Opinion

Perhimpunan ‘jinak’ atau sebaliknya?

Heboh di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) tengah hari semalam presiden Umno konon tidak akan hadir Konvensyen Penerangan Isu Semasa Pergerakan Pemuda Umno yang dijadualkan pada jam 2.30 petang.

Bukan sekadar tidak hadir, ada yang kata Datuk Seri Najib Razak “enggan” datang. Lagi kecoh. Ini tidak pernah terjadi sebelum ini.

Kira-kira sejam sebelum konvensyen bermula notis dikeluarkan memaklumkan konvensyen dibatalkan. Sebab pembatalan tidak dinyatakan.

Namun menurut sumber Pemuda: “ada sekumpulan kecil nak naikkan kain rentang undur Najib dan buat demonstrasi. Untuk elak pening kepala, Tengku Nan arah batal terus “. (Tengku Nan umum tahu ialah Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung Umno).

Sama ada itu keputusan tepat atau tidak, ia bermakna walaupun Najib kukuh dikelilingi penyokong dan PWTC diselia rapi ibu pejabat parti untuk memastikan hanya “the president’s men and women” (orang presiden) mendominasi perhimpunan agung Umno kali ini, ada juga kumpulan anti Najib yang berani tonjol pendirian.

Justeru, “Team Najib” tidak boleh “take things for granted” (ambil mudah).

Mungkin untuk tidak “take things for granted“, setiausaha agung Umno melarang media daripada membuat liputan perhimpunan tempoh hari (kemudian tarik balik larangan disusuli memberi izin sesetengah media sambil melarang yang lain khususnya media dalam talian).

Begini. Perwakilan ke perhimpunan agung Umno sememangnya perlu menerima lampu hijau ibu pejabat sebelum dibolehkan hadir .Tetapi kali ini kawal selia dikatakan lebih rapi. Malah, kali ini pakaian perwakilan juga ditentukan ibu pejabat.

Ada perwakilan mendakwa atas arahan ibu  pejabat, perwakilan dikehendaki memakai baju Melayu merah pada hari pertama,  putih hari kedua dan kuning hari ke-3 supaya nampak “sekata, sehati, sejiwa”. (Lazimnya perwakilan lelaki dan pemimpin memakai baju Melayu pelbagai warna).

Tapi ada juga perwakilan berkata itu sekadar “cadangan dan bukannya arahan proper (sebenar)”.

Apa pun bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kali ini hanya perwakilan “yes man“ yang benar-benar pro Najib dipilih. Pemilihan dikatakan dibuat dengan rapi.

Lantas mereka tidak akan mengkritik Najib dan barisan kepimpinannya atau membangkitkan perkara yang menyulitkan mereka. Contohnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan politik RM2.6 billion dalam akuan peribadi presiden.

Sumber dalaman Umno berkata: “fireworks are not expected“ ketika perbahasan usul tahun ini. Ini kerana perwakilan yang berucap tahu apa yang patut dicakapkan dan apa yang tidak. Tahu pantang larangnya.

Pun begitu adakah ibu pejabat mahupun Ku Nan sendiri tidak yakin perwakilan akan mengikut skrip? Lantas melarang liputan media supaya benda yang tidak patut keluar tidak keluar dan dilaporkan media? Khususnya media yang tidak dikawal Umno.

Atau mereka ingin memastikan perkara yang boleh mengaibkan presiden dan “team” beliau tidak disajikan untuk khalayak?

Tapi dengan menarik balik larangan ke atas media adakah bermakna ibu pejabat cukup yakin semua perwakilan akan “ikut skrip” lalu perkara yang memalukan tidak ditimbulkan?

Beralih kepada kedudukan Muhyiddin.

Timbalan presiden itu yakin beliau akan dicemuh pada perhimpunan kali ini. Di samping menjadi “tunggul“ (memetik kata-kata beliau sendiri) kerana tidak diizinkan berucap.

Namun, yang berkemungkinan besar ialah Muhyiddin akan dipinggirkan dan diabaikan sepanjang perhimpunan.

Persoalan utama sekarang ialah adakah Muhyiddin sudah “melampaui batas semasa berucap di Kampung Baru malam Isnin lalu?.

Ya, kata Ku Nan dan Muhyiddin kata beliau “boleh kehilangan jawatan “.

Menurut sumber Umno pula: “sudah ada cukup alasan untuk Muhyiddin dipecat”.

Pecat atau tidak? Now or later (sekarang atau kemudian)? Wallahualam.

Kata naib presiden Datuk Seri Zahid Hamidi, Umno tidak akan berpecah berikutan tindakan ke atas Muhyiddin .

Dan bagi beliau tidak ada ruang dalam Umno untuk “ kumpulan serpihan “.

Bagi Najib tentunya aspek “bersatu untuk kekuatan” akan diketengahkan dalam ucapan perasmian perhimpunan esok –  “demi masa depan Melayu dan Islam “.

Mungkin juga beliau akan bercakap mengenai bahayanya untuk Umno “ musuh dalam selimut” atau “gunting dalam lipatan “ , seperti yang pernah diucapkan sebelum ini di beberapa majlis parti.

Mungkin juga mengulangi “penjelasan” mengenai 1MDB dan RM2.6 bilion.

Adakah perwakilan akan berpuas hati dengan “penjelasan “ demikian? Atau akan  ada yang bangun bertanya itu dan ini mengenai khususnya akaun peribadi Najib? 

Namun, masakan ada perwakilan berani bertindak begitu? Bukankah mereka golongan yang dipilih khas setelah disaring?

Kata sumber Umno : “Susah nak baca sentimen perwakilan ni“. Entahlah. – 9 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments