Opinion

Tentang lagu Melayu hari ini yang makin tak sedap

Kebanyakan suara penyanyi baru kita hari ini biasa sahaja, kebanyakan mereka juga boleh menyanyi tapi cuma dari segi teknikal sahaja yang bagus. Nak dibanding dengan penyanyi lama, jauh beza. Bezanya penyanyi lama kekal lama, penyanyi baru datang dan pergi mengikut musim.

Penyanyi otai seperti Jamal, Saleem, Hattan (Datuk) antaranya, kita dengar saja intonasi suara mereka, kita boleh kenal tapi penyanyi hari ini susah kita nak kenal sebab tak ada 'trademark'. Itulah yang membezakan antara penyanyi dulu dan sekarang.

Begitu juga dengan penyanyi era 50an sampailah ke era 90an. Kita boleh kenal suara P Ramlee, Momo Latif, Normadiah, Saloma, Hail Amir, Latif Ibrahim, Sharifah Aini, DJ Dave, M Daud Kilau (Datuk), A Ramlie dan penyanyi-penyanyi popular 60an lainnya.

Kebanyakan mereka punya 'trademark' yang tersendiri dari segi suara terutamanya.

Dari segi lagu pula, lagu-lagu yang popular hari ini kebanyakannya tak sedap dari segi melodi. Kebanyakan lagu-lagu yang saya nyanyikan sewaktu 'busking' adalah lagu Melayu 80an dan 90an, sebabnya orang masih suka dengan melodi yang 'catchy' dan lenggok yang mudah diingat.

Lagu pop 80an kita terutama di era Alleycats, Flybaits, Carefree, Jay Jay antaranya semua golongan menyukainya. Suatu waktu, pernah saya menyanyikan lagu “Cukuplah Sekali” yang dipopularkan oleh Jay Jay, sehabis lagu itu saya nyanyikan, datanglah seorang lelaki usia awal 50an (berbangsa kacukan Arab saya kira) kepada saya. Sambil menunjukkan tanda bagus dia menghulurkan US$20.

Walaupun lelaki itu tidak memahami makna bait-bait yang saya nyanyikan tapi disebabkan melodi yang baginya menarik, dia menghargainya.

Lagu Indonesia hari ini lebih mendapat tempat di kalangan pendengar kita berbanding lagu Melayu. Saya bukannya suka sangat dengan lagu pop Indon hari ini, tapi jika kita menyanyikan lagu-lagu seperti Kehilangan (Firman), Sandiwara Cinta dan Selimut Tetangga (Republik), Bintang Hati (De Meises) antaranya, dari kanak-kanak sampailah membawa ke orang dewasa sehinggalah ke warga emas, mereka sangat menyukainya.

Lagu-lagu Indonesia yang saya sebutkan tadi melodi dan formulanya sama sahaja dengan melodi lagu-lagu popular dari tahun 60an dulu sampailah sekarang.

Kalau di tahun 70an dulu banyak grup pop Indon yang berjaya menembus pasaran muzik tanahair kita. Dlloyd, The Mercys, Favourite Group antaranya memang popular di sini. Dlloyd di zaman kemasyhuran mereka pernah mengadakan konsert besar di negara kita ini.

Saya confirm kalau kita menyanyikan lagu Hafiz, mereka tidak akan tahu atau minat. Sebab? Lagunya tidak memikat dari segi melodi. Lagu yang bagus berpandu kepada melodi yang 'catchy' dan mudah diingat.

Sampai sekarang saya tak minat untuk menyanyikan lagu Awan Nano (Hafiz) sebab lagunya bagi saya tak menarik dari segi melodi dan terlalu meleweh.

Lagu Indonesia? Perhatikan lagu-lagu mereka yang meletup di sini. Dari Zaman Dyloyd sampailah ke zaman Republik, yang mereka tekankan adalah melodi yang 'catchy' dan mudah selain susunan muzik yang mantap dan menarik.

Band-band pop Indonesia yang meletup di kalangan masyarakat kita bukannya bagus sangat. Tapi muzik mereka lebih mudah diterima berbanding lagu kita sendiri.

Kalau produk Indonesia yang betul hebat, dan saya suka seperti Godbless, Ebiet, Fals, Franky Sahilatua, Gombloh dan Doel Sumbang antaranya. Cuma mereka ini tidaklah tergolongan dalam genre komersial.

Formula yang diguna pakai untuk lagu yang mereka gunakan masih lagi cara lama yang stereotaip. Memang kita boleh agak ke mana arah melodinya pergi, tapi yang itulah yang disukai ramai.

Kita lihat hari ini, yang mana penyanyi-penyanyi lama kita pun terpaksa memasukkan elemen rap dalam lagu demi untuk mempopularkan lagu tersebut di kalangan remaja, sedang lagu Indon tak payah nak rap pun, orang suka.

Lagu-lagu 50an, 60an, 70an, 80an dan 90an kita lebih sedap berbanding lagu zaman ini. Yang agak menonjol kalau kumpulan yang hadir dengan lagu-lagu yang berkualiti di zaman ini adalah satu dua seperti seperti Hyper Act.

Selebihnya mereka itu budak-budak remaja perempuan bertudung yang kebanyakannya naif, yang lahir di YouTube untuk mempromosikan imej dan produk mereka sambil tersenyum dan masyarakat suka dengan imej mereka yang Islamik itu. itu kita kata tren di zaman ini.

Zaman ini juga kalau kita tengok dari segi penggunaan bahasa pula, pendengar lebih suka bahasa pasar yang lebih santai dengan lirik standard sekolah rendah.

Sewaktu di zaman kanak-kanak, saya sangat terhibur dengan lagu-lagu Daud Kilau, DJ Dave, Sudirman dan penyanyi seangkatan mereka di zaman itu. Tidak hairanlah saya masih mampu mengingati kebanyakan lirik dan lagu mereka sehingga ke hari ini.

Saya tidak tahu apa yang tidak kena dengan kualiti lagu kita di zaman ini. Kesimpulannya apa sahaja produk yang datang dari Indonesia, terpaksalah kita terima sebab lagu-lagu mereka lebih mantap dari kita. – 18 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments