Hari ini Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob akan memberi penjelasan berhubung isu pemberhentian kerja 3 wartawan kanan akhbar milik PAS itu yang hangat diperkatakan dewasa ini.
‘I will give after PAS Supreme Council meeting Sunday 11 January 2015, perhaps around 2pm”. Demikian bunyi SMS Dr Rosli ketika saya bertanya apa respon beliau terhadap isu berkenaan.
Baguslah begitu kerana sejak isu tercetus pengurusan Harakah mengambil sikap membisu seribu bahasa. Mungkin (saya ulangi mungkin) dengan harapan masalah itu akan berlalu pergi.
Walaupun isu pemberhentian pekerja sesebuah syarikat umumnya adalah masalah dalaman tetapi bagi Harakah ia sudah jadi masalah luaran. Bukan saja buat Harakah bahkan PAS sendiri.
Bagi pengkritik, 'tindakan' pengurusan Harakah terhadap wartawan kanannya termasuk ketua pengarang Ahmad Lutfi Othman 'menunjukkan' PAS khususnya golongan ulamanya 'tidak boleh menerima teguran' dan bersikap 'kuku besi'.
Lantas Harakah perlu beri 'their side of the story' walaupun 'to hire and to fire' (tapi perlu mengikut peraturan) adalah hak mereka sebagai majikan.
Namun perlu dinyatakan Lutfi masih bertugas sebagai ketua pengarang dan memberitahu saya beliau berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
Sementara menunggu penjelasan pengurusan Harakah, ada (atau ramai) yang masih bertanya apa yang sebenarnya berlaku.
Umum tahu Lutfi pernah diserang strok satu masa dulu. Kesannya masih dirasai tetapi beliau mampu menjalankan tugas. Baru-baru ini beliau mengalami masalah mata akibat komplikasi diabetik. Penglihatan terbatas dan kadang kala “saya tak nampak”, katanya.
Pun begitu kata Lutfi, reaksinya terhadap rawatan yang diberi pakar perubatan di HUKM amat baik dan beliau sudah ada perkembangan. Malah menurut Lutfi, pakar perubatan HUKM memberitahu beliau bukan pesakit yang mengalami ketidakupayaan fizikal yang kekal dan boleh sembuh.
Berdasarkan itu kata Lutfi beliau masih boleh bertugas dengan mengagihkan penugasan di kalangan pasukannya dalam tempoh beliau menerima rawatan atau pun masa cuti sakit.
Laporan perubatan akan diberi kepada pengurusan Harakah yang sebelum ini mahu Lutfi bersara dan mengambil skim pencen ilat Perkeso atas alasan kesihatan.
Tetapi Lutfi mendakwa jika laporan perubatan diambil kira beliau tidak akan layak untuk skim pencen berkenaan kerana diperakui pakar perubatan sebagai golongan masih boleh bekerja.
Berlatar belakangkan itu semua, isu ini nampak satu isu kesihatan. Namun apabila mengambil kira “pemberhentian” Tarmizi Mohd Jam dan Roslan Hamid, kedua-duanya pengarang atau editor, persepsi umum ialah ini ada kaitan dengan beberapa rencana yang dilihat sebagai anti ulamak dalam PAS. Maknanya tindakan politik kerana politik.
Lutfi tidak mahu menganggap isu membabitkan beliau berkaitan politik walaupun mengakui dalam isu menteri besar Selangor umpamanya pendirian sidang pengarang Harakah tidak sehaluan dengan pendirian kepimpinan tertinggi PAS.
Maka timbul persepsi khalayak dan katanya:“Saya tidak boleh buat apa-apa jika orang mempunyai pendapat atau intepretasi sendiri.”
Kita tahu dalam politik “perception is everything”. Kita tahu juga PAS kini mempunyai pelbagai masalah dalaman. Ada pergeseran antara pasukan itu dan pasukan ini. Cakap-cakap mengenai UG atau kerajaan perpaduan PAS-Umno timbul semula. Hubungan kepimpinan tertinggi PAS dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat tidak semesra dulu. Semua itu boleh membawa padah.
Isu Harakah walau apapun sebabnya sudah menyaksikan pemimpin akar umbi mengkritik keras kepimpinan tertinggi parti.
The last thing PAS need now is for that to snow balled into a full scale mutiny. – 11 Januari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments