Betul ke orang Melayu tak tahu bercakap benar? Atau tak mahu bercakap benar?
Contoh: ada Melayu tiba tiba muncul di rumah anda. Tanpa diundang, tanpa memberitahu anda terlebih dahulu yang dia akan datang. Tup tup dia muncul. Ketika itu, anda pula sedang makan. Terus anda pun mempelawa atau ajak si tetamu makan sama.
Si tetamu Melayu itu akan pasti menolak pelawaan anda. Dengan nada lembut dia akan kata dia sudah kenyang kerana “baru makan sebelum datang tadi”.
Tapi sebenarnya dia belum makan. Dan kemungkinan besar sedang “kebulur”. Adakah dia berbohong kepada anda? Tidak. Well, not “bohong” dalam erti kata sebenar. Dia sekadar “tidak berterus terang”.
Mengapa? Kerana dia tidak mahu menyusahkan anda. Dia tidak mahu anda bersusah payah dan tergesa gesa menyediakan “extra” makanan semata mata untuk dia. Dia berasa bersalah dan at the same time mahu “menjaga hati” anda. Lantas dia “cakap berlapik”.
Kesimpulan. Lazaimnya orang Melayu tidak bercakap terus terang untuk menjaga hati orang. Ada baiknya. Ada juga tidaknya.
Teringat saya akan bekas timbalan perdana menteri (Tun) Musa Hitam. Berucap ketika merasmikan satu perhimpuan Pemuda dan Wanita Umno pada tahun 1980-an selaku timbalan presiden parti, beliau menyarankan orang Melayu mesti ada “budaya kurang ajar”.
Maksud beliau ialah orang Melayu mesti berterus terang. Cakap apa yang dirasai. Apa yang terpendam. Tidak usah cakap berlapik.
Musuhnya dalam Umno sendiri mengeksplotasikan kenyataan beliau itu.
Musa digambarkan sebagai pemimpin Melayu yang melanggar budaya satu bangsa yang amat berbangga dengan amalan sopan santun budi bahasa.
Teringat pula zaman saya budak budak dulu. Years ago. Many years ago, in fact.
Kerap saya dengar orang dewasa memberitahu budak budak jangan duduk atas bantal “nanti bontot bisul”. Sebenarnya mereka tidak mahu bantal koyak dan kekabu beterbangan. Atau bantal hilang gebunya jika asyik dihempap dan dihenyak henyak punggung anak-anak “lasak”.
Budak juga dilarang makan banyak ikan kerana “cacing nanti”. Larangan ini ialah supaya budak budak tidak “melicinkan” hidangan sehingga anggota keluarga lain tidak dapat menjamah ikan yang dimasak.
Ini pada zaman ramai orang Melayu tidak mampu beli banyak ikan “bagus”. Atau ikan hanya boleh diperolehi jika ditangkap sendiri. Dan bukan senang nak tangkap ikan.
Tidak lupa juga apabila orang dewasa kata budak kalau tak basuh kaki sebelum tidur akan menggigau, tujuannya agar anak tidak mengotorkan kain cadar dan tilam.
Pada saya “pembohongan” seperti itu satu cara bijak untuk menyampaikan mesej demi mencapai matlamat.
Namun tentu ada juga yang negatif.
Umpamanya apabila orang Melayu (dulu dan ada juga Melayu sekarang) malas atau penat untuk mengawal anak kecil mereka merayau bermain jauh maka berkatalah mereka kepada anak – “kamu jangan pergi sana nanti momok tangkap”.
Kesannya budak budak tidak merayau kerana takut ditangkap momok walaupun tidak tahu apa itu momok dan bagaimana rupa momok.
Mungkin akibat dimomok-mokan sejak kecil ramai Melayu tidak berani pergi jauh atau mengambil risiko dalam pelbagai bidang dan selalu bergantung harap.
Pun begitu ada gologan Melayu yang menyambut baik amalan masa lampau itu. Umpamanya politikus.
Sang politikus memomok momokkan Melayu – “sokong aku jika tidak kamu hilang kuasa, hilang agama, hilang segala galanya di tanah air sendiri”.
Berkata mereka lagi: “sokong dan terus sokong jika tidak mahu ditangkap momok”.
Ada benarnya hujah Pak Samad Said tempuh hari masanya sudah tiba untuk orang Melayu tidak terlalu taksub dengan dakwaan mereka sedang diancam.
Tak kira lah yang kononya membawa "ancaman" itu momok, jembalang atau hantu.
Termasuk hantu raya mahu pun hantu tetek. – 18 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments