Opinion

Ada pujuk, ada paksakah buat Najib?

Anda setuju atau tidak, Datuk Seri Najib Razak tidak akan letak jawatan  walaupun 30,000 atau 40,000 mahupun 100,000 rakyat turun ke jalan raya menuntut beliau berbuat demikian?

Bagi wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, protes jalan raya atau undi tidak percaya tidak akan menyaksikan Najib turun “takhta”.

Kadir memberi hujah mengapa beliau berpandangan demikian. Tidak perlu saya ulanginya. Cukup sekadar mengatakan saya setuju dengan pandangan itu.

Setakat ini saya juga setuju dengan pendapat Kadir yang Najib akan kekal sebagai perdana menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Walaupun setuju, ada persoalan yang berlegar-legar di minda.

Begini.

Jika 100,000 rakyat Malaysia menyertai protes Bersih 4, maknanya 100,000 orang itu tidak senang dengan Najib sebagai PM (walaupun desakan PM letak jawatan bukan satu-satunya tuntutan Bersih 4).

Secara rambang kemungkinan di belakang setiap orang yang turun ke jalan raya ada sekurang-kurangnya dua orang yang bersependapat dengannya, tetapi tidak menyertai protes atas sebab tertentu.

Maknanya jumlah gologan “anti Najib” berganda. Dan oleh kerana Najib tidak berganjak, mereka yang protes akan tunggu PRU14 untuk bertindak. Jangan lupa majoriti mereka boleh mengundi.

Tetapi hanya sebahagian (mungkin kecil) daripada mereka yang mengundi di pekan di mana Najib bertanding selama ini.

Yang lainnya akan mengundi di merata-rata kawasan seluruh negara. Dan oleh kerana mereka ini "marah" terhadap Najib, mereka akan halakan “kemarahan” mereka terhadap parti Najib.

Dalam erti kata lain, mereka tidak akan memberi undi kepada mana-mana calon yang mewakili parti pimpinan Najib, bagi memastikan beliau tidak muncul semula sebagai PM.

Lantas teringat ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad, “BN akan kalah PRU14 jika Najib masih jadi ketuanya”.

Berdepan dengan “kemungkinan" itu (dan senario Bersih 4), adakah Umno, khususnya orang-orang kuatnya, yang ingin atau bercita-cita bertanding pilihan raya hadapan (bersama rakan dalam komponen BN) akan mula berkata “mengapa harus aku menanggung sang ketua yang tidak disenangi ramai dan akibatnya aku sendiri tewas?"

Adakah mereka akan menggorak langkah? Untuk “menyelamatkan Umno dan BN? Lebih-lebih lagi diri sendiri?

Waullahualam.

Mungkinkah pemimpin kanan Umno akan cuba “memujuk" Najib berkorban demi parti? Atau “pujuk” bertukar kepada “paksa”? Kerana bimbang apa yang  diramal Mahathir akan menjadi kenyataan?

Sekali lagi wallahualam. – 29 Ogos, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments