Jika seorang lelaki itu mahu meminang anak dara orang, antara soalan penting daripada bakal mertua kita tentulah tentang "siapa dan apa kerjaya kita". Ya, kita pun faham lelaki yang nak menanggung anak orang, perlulah punya kerjaya yang stabil dan punya masa depan.
Itu pandangan yang tipikal mungkin mengundang skeptikal di kalangan ibu bapa. Bagi kebanyakan ibu bapa perlukan cerita yang indah di permulaan.
Sebagai seorang bapa yang punya anak perempuan, saya sangat faham akan situasi ini. Apa kerjaya sekalipun, paling penting tanggung jawab dan hati budi. Punca segalanya adalah duit, semua orang walau pengemis sekalipun ada duit, cuma banyak dan sedikit, itu sahaja. Hendak kahwin tentulah perlukan duit yang mencukupi.
Maknanya kalau kita bukan kerja makan gaji dengan kerajaan, agak payah sikit. Kalau di kampung, itu yang utama menjadi pilihan, jika kita guru, polis dan askar. Kalau peguam atau doktor, ia dikira bonus.
Sewaktu di kampung dahulu, seorang kawan saya bekerjaya sebagai seorang penjual daging yang berjaya. Walau di tahun 80-an dan usianya baru menjangkau awal 20-an, dia sudah punya kereta besar, rumah besar dan sebagainya walau kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia hanya pangkat 3 sahaja, pun masih belum cukup meyakinkan orang kampung di zaman itu, dia seorang peniaga berjaya.
Pemuzik atau busker? Itu peratus untuk diterima oleh bakal mertua mungkin yang banyaknya adalah negatif berbanding positif. Dalam cerita Ibu Mertuaku, “apa ahli muzik?” Maknanya belum apa lagi sudah "reject". Memang itulah pandangan masyarakat terhadap golongan pemuzik seperti kita ini.
Maknanya jika kita pemuzik biasa, cerita tentang permulaan agak kurang menarik sebenarnya. Mereka mahu cerita yang indah dan sedap telinga mendengarnya. Sudahlah kerja sebagai pemuzik dari segi hukum hakam keagamaannya sering dan masih lagi dipertikaikan, jaminan masa depan pula masih kabur dan tidak menentu.
Saya bernasib baik tatkala pertama kali bertemu dengan mertua yang memahami, mereka agak faham dengan keadaan saya yang baharu putus kontrak bermain muzik di pub malah baharu hendak mencari kerja pula waktu itu. Maknanya dari segi kewangan memang tidak stabil.
Berbual dengan bapa mertua saya waktu itu sewaktu sesi pengenalan, saya seorang yang tidak punya apapun cerita yang menarik untuk diceritakan. Tiada kereta, rumah, kerja, imej yang biasa dengan rambut panjang melainkan nilai ikhlas yang tidak mampu kita huraikan dengan kata-kata.
Tapi itulah, mungkin pandangan makrifat melebihi atau menjangkaui tahap akaliah manusia jika kita faham tentang cerita isi berbanding kulit.
Memang, kerjaya yang stabil bukanlah jaminan rumah tangga kita akan bahagia. Mungkin dalam hal makan pakai itu semua cukup, tapi dalam hal lain mungkin kita gagal.
Tidak kira sama ada kita orang bangsawan, menteri, doktor, peguam, jurutera dan sebagainya kita masih mencari siapa kita dan kita masih seorang manusia yang sedang dalam proses mengenal dan belajar ilmu hidup dan manusia.
Sekian lama di KL Sentral, saban hari bergaul dan kenal ramai kenalan yang bekerja di Keretapi Tanah Melayu (KTM), mereka ini kalau nak meminang anak dara orang memang tidak ada masalah, peratus lulus daripada bakal mertua itu cerah. Mereka punya kerja dan jaminan hidup di masa depan jika mereka fokus dengan kerjaya mereka.
Hari ini, jalan menuju lorong kejayaan itu terbuka luas. Di alam nyata mahupun tidak nyata. Orang boleh hidup senang dengan berniaga online di Internet. Peniaga nasi lemak mampu pakai kereta dan rumah besar hasil penjualan nasi lemak. Kita bercerita tentang pendapatan RM3,000 sebulan. Mereka mendapat pulangan harian sebanyak RM500 sehari. Kalau sebulan?
Cuma segala yang kita lakukan itu perlu diuruskan dengan betul. Umpamanya jika kita berkerjaya sebagai seorang busker, mendapat pulangan harian seperti orang berniaga. Kita perlu agih atau simpankan sebahagian hasil kita itu untuk bayar bil dan hal keperluan lain.
Hidup adalah satu perjudian, kita perlu berani untuk hidup di zaman yang serba sukar hari ini. ada masa kita mungkin menang, ada masa kita kalah. Itu biasalah, nama pun hidup.
Takutkan cabaran dan kuat berangan maka jadilah kita seperti Mat Jenin. Yang penting ada inisiatif untuk maju dan bersaing. Yang penting adalah berkat, selebihnya kita serahkan kepada takdir sebab jadi atau tidak jadi akan sesuatu itu, adalah atas kehendakNya jua. Dalam hidup ini kita perlu "jalan terus!". – 22 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments