Opinion

Awat 31 orang tu tak mai?

Menurut laporan, 160 daripada 191 ketua Umno bahagian hadir pada pertemuan dengan presiden parti Ahad 8 Mac lalu. Bermakna 31 tidak datang.

Sebelum itu difahamkan pertemuan itu diadakan bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak memberi  "penjelasan " kepada ketua bahagian berhubung pelbagai isu yang sedang hangat diperkatakan masa kini. Khususnya yang berdepan Najib. Seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Maknanya pertemuan itu "penting".

Namun apabila 31 ketua bahagian tidak hadir, bolehkah disimpulkanmereka tidak berminat dengan isu sepenting 1MDB? Atau tidak minatnya mereka itu bukan terhadap isu berkenaan tetapi penjelasan yang mahu diberi presiden? 

Adakah ia sebentuk protes? Atau boleh dilihat sebagai satu "snub"? Tapi beranikah si ketua Umno bahagian bertindak sedemikian terhadap pemimpin tertinggi parti? Bukankah kerap kita diberitahu orang Umno sendiri "its always nice to be in the good books of the president rather than incur his wrath”?

 Waullahualam .

Apa pun, umum juga tahu bukan 31 orang itu saja yang tidak datang. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak hadir. Dilaporkan turut tidak muncul, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Muhkhriz Mahathir.

Bagi ahli Majlis Tertinggi Umno , Datuk Seri Ismail Sabri ketidakhadiran Muhyiddin "tidak perlu disalah tafsir kerana beliau ada komitmen lain yang dirancang terlebih dulu".

Jadi jika "nasihat" Ismail mahu atau boleh diterima, maka "nasihat" itu juga boleh atau perlu diguna pakai "to justify" tidak hadirnya Mukhriz dan 31 ketua Umno bahagian terbabit. Waullahualam sekali lagi.

Pertemuan 8 Mac presiden dengan ketua bahagian sejak awal menarik perhatian pelbagai pihak  berikutan ‘cakap cakap' politik ia dianjurkan bagi golongan yang dijemput menyatakan sokongan terhadap Najib. Solidariti untuk Najib  (selain memberi pentas untuk beliau jelaskan isu 1MDB dan sebagainya).

Maka timbul persoalan  mengapa perlu ada satu "show of support" jika memang wujud dalam Umno kumpulan yang tidak sokong presiden?

Lantas kedengaran juga ‘cakap cakap’ Najib akan atau perlu berundur. Atau didesak berundur. Yang jelas Najib tidak bercadang berundur secara sukarela mahu pun mengizinkan dirinya didesak melepaskan jawatan.

Ertinya satu-satunya opsyen yang ada bagi golongan "bukan pengemar" Najib ( jika mereka memang wujud dalam Umno) mengusir beliau ialah menerusi pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan.

Timbullah spekulasi  - kemungkinan Najib akan dicabar pada pemilihan Umno 2016. Sama ada itu akan menjadi kenyataan tidak boleh dipastikan. Buat masa ini.

Namun sehari sebelum pertemuan 8 Mac, ada sumber dalaman Umno memberitahu "kem Najib nak guna perjumpaan ni untuk sideline opinion Muhyiddin mengenai pemilihan Umno 2016 ".

Sumber itu mendakwa "kem Najib tak mahu pemilihan. Nak tangguh 18 bulan. Konon untuk solidariti. Muhyiddin cuma nak Umno ada vigour baru. Tanding, open dan dapat Umno yang solid”.

Kata sumber itu lagi:"Ini nyawa ketua bahagian. Nak extended lifeline. Kalau majoriti ketua bahagian kata tangguh Muhyiddin kena akur. Tapi apa jadi transformasi parti?”

Pertemuan 8 Mac dijalankan secara tertutup. Bagaimanapun Ismail, yang juga salah seorang penganjur pertemuan itu dipetik sebagai berkata semua ketua bahagian yang  hadir "terima baik dan puas hati dengan ucapan dan penjelasan Najib”.

Dan menurut Ismail lagi, mereka yang hadir menyatakan "sokongan penuh" terhadap Najib. Sesuatu yang dijangkakan sebenarnya.

Tetapi yang tidak dapat dipastikan ialah sama ada soal menangguh pemilihan parti 2016 dibangkitkan atau tidak pada pertemuan itu. – 10 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments