Opinion

Apa yang dipertahankan si baju merah?

Tidak memeranjatkan penganjur tidak mengaku peserta himpunan baju merah yang buat perangai di Jalan Petaling adalah “orang mereka”.

“Perangai” yang dimaksudkan ialah kedegilan sekumpulan berbaju merah bersurai dari Jalan Petaling seperti yang diarah polis.

Sebaliknya bertindak liar sehingga memaksa FRU menyembur air.

Dalam keadaan sedemikian, tentunya penganjur “menjauhkan diri” daripada si pembuat perangai.

Sehari sebelum perhimpunan, penganjur mengeluarkan kenyataan mereka tidak bertanggungjawab jika perkara tidak diingini berlaku.

Mungkinkah mereka sendiri daripada awal lagi sudah merasakan keadaan perhimpunan akan sukar untuk dikawal? Lantas mengeluarkan kenyataan itu? 

Sebenarnya apa yang dilakukan kumpulan berbaju merah di Jalan Petaling juga bukan sesuatu yang memeranjat.

Hampir semua yang datang ke perhimpunan sudah menunjukkan kemarahan sebaik sahaja tiba di beberapa lokasi di ibu negara – sebelum perhimpunan bermula di Padang Merbok.

Kemarahan yang besar kemungkinan sudah dipupuk untuk sekian lama.

Namun Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang turut  hadir disalah satu lokasi, siap berkemeja merah melihat perhimpunan sebagai sesuatu yang mengeratkan perpaduan rakyat pada hari ulang tahun penubuhan Malaysia.  

Tetapi kata-kata kesat yang dikeluarkan serta tindak laku peserta dan pemimpin jauh daripada memupuk perpaduan. Lebih bersifat perkauman yang jelas “divisive”.

Mungkin beliau berpandukan nama perhimpunan yang ditukar daripada “Himpunan Maruah Melayu” kepada  “Himpunan Rakyat Bersatu” seperti yang diumumkan Presiden Pesaka Tan Sri Ali Rustam selaku penganjur rasmi sehari sebelumnya.

Dan kata Ali, peserta boleh datang memakai baju pelbagai warna, bukan hanya merah. Orang bukan Melayu juga dijemput katanya.

Tetapi yang datang hanya orang Melayu berpakaian merah.

Mana mungkin orang bukan Melayu khususnya Cina hadir apabila elemen perkauman sudah ditiup awal-awal lagi.

Dan ia terbukti apabila si baju merah datang  dengan sepanduk dan poster yang tertera  – “Malaysia Melayu punya, Melayu pantang dicabar”, “Hapuskan SJKC”. Ada banyak lagi yang merobek hati masyarakat Cina.

Imej keris, parang dan pahlawan Melayu menerjah sambil keris terhunus dipamer dengan megah.  Persembahan silat diadakan. Apa yang ingin ditonjolkan?

Jelas bagi mereka yang datang, Melayu benar-benar dicabar. Siapa yang mencabar? Orang Cinalah kata kebanyakkan mereka. Ada yang menyalahkan DAP Cina.

Apa yang dilakukan orang Cina sehingga si baju merah yakin Melayu dicabar? Tidak dihuraikan. Dua wartawan bertanya tetapi diejek, disorak dan dimarahi sehingga terpaksa beredar diiringi polis.

Soalan penting tidak dijawab.

Maka timbul persoalan – apa matlamat perhimpunan baju merah? Adakah maruah Melayu yang dipertahankan?

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau sendiri musykil.

Di antara ratusan sepanduk anti Cina dan anti DAP, ada poster yang ditulis “Kekal Najib, We are with you sir”.

Dan di hadapan peserta berbaju merah, Ahmad berteriak dengan laungan “Hidup Melayu, Hidup Umno”.

Bukan itu sahaja, beliau juga melaungkan “Hidup Najib”.

Rasanya itu menceritakan segala-galanya. – 17 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments