"Datuk Seri Najib Razak akan letak jawatan Jun ini.”
Mungkin anda juga ada dengar khabar angin itu.
Dan oleh sebab "serangan" Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib yang jelas semakin hari semakin berbisa, ramai yang bertanya adakah ramalan dan spekulasi akan jadi kenyataan? Khabar angin jadi realiti?
Rasanya tidak jika dalil ini diambil kira. Melepaskan jawatan "dengan rela" akan dilihat umum sebagai Najib mengakui beliau benar-benar "lemah, pincang, silap" dan melakukan pelbagai "kebobrokan" seperti yang didedahkan Dr Mahathir.
Tidak mungkin Najib mahu "mengaku bersalah". Tidak kiralah sama ada apa yang Dr Mahathir cakap itu benar atau sebaliknya. Lantas beliau tidak akan berganjak. Kekal presiden Umno sekali gus perdana menteri.
Sumber Umno bersetuju Najib akan "stay put”. Dan sumber berkenaan mengetengahkan dalil tersendiri.
"Semua ketua bahagian dah sokong presiden," katanya. Bermakna ini termasuk golongan yang tidak hadir pada perjumpaan bertemu presiden yang diatur ibu pejabat parti tidak berapa lama dulu. Ketidakhadiran mereka ketika itu dilihat sebagai tindakan tidak menyokong presiden.
Berdasarkan apa yang dikata sumber Umno itu tadi, keadaan sudah berubah. A classic example of ‘sekali air bah sekali pantai berubah’. Apa pun, Tan Sri Shahrir Samad, pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional kini mahu wakil rakyat BN menyatakan sokongan terbuka terhadap Najib.
"Kami bukan menyokong secara membuta tuli. Sebaliknya berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan Najib, " katanya seperti yang dipetik media. Shahrir bagaimanapun tidak menghuraikan apa ‘perubahan’ yang dimaksudkan.
Laman web Umno MyKMU.net pula, sudah pun ‘menyerang’ Dr Mahathir.
Bekas orang nombor satu NSTP, Datuk Kadir Jasin (a well known Najib critic) mengakui sinis, Najib ‘is a tougher nut to crack’ berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana ‘Pak Lah tidak punya isteri yang bercita-cita tinggi’. Umum tentu faham maksud kata-kata itu.
Dalil itu seharusnya meletakkan Najib pada tahap keyakinan yang tinggi. Confident.
Pun begitu, team Najib menurut seorang Umno ‘insider’ tetap berusaha supaya pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan ditangguhkan ‘just in case’.
Bermakna hakikatnya mereka mahu memastikan bos mereka tidak dicabar walaupun alasan lazim ialah penangguhan untuk menghadapi PRU14. ‘Usaha’ ini dipercayai dilancarkan sejak tahun lalu dan saya pernah menulis mengenainya. Jika diambil kira apa yang dikatakan Umno ‘insider’ tadi, jelas usaha itu berterusan walaupun wujud dalil memberangsangkan buat Najib.
Sememangnya cara untuk ‘mengundurkan’ Najib ialah melalui pemilihan parti. Persoalannya ialah adakah sesiapa yang berani mencabar Najib untuk merebut jawatan presiden Umno? Jika ada siapa?
Bagi Kadir, pengganti Najib paling layak ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden sekarang.
Maka the obvious question ialah beranikah orang Umno mencalonkan Muhyiddin atau sesiapa saja untuk bertanding jawatan presiden menentang si penyandang gelaran?
Kata sumber Umno:"Mungkin sokongan untuk Muhyiddin tidak mencukupi.”
Umum faham menyokong presiden mempunyai banyak faedah dan manfaatnya. Semua maklum. Tak perlulah perincian. Dan sumber itu yang pernah terbabit dalam war room Umno masa PRU13 dulu juga berkata:"Dengan kelebihan yang ada pada presiden, mudah nak diffuse Muhyiddin.”
Berbalik kepada Dr Mahathir. Adakah apa yang dilakukan beliau sesuatu yang sia-sia? Tidak meninggalkan kesan terhadap Umno? Lalu apa yang akan atau boleh Dr Mahathir lakukan?
Demi Umno. Perlu diingat menurut Dr Mahathir, beliau lakukan semua ini untuk "menyelamatkan Umno". Beliau percaya BN yang diterajui Umno akan kalah pada pilihan raya umum akan datang jika Najib masih mengepalainya. Oleh itu Najib got to go.
Ramai percaya Dr Mahathir ada banyak lagi langkahnya.
Bagi blogger Umno (ada yang menyifatkan beliau anti Umno) Shabudin Husin mungkin Dr Mahathir boleh membuat laporan polis terhadap Najib khususnya berhubung kes Altantuya.
Jika itu terjadi tidak taulah apa yang akan terjadi. Anda bebas membuat huraian, ramalan, spekulasi, interpretasi sendiri. – 8 April, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments