Kata presiden Umno, mesyuarat Majlis Tertinggi partinya 9 September lalu "ambil maklum” mengenai kedudukan tidak ada undang-undang berhubung sumbangan politik, di samping tidak perlunya dari segi undang-undang untuk mengumumkan siapa penderma.
Dan kata Datuk Seri Najib Razak lagi, semua parti politik termasuk pembangkang mengamalkan kutipan dana.
Beliau dengan cepat membidas Bersih 4 kerana menurutnya ketika mengutip derma tidak mendedahkan siapa pemberi sumbangan tetapi “meminta macam-macam” apabila Umno/Barisan Nasional (BN) berbuat demikian .
“We can’t have double standards,” kata Najib.
Maka bolehkah disimpulkan apa yang Najib kata ialah “jika kamu boleh buat kami pun boleh buat?”
Dan apabila beliau berkata MT Umno “ambil maklum” ia bermakna Umno menerima keadaan masa kini berhubung political funding. Begitu?
Namun, itu bukan perkara baharu dan pernah disuarakan Najib dan pemimpin lain Umno.
Pada mesyuarat itu ,Najib juga dilapor mengulangi janji akan menyelesaikan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa 6 bulan (sebenarnya beberapa bulan sudah berlalu sejak janji itu mula dibuat – maknanya jangka 6 bulan sudah “terpendek”).
Lantas itu pun bukan perkara baharu.
Jadi apa yang baharu?
Umno tidak halang ahlinya menyertai perhimpuan “baju merah” pada 16 September ini.
Ini isu baharu. Walaupun memberi izin ahli berhimpun membuka ruang untuk Umno ditduduh bermain isu perkauman dan “merumitkan” kedudukan rakan mereka dalam BN, khususnya MCA .
Apa pun, agak “naif” (menggunakan istilah tidak kasar) jika ada yang percaya “hanya” itu yang MT Umno “ambil maklum”.
Lebih “naif” jika ada yang yakin semua masalah Umno sudah selesai hanya kerana tidak ada “fireworks” pada mesyuarat 9 September dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rakan-rakan tidak dipecat.
Dan Najib memuji Muhyiddin. Abang Din pula mengulangi kesetiaannya kepada parti dengan mengumumkan “saya Umno totok”.
The fact that Datuk Ahmad Maslan, ketua Penerangan Umno diejek ahli parti yang berkumpul di lobi ibu pejabat Umno, tells the story.
Begitu juga dengan keengganan Najib menggunakan pintu utama pada masa datang dan balik. Sebaliknya memilih pintu belakang untuk mengelakkan kumpulan ahli Umno di lobi.
Sebelum itu, satu majlis “jasamu dikenang” buat Muhyiddin anjuran satu Umno bahagian terpaksa “ditunda” atas arahan setiausaha agung parti.
Jadi apa yang dibincangkan MT selain apa yang diumumkan Najib kepada media selepas mesyuarat selesai?
Persoalan ini timbul kerana mesyuarat MT ditangguh 2 kali sebelum ini dan mesyuarat 9 September adalah yang pertama sejak Muhyiddin dilucutkan daripada jawatan timbalan perdana menteri.
Banyak yang berlaku dan banyak yang dicurahkan termasuk kata-kata pedas sejak itu. Lalu ramai yang menjangka pelbagai benda apabila MT bersidang.
Muhyiddin dan rakan-rakan tidak disingkir memang dijangkakan “demi kestabilan Umno” .
Bila Muhyiddin dikekalkan sebagai timbalan presiden Umno, amat menarik jika dapat diwujudkan satu keadaan dimana beliau menjaga hal ehwal parti manakala Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengurus hal pentadbiran negara selaku timbalan perdana menteri.
Kedua-dua bantu Najib menguruskan hal parti dan kerajaan. Satu bentuk “separation of power”. Cantik di atas kertas but it won’t happen atas pelbagai sebab yang tidak perlu dihuraikan.
Timbul persoalan mungkinkah ada “peace plan” yang dibawa ke mesyuarat MT Umno tempoh hari?
Satu “win win situation”? Satu kompromi mungkin? Atau pelan peralihan kuasa? Walaupun Najib tidak menunjukkan apa-apa isyarat beliau mahu berundur pada masa terdekat.
Jika Tun Dr Mahathir Mohamad begitu yakin Umno/BN akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika Najib masih memimpin BN, mungkin kah Najib boleh atau sedang dipujuk untuk undur sebelum PRU14?
Adakah itu yang dibincangkan pada mesyuarat MT 9 September lalu?
Ahli MT yang hadir membisu seribu bahasa. – 11 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments