Opinion

Tentang pembusker, malaikat dan RM1 juta

Berceritalah seorang pencerita, tentang nasib seorang pembusker dan takdir yang tidak pernah terpisah mahupun diduganya. Pembusker juga dikenali sebagai busker, pemuzik jalanan, pengamen, seniman jalanan dan sebagainya.

Suatu waktu itu, tatkala seorang pembusker sedang berlagu di sepanjang lorong kehidupan, datanglah sesusuk tubuh bernama malaikat ( ada yang kata Nabi Khidir ), yang berupa seorang manusia lagak seorang pak tua berimej lusuh ke arah pembusker itu dan bertanya,

“Berapa yang kamu mahu hari ini?” tanya pak tua itu dengan wajah tenang sambil si busker agak terkejut merenung ke arah malaikat.

“Aku mahu RM1 juta”

“Boleh kamu beri alasan untuk RM1 juta itu?”

“Aku sudah terlalu penat, saban hari melayani rutin dan watakku di dunia ini sebagai busker. Setiap hari aku akan menyanyikan lagu yang sama, demi ringgit yang tidak pernah cukup. Aku mahu berehat dan menikmati hidup”

Jumlah RM1 juta bagi golongan bangsawan, ahli perniagaan yang sukses mahupun ahli politik yang korupsi bukanlah satu jumlah yang besar, namun bagi golongan marhaen, jumlah itu sangat besar bagi mereka.

“Baiklah, hari ini kamu akan dapat RM1 juta. Bekerjalah seperti biasa dan nikmatilah hidup, jika wang itu mampu membahagiakan kamu”, jawab sang malaikat sambil terus berlalu pergi hingga hilang dari pandangan.

Maka sang busker pun melakukan rutin buskingnya seperti biasa dari waktu pagi dia berjumpa dengan pak tua itu sehinggalah ke larut malam. Hasil sumbangan pada hari itu sangat luar biasa sehingga apabila dikira sepanjang dia busking, jumlahnya tepat RM1 juta seperti jaminan sang malaikat yang berupa pak tua itu tadi.

Pengunjung yang lalu lalang seakan melihat dia seperti magnet yang berjaya menarik simpati pengunjung yang lalu lalang untuk menghulurkan derma paling kurang RM50 mahupun  RM100.

Dengan hasil kutipan yang sangat lumayan pada hari itu, si busker mula mencongak masa depannya yang mengikut perkiraannya akan menjadi terang benderang dengan kilau materi yang tak berkesudahan.

“Dalam sebulan pendapatan aku mungkin sekitar RM3 ribu atau kurang sikit dengan duit hasil busking, dalam setahun aku akan dapat RM36 ribu lebih kurang.

“Hari ini aku ada RM1 juta, bermakna aku tidak perlu bekerja lagi sampai mati. Aku mahu berehat sambil meraikan hidup ini disamping membahagiakan keluarga, terima kasih Tuhan.”

Untuk satu tempoh, satu bulan selepas bergelar jutawan, si busker hidup sebagai seorang lelaki berjaya yang punya nilai keyakinan diri yang tinggi dan mula bergaya seperti orang kaya.

Jam mahal, seluar, makan pakai segalanya yang berjenama. Sungguhlah wang dan kebendaan itu mampu membutakan kita.

Sehinggalah selepas 6 bulan, si busker tiba-tiba termenung, seakan terselak helaian diari hidupnya sebelum segala-galanya bermula, terutama wataknya di dunia yang hidup dengan meraih rezeki sebagai pemuzik jalanan. Tentang pengalaman hidup yang sangat mahal diraihnya hasil hidup di jalanan.

Bertambah pula timbul masalah yang ditimpanya kesan makan tidur siang malam yang menjadikannya manusia pemalas sehingga mendapat penyakit “stroke”, lumpuh separuh badan.

Dapat RM1 juta, sebahagian besar wang itu dihabiskan untuk mengubat penyakit “stroke”nya itu. Pi mai tang tu, RM1 juta itu hanyalah sekadar ujian di dunia tentang siapa kita dan apa yang kita mahu sebenarnya dalam hidup ini.

Maka saat si busker buntu sambil merenung masa depannya yang semakin malap itu, datanglah sang malaikat yang berupa pak tua kepadanya, yang memberikan dia RM1 juta setahun yang lalu. Tanpa disapa, si busker terus bersuara.

“Aku mahu kehidupanku yang dulu, tolonglah wahai pak tua. Wang bukan menyelesaikan masalah bagi aku, bahkan menambahkan masalah. Aku rindukan watak aku di dunia ini. Aku rindukan suara aku saat menghiburkan manusia dengan bakat yang dianugerahkan kepada aku.

“Sekelip mata aku hilang segala apa yang aku ada. Pertuturanku sudah tidak jelas, sebelah tangan sudah layu bahkan untuk melangkah pun aku perlu dipimpin,” luah si busker sambil bercucuranlah airmata kekesalan yang terbit dari nada penyesalan.

“Ya anakku, setiap yang berlaku itu ada cerita dan hikmahnya. Kamu antara insan terpilih yang diberi kesempatan untuk menikmat hidup yang berlainan ragam dan gaya.

“Bahagia itu letaknya di jiwa. Itu sebab orang miskin pun boleh lena tidur walau beralaskan cebisan kotak. Orang kaya mungkin tidak dapat tidur lena walaupun bertilamkan tilam seempuk mana sekalipun.

“Dunia ini adalah sekadar cerita semata. Pengisiannya perlu kita letakkan di jiwa yang neutral, yang nilai keseimbangan itu perlu berada di atas jika kita mahu hidup di sini atas ihsannya. Berubatlah dengan lebihan wang yang telah kamu belanjakan itu, insya-Allah kamu akan sembuh."

Begitulah, akhirnya sang busker pun sembuh dari penyakit “stroke”nya dan kembali menemui dan menyatu dengan wataknya sebagai seorang busker. Waktu memang berlalu dan pergi. Raikanlah hidup ini, tentang siapa kita dan apa yang kita mahu sebenarnya dalam hidup ini, kebahagiaan jiwa ataupun nafsu semata?

Dan jika mereka bertanya berapa pendapatan yang paling banyak yang pernah diterimanya dalam satu hari, apabila si busker menjawab RM1 juta, 99% mereka tidak akan mempercayai katanya bahkan mentertawakannya. Itu tidaklah penting sebenarnya, yang penting adalah tentang siapa kita dan apa yang kita mahukan dalam hidup ini. Wallahua'lam... – 7 Januari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments