Opinion

Politik: Isteri, anak dan kereta mewah

Adakah Umno, khususnya barisan kepimpinan, menerima baik teguran dan kritikan yang  dilemparkan penyokong parti termasuk bekas pemimpin Umno sendiri? Dan seterusnya mengambil langkah susulan hasil teguran yang dibuat?

Orang luar parti tidak kira penyokong atau sebaliknya dan rakyat biasa (seperti saya) kerap dengar pelbagai tuguran dibuat, termasuk oleh bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya Umno memperbaiki diri, mengubah perangai.

Malah pemimpin sedia ada (yang dinasihati berubah) turut mengkritik parti sambil menyatakan Umno mesti berubah. “Change or be changed”  kata mereka. Dan banyak lagi nasihat, teguran dan kritikan. Oleh Umno untuk Umno. Demi kebaikan bersama kata mereka lagi.

Tanya sekali lagi. Adakah Umno dan pemimpinnya bertindak untuk berubah seperti yang dinasihati? Untuk berlaku adil, itu hanya orang Umno boleh jawab.

Bercakap mengenai kritikan, teringat saya akan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Umum tahu semasa hayatnya Allahyarham orang kuat Tun Mahathir.

Rasanya ramai juga tahu pada tahun 2000, Allahyarham menegur Umno agak keras (melalui buku yang dihasilkannya). Sebagai pedoman katanya. Untuk bergerak “mengembalikan imej Umno yang retak, yang hakis popularitinya dan yang menurun dan menunggu untuk jatuh berkecai". Begitu berkata Allahayarham Megat Junid.
 
Allahyarham mengkritik dan mengulas panjang lebar. Tidaklah saya bercadang mengulangi semuanya. Cukup sekadar memetik beberapa perenggan daripada bukunya itu.

Antaranya,  Allahyarham menulis mengenai isteri pemimpin Umno yang bergelar wakil rakyat.
Kata Allahyarham, apabila si wakil rakyat daripada Umno melawat kawasan atau balik kampung, si isteri ikut sama.

“Bukan main, make-up pun dah lain. Fesyen rambut pun dah lain. Bersalam pun dah lain. Sentuh hujung tangan sahaja. Baju mahal. Pakai barang kemas mahal-mahal.”

Dan kata Allahyarham lagi: "Duduk mesti main table. Duduk mesti tepi suami (wakil rakyat). Kalau tidak nanti orang tidak kenal. Lepas minum buka beg. Ambil cermin kecil. Ambil tisu betul betulkan make up. Ambil lipstick betulkan lipstick di bibir."

Menurut Allahyarham Megat Junid, “Orang kampung tidak suka. Orang kampung meluat. Orang Perak kata getek betul aku tengok”.

Allahyarham menjelaskan “getek” adalah bahasa orang Perak jati yang membawa erti “meluat, muak, menyampah dan benci yang amat sangat”.

Dan istilah itulah yang Allahyarham pilih sebagai tajuk bukunya.

Tidak tahulah sama ada isteri wakil rakyat Umno masih berkelakuan seperti yang dihuraikan Allahyarham Megat Junid 15 tahun lalu.

Sekarang zamam media sosial. Ada Facebook, Instagram,WhatsApp dan macam-macam.
Saya difahamkan isteri YB Umno gemar pos gambar dan komen melalui Instagram.

Ada seorang itu kerap “Instagramkan” gambar ketika bercuti di luar negara khususnya di  Eropah. Bukan sahaja bersama suami. Anggota keluarga si isteri turut dibawa melancong bersama suami. Ada gambar masa shopping sakan di Paris. Ada gambar masa mereka menikmati sajian di restoran Perancis. Fine French dining.

Dimaklumkan juga ada anak menteri yang menyiarkan gambar bebeapa pasang kasut yang baru dibeli di departmental store ternama di kota London. Setiap pasang katanya berharga beberapa ribu ringgit. Waullahualam.

Di Facebook ada gambar majlis perkahwinan anak menteri yang cukup meriah. Cukup mewah.
Adakah orang kampung akan “getek’ dengan itu semua?

Golongan yang sama usia dengan saya di kampung mungkin tidak arif dengan Instagram, Ttwitter, WhatsApp dan Facebook. Namun anak anak mereka memang biasa dengan benda benda itu.

Tidak mustahil mereka akan tunjuk gambar-gambar kemewahan yang terpampang di media sosial kepada mak dan abah di kampung.

Beralih kepada Tun Mahathir.

4 November 2014 dalam blognya, Mahathir sekali lagi menegur Umno. Walaupun tegurannya khas buat Umno Selangor, namun it can be apllied to Umno secara am.

Antara nasihat Mahathir kali ini kepada pemimpin Umno: "Jangan sekali kali guna kereta mewah bila ke kampung.”

Imbas kembali Allahyarham Megat Junid dan bukunya Getek. Menurut Allahyarham bila masuk kampung Allahyarham guna “kereta jip, duduk depan.”  Maknanya Allahyarham duduk sebelah pemandu.

“Bukan macam wakil rakyat sekarang, tiada jawatan pun pakai Mercedes duduk di belakang pakai bush jacket.” (Tiada jawatan tidak dijelaskan. Namun kemungkinan besar Allahyarham maksudkan wakil rakyat yang tidak pegang jawatan dalam kerajaan atau peringkat tertinggi parti.)

Apapun Allahyarham turut menulis: "Macam mana bila sahaja jadi wakil rakyat sudah ada kereta besar, rumah besar, banyak barang kemas dan anak anak hidup mewah. Orang mula berkata masuk Umno senang jadi kaya. Apatah lagi jadi wakil rakyat lagi boleh kaya.

Ini membuat orang ramai tertanya tanya. Pembangkang laung-laungkan perkara ini. Akhirnya rakyat mula merasa meluat, akhirnya wujud perasaan benci. Popular Umno mula terhakis."

Itu kata Allahyarham Megat Junid pada tahun 2000. Fast forward ke 4 November 2014, Mahathir menulis dalam blognya “cara hidup Umno mesti lebih sederhana. Kikis imej Umno sebagai parti rasuah."

Jika teguran dan kritikan seperti itu semua tidak lagi kedengaran pada masa terdekat ini  bolehlah dianggap Umno mula mengorak langkah. Setuju?

Tetapi jika ia berterusan, kesimpulannya, kritikan tidak berkesan. Teguran tinggal teguran. Betul? – 21 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments