Opinion

Zero yang dulu bukanlah yang sekarang

Kumpulan Zero baru saja memenangi pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 yang baru saja berlangsung baru-baru ini. RM500 ribu adalah satu jumlah yang besar. Saya sokong Zero menang, bukan sebab lawak mereka, tapi sebab mereka memang memerlukan kemenangan.

Yang lain saya tengok mereka ini kebanyakannya sudah melepasi para ‘survival’ terutamanya kumpulan Virus, nampak sangat seperti mereka tidak bersungguh-sungguh, mungkin sebab duit bukan lagi satu masalah.

Saya suka tengok kumpulan Jambu di awal-awal penyertaan mereka beberapa tahun lalu. Waktu itu mereka hadir penuh dengan idea-idea menarik dan memang kelakar tidak seperti hari ini. Jozan pula nyata belum ada ‘chemistry’ dengan mereka.

Lawak Zero bagi saya biasa saja. Di antara kesemua lima kumpulan peserta yang bertanding malam itu, tidak ada satu pun yang menonjol sangat, idea yang mereka persembahkan adalah idea lama.

Yang saya faham kebanyakan yang masuk pertandingan MLM asalnya daripada mereka yang tidak punya apa, mereka cuba untuk menjadi ‘nobody kepada somebody’. Mereka ini datang dari kampung, hidup susah dan perlu bekerja keras jika ada peluang, untuk hidup senang di masa depan.

Bila sudah dapat mencapai bintang di langit, biasanya mereka mula leka. Pelawak itu dengan deretan kereta mewah dan rumah besar, yang ini dengan segala-gala bentuk kemewahan. Mereka sudah bergelar selebriti.

Timing untuk Zero memang kena. Isu, keluhan dan azam mereka walau kita kata secara langsungnya untuk meraih simpati penonton. Itulah yang berlaku dan hadir tepat pada masanya. Majoriti rakyat kita ini mudah simpati.

Bertambah pula dengan niat mereka untuk menghantar ibu bapa mereka mengerjakan haji jika menang. Ini satu niat yang sangat murni. Jadi semua ini adalah ‘point’ yang penting untuk mereka. Harus diingat, undian majoriti datangnya daripada para penonton.

Daripada penonton dan pengundilah MLM boleh terus hidup dan menghadirkan jumlah hadiah yang lumayan, umpama duit ‘loteri’.

Saya membaca kisah dan kesukaran hidup mereka tiga beradik ini yang bekerja sebagai nelayan dan buruh kasar sehari sebelum final MLM. Simpati saya kepada mereka lebih. Kata saya, mereka perlu menang, yang lain dah kaya dan hidup mewah. Itu pandangan yang tipikal daripada majoriti rakyat kita.

Mawi menang pertandingan AF dan laku sekejap dulu sebab sokongan peminat, walau nyanyiannya tidaklah mencapai standard seorang juara seperti Jamal Abdillah atau Sharifah Aini.

Tapi disebabkan beliau ini hadir dengan pakej seorang hero yang mewakili golongan marhaen, masyarakat jadi suka sebab mereka melihat Mawi ini sebahagian daripada mereka.

Mawi hadir di AF dengan imej kampung yang Islamik. Pakai kopiah, pegang tasbih. Yang ini paling orang Melayu suka sangat. Walau sudah terkeluar, pun boleh masuk balik dan menang. Sempatlah buat duit sehingga ke hari ini.

Masyarakat kita tak suka yang berlagak dan yang kebaratan seperti ada mereka yang rambut pun dah dimerahkan penuh style moden hari ini. Di mana mereka kini?

Itu sebab penyanyi-penyanyi yang bertudung terutamanya seperti Najwa juga beberapa orang lagi mudah popular. Pakai tudung, menyanyi sambil main gitar dan tersenyum dengan kord-kord yang naif, ini semuanya ‘point’ untuk buat orang kita suka.

Kita tengok Shiro, Bocey, Nabil, Sepah Tu atau Zero, apa yang mereka pertontonkan pada kita adalah lawak daripada idea-idea yang sering mereka persembahkan sebelum ini. Bukan mudah untuk membuatkan orang ketawa, itu saya faham sangat.

Saya salut Nabil, berseorangan dengan ‘stand up comedy’nya, walau saya lebih suka Harith Iskandar yang lebih bijak daripada segi idea dan kreativiti.

Kadang-kadang kita lebih suka pelawak yang penuh dengan idea merapu yang tak masuk akal seperti arwah Din Beramboi dulu. Kita belum ada jenis pelawak yang begitu hari ini.

Era terbaik lawak jenaka bagi saya sewaktu zaman A.R Jaafar, Yahya Sulung dan Badul di tahun 70an dan 80an dulu. Memang lawak mereka itu boleh diklasifikasikan sebagai lawak bodoh, tapi lawak itu perlu ada elemen bodoh.

Seperti kita tengok program Mr Bean, lawak dan ideanya bodoh belaka dan tak masuk akal, tapi satu yang pasti, ia kita boleh kata juga, ‘macam bodoh tapi cerdik juga’.

Pointnya bagaimana untuk buat orang gelak dan terhibur? By hook or by crook, itu terpulanglah kepada kita. Siapa penonton kita dan setakat mana tahap mentaliti mereka dalam menilai tahap lawak yang dipersembahkan?

Jenaka adalah hiburan nombor satu di Malaysia hari ini. Dalam politik ada jenaka, agama pun begitu juga, dalam ceramah kalau nak popular penceramah perlulah kelakar orangnya, tidak seperti era Ismail Khamus atau Ghazali Hasbullah dulu.

Dalam kehidupan kita pun perlulah ada jenaka, kalau tidak hidup akan sepi. Cuma tidak perlulah berlebih-lebihan. Segalanya perlu seimbang. – 12 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments