Opinion

Jalan-jalan cari jalan

Di Kuala Lumpur ada Jalan Haji Taib. Dan rangkaiannya yang diberi nama Lorong Haji Taib 1, 2 dan sebagainya .

Dan umum tahu, bila sebut sahaja jalan dan Lorong Haji Taib, the first thing that comes to mind ialah pelacuran dan aktiviti dadah.

Siapa Haji Taib? Menurut Wikipedia nama penuhnya ialah Haji Taib bin Haji Abdl Samad, saudagar yang kaya suatu masa dulu.

Pasti jasanya kepada masyarakat khasnya orang Melayu ketika itu  sehingga nama beliau diambil pihak berkuasa untuk menamakan jalan dan lorong di kota Kuala Lumpur.

Itu tanda hormat dan pengikftirafan terhadap jasa beliau.

Namun amat malang dan sedih seorang ‘haji’ yang kaya dan berjasa besar terpalit (secara langsung atau tidak) dengan kegiatan maksiat hanya kerana jalan dan lorong yang menggunakan nama beliau terkenal sebagai sarang pekerja seks  dan penagih dadah.

Tentunya awalnya , masa ia dinamakan dulu, Jalan Haji Taib tidaklah bergelumang dengan maksiat tetapi lama kelamaan ia jadi seperti yang terjadi sekarang.

Beralih ke Ipoh.

Pada 2008 kerajaan Pakatan Rayat di Perak ketika itu bercadang menukar nama  Jalan Silibin kepada Jalan P. Patto bagi memberi penghormatan terhadap mendiang pemimpin DAP itu.

Pun begitu pelbagai pihak  membantah. Antaranya atas atas sebab sejarah.

Banyak juga kata kata kesat diluahkan pihak yang membantah. Terguris hati keluarga mendiang Patto. Lantas keluarga Patto yang tidak pernah  meminta apa-apa jalan raya pun dinamakan sempena mendiang , memohon kerajaan negeri membatalkan hasrat itu.

Justeru, Jalan Silibin kekal sehingga kini.

Balik ke Kuala Lumpur – khususnya di Kampung Baru.

Apabila ayah saya meninggal dunia pada 1966  kerajaan negeri Selangor bercadang menamakan sebatang jalan di Kampung Baru sempena allahyarham.

Ketika menghempus nafasnya yang terakhir ayah saya ialah speaker Dewan Undangan Negeri Selangor  dan wakil rakyat Kampung Baru (sekarang kawasan Parlimen Titiwangsa ). Kuala Lumpur ketika itu di bawah pentadbiran negeri Selangor.

Seperti keluarga Patto, keluarga saya juga tidak pernah memohon agar nama ayah saya diambil untuk menamakan mana-mana jalan.

Alhamdulillah, pihak berkuasa masa itu tidak memilih jalan yang sedia ada nama untuk dinamakan semula dengan menggunakan nama allahyarham ayah saya.

Jika tidak kelaurga saya juga akan pasti bertindak seperti keluarga Patto dan meminta kerajaan Selangor membatalkan hasrat  mengambil nama ayah saya untuk menggantikan nama jalan yang sudah ada.

Sebaliknya kerajaan negeri ketika itu memutuskan untuk menamakan satu jalan di satu kawasan baru dibuka di Kamung Baru,  yang belum “ada” nama  sebagai penghormatan  kepada  allahyarham ayah saya – Dato Abdullah Yassin.

Jalan Dato Abdullah Yassin kekal sehingga hari ini.

Masih di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Banyak jalan di Kampung Baru suatu ketika diberi nama Inggeris sempena  pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu dulu.

Maka di Kampung Baru ada Jalan Watson, Jalan Perkins,  Hale Road, Jalan Stoney, Jalan John Hands, Princess Road dan sebagainya.

Pada tahun 1970an, mungkin atas semangat nasionalisme, kerajaan memutuskan untuk menamakan semula jalan-jalan itu.

Nama nama Inggeris dibuang dan digantikan dengan nama Melayu .

Muncullah Jalan Raja Muda untuk menggantikan Princess Road. Jalan Dewan Sultan Sulaiman mengambil alih Jalan Stoney dan sebagainya.

Namun pada 2000 sesuatu yang agak pelik berlaku.

Nama lama jalan-jalan itu muncul semula. DBKL meletakkan nama lama di bawah nama jalan masa kini. Umpamanya di bawah Jalan Raja Abdullah tertera  Jalan Hale (nama asal) dalam tulisan kecil. Begitu juga beberapa nama lain.

Mengapa? Why change in the first place kalau begini jadinya?  Mungkin untuk mengingatkan masyarakat akan sejarah? Waullahualam.

Tidak jauh dari Kampung Baru ada Jalan Semarak. Di situ ditempatkan UTM dan Pulapol antara tandanya .

Dulu Jalan Semarak dikenali sebagai Jalan Gurney. Sempena Sir Henry Gurney. Ditukar jadi Jalan Semarak sempena program Setia – pemimpin  bersama rakyat zaman Tun Mahathir Mohamad jadi perdana menteri dulu. Kini jadi Jalan Sultan Yahya Petra.

Tukar dan tukar dan tukar. – 3 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments