Nak pandang pun tak nak. Apa lagi pegang. Makan – nauzubillah – jauh sekali. Begitulah betapa benci, geli , loya dan jijiknya umat Melayu terhadap babi.
Malah ada yang sebut “babi” pun tak nak. "Khinzir", kata mereka. Namun bila marah “babi” digunakan untuk memaki. Dan yang kena maki, marah tidak terkata kerana dipanggil babi.
Baru-baru ini, binatang yang bukan babi pun dilihat sebagai babi.
Wombat,sejenis mamalia yang “mirip” beruang koala “dituduh” babi dan menimbulkan kemarahan umat Melayu.
Oleh kerana wombat hanya didapati di Australia, sebuah syarikat negara itu – Servcorp – menggunakannya sebagai maskot.
Dan sempena Aidilfitri yang menjelang tiba, Servcorp memaparkan wombat berbaju Melayu dan songkok untuk iklannya mengucapkan Selamat Hari Raya.
Imej itu dipaparkan menerusi papan tanda elektronik yang ditempatkan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Seperti dikatakan tadi, ada umat Melayu yang marah. Pada pandangan mereka, syarikat itu “memakaikan” babi baju Melayu dan songkok sebagai ucapan Hari Raya.
Kemarahan itu mengakibatkan iklan berkenaan ditarik balik (walaupun Dewan Bandar raya Kuala Lumpur berkata ia ada kena mengena dengan soalan perlesenan) dan Servcorp memohon maaf kepada mereka yang tersinggung.
Babi memang haram menurut Islam. Oleh itu, umat Islam menjauhi binatang itu. Namun, tahap benci orang Melayu terhadap babi agak melebihi umat Islam lain.
Imej wombat pernah digunakan oleh Servcorp di Arab Saudi tanpa masalah. Dalam erti kata lain, umat Islam di sana tidak marah. Mereka melihat wombat dan nampak wombat, bukannya babi.
Tidak mahu saya pertikai siapa betul, siapa salah. Keterlaluan atau tidak.
Cuma ingin menyatakan kalau rasuah, pecah amanah, zina, arak, judi dibenci seperti benci terhadap babi serta dihindari seperti menghindari babi, umat Melayu akan menjadi umat paling mulia di muka bumi ini.
Selamat mencari Lailatul Qadar. – 10 Julai, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments