-55 mengikut ranking Fifa.
Malaysia? Kita berada di ranking ke-141 mengikut ranking Fifa, terlalu jauh untuk mengejar Jepun dan Korea Selatan.
Saya lebih kenal nama para pegawai FAM dan menteri belia dan sukan berbanding nama pemain Malaysia. Apa boleh buat, mereka sedang mentadbir sukan bola sepak mengikut acuan mereka yang syok sendiri, kita pula di sini hanya untuk menatap siri gagal pasukan kita dari masa ke semasa.
Pasukan Malaysia ke Piala Dunia? Ia hanya akan berlaku jika adanya 'keajaiban'. – 19 Jun, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments