Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tapi kerana Mukhriz ialah anak Dr Mahathir maka ramailah orang yang membandingkan beliau dengan ayahya. Khususnya cara beliau memimpin dan memerintah.
Dan kerana Mahathir “raised the bar” semasa memerintah negara selama 22 tahun, adalah sukar bagi Mukhriz untuk mencapai tahap kejayaan yang diukir ayahnya.
Seperti yang dikatakan tadi, Mukhriz bukan Mahathir (in fact, no one else is). Mungkin Mukhriz punya caranya tersendiri dalam mentadbir Kedah. Tetapi tidak banyak yang didengari tentang apa yang beliau lakukan untuk negeri kelahiran ayahnya itu.
Bagi pengkritik Mukhriz, ini disebabkan memang tidak ada program yang diperkenalkan beliau.
Kata satu sumber Umno: “Mukhriz dilihat sebagai menteri besar yang lemah. Banyak masalah. Kedah sekarang tidak ada beza dengan zaman PAS memerintah. Lembab.”
Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan apa “masalah yang banyak“ itu.
Namun mungkinkah program pentadbiran Mukhriz memang ada tetapi kurang atau tidak dihebahkan media? Termasuk media milik atau pro-Umno atas “sebab sebab tertentu”?
Walau apa pun, wujud “kumpulan” dalam Umno yang bukan penggemar Mukhriz. Itu hakikat.
Sumber Umno mendakwa “ketidakpuasan hati ketua-ketua bahagian dah lama. Sejak PRU 13. Mukhriz mereka lihat sebagai tidak ada hala tuju”.
Dan apabila Mukhriz menangguh menyatakan pendirian beliau (dan Umno Kedah) berhubung kritikan keras ayahnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, “musuh” politiknya mengorak langkah.
Kata satu lagi sumber Umno: “Bila Mukhriz kata tak akan sokong Najib selagi audit 1MDB tak selesai, ini modal warlords nak tikam dia.”
Tidak dapat dipastikan sama ada Datuk Ahmad Lebai Sudin, Adun Bukit Lada antara “warlords” yang dimaksudkan. Yang pasti beliau secara terbuka ”meminta” Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar “jika tidak sokong Najib”.
Bagi Ahmad, MB dilantik perdana menteri dengan sokongan Adun BN dan “sekiranya tidak lagi sokong PM eloklah letak jawatan”.
Jika dilihat kata-kata Mukhriz, beliau bukan tidak menyokong Najib. Yang dikata beliau ialah mahu tunggu keputusan atau hasil siasatan audit terhadap 1MDB sebelum menyatakan pendirian.
Ada yang melihat itu sesuatu yang “wajar” dan “adil”. Tetapi ada juga yang menyifatkan Mukhriz “bermain kata-kata sambil tarik tali” dan “melengahkan masa”.
Lantas tekanan dikenakan ke atas MB Kedah itu.
Dan terbaharu Mukhriz dilapor berkata akan mengumumkan pendiriannya (dan Umno Kedah) 24 April ini. Jika ini dilaksanakan, jelas hasrat “tunggu sehingga siasatan audit kertas 1MDB selesai” dipendam atau diketepikan. Tidak mungkin siasatan itu beres sebelum 24 April.
Adakah pengumuman itu disebabkan tekanan? Yakni Mukhriz tunduk kepada tekanan?
Berbalik kepada saranan Ahmad Lebai tadi supaya Mukhriz melepaskan jawatan MB. Itu juga satu bentuk tekanan.
Andainya saranan itu diterima dan Mukhriz tunduk kepada tekanan lalu benar benar letak jawatan, apakah kesannya?
“Kalau Mukhriz nak pressure Najib, resignlah,” kata seorang bekas ahli think tank Umno.
Katanya lagi: “Logiknya anybody in position resigning will pressure Najib.”
Sumber dalaman Umno dan pemerhati politik sependapat jika ini berlaku ia akan membukti Umno ialah sebuah parti yang “dilanda krisis” (mungkin inilah sebabnya naib presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi “amaran” awal jika Umno Kedah berpecah bererti Mukhriz gagal sebagai MB?).
Menurut seorang pemerhati politik, tanpa apa apa jawatan, Mukhriz tidak terikat dan akan bebas bertindak.
Menggunakan istilah gusti, si pemerhati politik itu berkata: “Kalau Mukhriz tag team dengan Tun, power bro.”
Tak perlulah dihurai siapa “Tun” yang dimaksudkan itu kan? – 14 April, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments