Sedih. Rasanya masih ada umat Islam Melayu yang tidak “yakin” dengan penafian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan juga Jakim berhubung “lulusnya” pendaftaran kumpulan golongan murtad.
Begitulah tahap kepercayaan umum terhadap pihak berkuasa. "Level of trust" agak rendah sehingga sebarang penafian pihak berkuasa (bukan sahaja RoS dan Jakim) mengenai apa jua “isu” kurang diyakini ramai atau terus tidak dipercayai. Sekali lagi sedih kerana ini membabitkan soal kredibiliti pihak berkuasa.
Terus terang saya mengakui saya sendiri “kerap sangsi” apabila pihak berkuasa membuat penjelasan mahu pun penafian berhubung sesuatu isu.
Namun lain keadaannya kali ini.
RoS menafikan “sekeras kerasnya” dakwaan ia meluluskan pendaftaran apa yang ”dikenali” sebagai Persatuan Melayu Murtad, Persatuan Melayu Kristian dan juga Majlis Forum Antarabangsa.
Sehari sebelum kenyataan RoS, Jakim turut menyatakan penafian sama “setelah semakan dibuat dengan RoS dan Kementerian Dalam Negeri".
Kali ini saya yakin dan percaya kedua dua agensi kerajaan itu berkata benar. Sebab tidak mungkin RoS yang dipimpin dan dianggotai majoriti umat Islam Melayu akan mengiktiraf sesuatu pertubuhan yang haram mengikut pandangan Islam. Mereka tahu pentingnya menjaga aqidah sendiri. Apatah lagi Jakim yang bertanggung jawab antaranya mempertahankan kesucian agama.
Dan tidak mungkin juga kerajaan yang "mengisytihar” Malaysia negara Islam akan membiarkan agensi meluluskan pendaftaran kumpulan murtad.
Begitu logiknya.
Pada sudut lain pula, tidak mungkin si “Melayu Kristian” dan si “murtad” begitu bodoh sehingga mahu bergerak bebas dan “declare” status mereka dengan mendaftar pertubuhan.
Mereka tidak tolol mengundang tindakan undang-undang dan lebih menggerunkan, pelbagai kemungkinan terhadap diri mereka.
Pun begitu, penafian pihak berkuasa hanyalah penafian semata mata. "Merely a denial – nothing else and silent on two important aspects."
Satu, pihak berkuasa tidak menyentuh persoalan samada kumpulan berkenaan benar-benar wujud. RoS dan Jakim hanya menafi tiga kumpulan berkenaan didaftarkan tetapi tidak bercakap menenai kewujudannya.
Ramai yang pernah “dengar” atau pun baca laporan berita mengenai orang Melayu murtad dan Melayu yang "masuk” Kristian. Persoalan: adakah jumlah mereka begitu ramai sehingga “mampu” menubuhkan persatuan?
Kedua, daripada siapa atau mana khabar angin (menurut Jakim, berita palsu) mengenai pendaftaran bermula? Tahu puncanya tahulah matlamatnya.
Mungkin RoS berpendapat bukan bidang kuasa mereka menyiasat. Bagaimana pula Jakim? Dengan kerjasama agensi lain mungkin?
Khabar angin ini dan juga mengenai dakwaan gerakan “memurtadkan” Melayu Islam sudah lama timbul dan sejak kebelakangan ini kerap disebarkan melalui SMS, Whatsapp dan juga Facebook.
Ia mula "pick-up" momentumnya apabila si penerima khabar angin bertindak memanjangkan penyebaran.
Rasanya eloklah diteliti terlebih dahulu dan gunakan logik daripada terus forward. Kononnya di atas nama Islam dan niat ingin “menyelamatkan” saudara seagama. – 15 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments