Perkataan Tuhan itu jika kita terbalikkan akan menjadi hantu. Kalau dalam konteks kefahaman dan perlambangan, Tuhan itu lambang pada kebaikan dan hantu itu kejahatan. Jadi kalau kita nak jadi orang baik, kita kena ikut jalan Tuhanlah. Kalau ikut jalan hantu, itu kira jahatlah.
Iblis, syaitan, makhluk halus dan jin termasuk dalam golongan atau makna hantu. Apapun hantu dan iblis penting dalam kehidupan manusia, sebab tanpa iblis dan hantu, cerita dunia ini akan mendatar dari mula sampailah ke penghujungnya.
Saya kaji dan ambil tahu juga perkembangan band-band black metal yang katanya berkiblatkan iblis sebagai Tuhan mereka. Ia hanyalah dari segi konseptual sahaja.
Kumpulan-kumpulan black metal seperti Mayhem, Gorgoroth, Burzum dan band-band di negara Eropah sana kebanyakannya pengikut Church of Satan. Mereka ini anti pada segala peradaban yang normal dan poyo.
Seperti ajaran Satanic Bible yang diasaskan oleh Anton Szandor Lavey pada 1966 di San Francisco, Amerika. Mereka asasnya adalah golongan Atheis yang tidak percayakan Tuhan, agama dan politik.
Kita boleh ikut yang mana kita mahu, jalanTuhan mahupun hantu. Cerita tentang Tuhan letaknya di jiwa dan cerita tentang hantu letaknya pada nafsu. Walau kita bersolat, jika jiwa tidak berserta, maknanya kita hanya bersenamlah.
Kenyataan dan kebiasaannya, apabila teringatkan hantu, bulu roma kita akan menegang kerana perasaan seram dan takut, apatah lagi jika bertembung dengan hantu.
Kebiasaannya juga di kalangan orang Melayu khususnya, tak kiralah sama ada mereka itu Tok Lebai atau Pak Haji, bila disebut Tuhan atau Allah, tak ada pula bulu roma naik menegang seram sejuk ketakutan.
Setakat bercerita tentang betapa takutnya kita kepada Tuhan Pencipta Alam, jika tidak mendatangkan kesan atau sekadar berlegar di ruang perasaan, itu sekadar bercakap bolehlah...
Bercerita tentang hantu, jin atau jembalang, saya percaya akan wujudnya benda-benda mistik ini semua. Sebabnya saya pernah melalui pengalaman diganggu makhluk halus, jin atau hantu ini.
Suatu malam, waktunya kira-kira jam 11.30 begitulah, waktu itu musim-musim terakhir di Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, jadi saya dan kawan-kawan serumah keluar beramai-ramai makan di sebuah medan selera di Manjung. Waktu balik kami berbasikal melintasi sebuah pokok ara di hadapan sebuah sekolah.
Seorang kawan bertanya, beranikah saya tidur di bawah pokok ara itu? Saya kata boleh saja, dalam nada yang ego tahap tinggi sambil ketawa kami pun pulang.
Waktu itu saya dan kawan-kawan seramai 7 orang menyewa di sebuah rumah kampung di DSK berdekatan pekan Manjung, Lumut. Sewanya RM60. Tidak ada bilik, hanya sebuah ruang tamu dan dapur berdindingkan cardboard. Kami akan tidur terlentang beramai-ramai dan saya di tengah-tengah malam itu.
Sebelum tidur biasanya saya akan bermain gitar dan nyanyi, yang lain semuanya macam dah tidur saya tengok. Di waktu itu saya nyanyikan lagu “I Love You to Want Me” yang dipopularkan oleh Lobo, penyanyi pop legenda era 70an.
Saya masih ingat lagi tatkala saya mulakan dengan, ‘When i saw you standing there...’ tiba-tiba dinding rumah kayu tempat saya bersandar seperti diketuk dan dicakar dengan kuat sehingga saya tersentak dan sangat terkejut.
Puas diketuk dan dicakar, makhluk yang saya rasa makhluk halus itu masuk mengetuk dinding plywood di dalam rumah pula. Saya yang tadinya berasa panik dan gementar mula mengumpul kekuatan dan semangat.
Suasana di dalam rumah menjadi seperti ribut dengan lampu kalimantang berpusing-pusing ditiup angin.
Perkara pertama yang saya lakukan adalah menyalakan suis lampu. Kemudiannya bersila dan membaca beberapa ayat al Quran yang masih dihafal. Akhirnya mahluk halus itupun beredar dan saya berasa amat lega. Pengajaran yang saya dapat daripada pengalaman ini ialah kita jangan bersikap takbur.
Kita melihat dalam masyarakat, budaya dan amalan mistik masih diamalkan dengan meluas terutama di kampung-kampung juga bandar.
Anak nak ambil periksa, kita jumpa ustaz. Anak terkena gangguan makhluk halus, kita jumpa ustaz juga. Segala masalah yang melibatkan unsur mistik, semuanya diserahkan pada ustaz untuk mengubatinya.
Bagi saya, ia tidak salah kerana salah satu cabang usaha juga. Sebagai contohnya kita berjumpa ustaz untuk air penawar anak kita yang akan menghadapi peperiksaan. Dari segi psikologinya ia sangat berkesan untuk membina tahap keyakinan anak kita, selain usaha dan kerja keras.
Begitu juga dengan gangguan makhluk halus. Sebelum ini salah seorang anak saya selepas pulang dari pusat peranginan mengalami demam berterusan. Badannya juga lemah tidak bermaya. Ke hospital, kata mereka hanya demam biasa.
Apabila berjumpa seorang ustaz, katanya disebabkan gangguan makhluk halus. Yang menghairankan saya apabila direnjis dengan bacaan doa yang dijampi ke dalam botol air, sembuh pula anak saya.
Jadi, asal ia salah satu cabang usaha dengan niat untuk menyembuhkan, bagi saya tidak ada salahnya berjumpa ustaz.
Tidak hairanlah kebanyakan bomoh dan ustad menjadikan kerja mengubat atau perbomohan sebagai satu kerjaya atau sebagai salah satu cabang menambah pendapatan kerana hasilnya yang lumayan.
Di Kuala Lumpur mana ada yang “free”? – 18 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments