Opinion

Guling Najib, betul atau tidak?

Kurang 2 minggu selepas mereka julang Datuk Seri Najib Razak, Pergerakan Pemuda Umno didakwa mahu guling beliau pula.

Dakwaan pembabitan 5 pemimpin Pemuda peringkat pusat  dalam “ komplot gulingkan Najib”, seperti kita maklum, didedahkan laman web Mykmu beberapa hari lalu.

Bagi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, “Tuduhan terhadap 5 sekawan adalah cubaan untuk melagakan Pemuda Umno dengan presiden.”

Lima sekawan yang dimaksudkan ialah Naib Ketua Khairul Azwan Harun, Exco Arman Azha Abu Hanifah, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, Sheikh Ahmad Nafiq  dan Datuk Mohamad Shafri Aziz.

Menurut Mykmu  kelima-lima hadir pada satu mesyuarat dengan Pemuda Johor di Rompin tempoh hari untuk ‘menghasut’ Pemuda Johor menentang Najib.

Mykmu, seperti umum tahu ialah laman web pro-Umno. Kata satu sumber Umno,  laman web itu aktif  menyerang Tun Abdullah Ahmad Badawi, presiden Umno ketika itu berikutan presati BN/Umno pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Kini kata sumber itu, Mykmu dikuasai seorang bergelar Datuk yang rapat dengan  Najib. Lantas laman web berkenaan bertindak menyokong dan mempertahankan Najib.

Oleh itu apabila Mykmu menyiarkan laporan komplot anti-Najib secara tiba-tiba, ia meletakkan Khairy dalam situasi yang amat tidak selesa. 

Khususnya apabila Azwan didakwa berkata, “Orang paling layak mengetuai tindakan jatuhkan Najib ialah Khairy.”

Tercetus persoalan di kalangan orang Umno sama ada Azwan berani bertindak berseorangan atau diarah dan direstui pihak tertentu. Dan ada yang terus “mensyaki ” Khairy.

“Saya anak jantan, saya tidak perlu macai macai“, kata Khairy kepada media sambil menafikan pembabitan dalam ‘komplot’ yang dilapor Mykmu.

Menerusi Twitter pula, beliau berkata “Kalau saya tidak sokong kepimpinan, saya akan nyatakan sendiri tanpa perlu menyuruh naib saya.”

Sekali gus menujukkan pendiriannya menyokong kepimpinan Umno, khususnya presiden.

Memang beliau disifatkan sebagai antara penyokong Najib paling kuat (ada yang kata paling setia) – kerap tampil mempertahankan presiden menghadapi pelbagai isu.

Khairy juga dilihat sebagai pemimpin  Umno paling berani berdepan dan berdebat secara terbuka dengan pihak lawan demi parti.

Lantas ada di kalangan Umno dan pemerhati parti yang ‘bingung’ mengapa satu laman web pro-Najib menyiarkan laporan yang menyusahkan Khairy menyokong kuat Najib?

Menurut seorang  pemerhati politik, beliau diberitahu beberapa ketua bahagian dan akar umbi, berkemungkinan dada pihak dalam parti yang masih belum memaafkan Khairy atas kesalahan masa lampau.

Tentu ramai masih ingat Khairy dahulu selaku pegawai khas PM Abdullah  mengetuai apa yang dikenali sebagai “budak budak tingkat 4“ amat tidak disukai orang Umno ketika itu.

Malah beliau dituduh antara punca kecundangnya Abdullah atau Pak Lah yang juga bapa mertuanya.

Mungkinkah itu sebabnya ada di kalangan Umno yang menganggap laporan Mykmu itu “untuk kenakan Khairy“?

Namun ada juga yang percaya Khairy mangsa iri hati kerana beliau “a fast rising star“ dalam Umno dengan rating lebih tinggi daripada presiden, timbalan presiden mahu pun ketiga-tiga naib presiden parti.

Tetapi mungkin juga ada yang bimbang Khairy akan bertindak bagai Hang Jebat menunggu Taming Sari untuk membalas dendam terhadap apa yang Umno lakukan keatas bapa mertuanya. 

Tidak kurang juga yang yakin beliau laksana Hang Tuah – yang kesetiaannya tidak boleh dipertikaikan.

Itu semua teori, andaian dan sifir politik di kalangan orang Umno. Sama ada mahu diterima atau diketepikan terpulang.

Perlu diingat Mykmu secara khusus tidak menuduh Khairy terlibat dalam apa yang mereka dakwa komplot guling Najib.

Cuma Khairy terpalit oleh kerana laman web itu mendakwa ada pembabitan  pemimpin yang dilihat orang Khairy.

Namun, Mykmu kelihatan menekan Khairy dengan mendesak beliau melaporkan dakwaan mereka kepada lembaga disiplin Umno dan sebagainya.

“Untuk membersihkan nama dan imej Pemuda,“ kata mereka.

Apa pun persoalan paling penting ialah sama ada dakwaan Mykmu itu benar atau  tidak.

Selain Khairy, Exco Pemuda Arman Azha Abu Hanifah yang turut hadir pada mesyuarat di Rompin sudah menafikan laporan Mykmu yang katanya bertujuan hanya untuk menaikkan rating.

Turut membuat penafian ialah Ibdillkah Ishak, Exco Pemuda (yang Mykmu tidak senaraikan sebagai antara hadirin mesyuarat berkenaan) dan Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim.

Begitu juga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor. Cuma Azwan yang dikenali sebagai Azwan bro di khalayak Umno belum tampil (sehingga artikel ini ditulis).

Bagaimanapun Mykmu tetap tidak berganjak – mempertahankan  laporannya dengan mendakwa mereka punya  bukti.

Apa agaknya kesudahannya? – 26 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments