Ironi. Mungkin itu ungkapan paling sesuai menyimpulkan “pergeseran” Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Pergeseran (atau persengketaan atau perang mulut) Nazri /TMJ tercetus berikutan komen putera raja Johor itu terhadap ketidakhadiran perdana menteri di forum "Nothing to Hide" mengenai 1MDB.
Oleh kerana Datuk Seri Najib Razak orang Umno, pergeseran itu boleh dilihat sebagai percakaran antara Umno dengan istana Johor.
Umno ditubuh secara rasmi di Istana Besar di Johor Baru, 11 Mei, 1946, sekaligus menunjukkan sokongan kerabat diraja Johor terhadap Umno khususnya menentang penjajah Inggeris.
Datuk Onn Jaafar sendiri orang Johor.
Semua amat membanggakan Umno. Dan untuk sekian lama, memang parti itu kebal di Johor dan kerap menggelar negeri di selatan tanah air itu kubu kuatnya.
Jadi tidakkah ironis apabila Umno sekarang bercakaran dengan istana Johor?
Keadaan belum reda. Di Johor, rata-rata pelbagai pihak menyebelahi TMJ, terrmasuk orang Umno sendiri. Ini merumitkan Umno.
Ada exco negeri (tentunya daripada Umno) mahu Nazri mohon maaf. Malah Puteri Umno Johor pun menuntut demikian dan diberitakan sudah menyerahkan memorandum kepada menteri pelancongan itu.
Nazri masih enggan kerana menurutnya, beliau bertindak semata-mata mempertahankan bosnya, perdana menteri dan presiden Umno.
Jelas pada hemat Nazri, komen TMJ mengenai ketidakhadiran Najib di forum Nothing to Hide ialah satu bentuk serangan dan tuduhan melulu ke atas Najib.
Yang agak “tersepit” di antara kesetiaan terhadap bos dan parti, dengan keakraban dengan Istana, ialah beberapa pemimpin kanan Umno termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kedua-duanya anak Johor.
Mereka dan juga Pengerusi Umno Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Khalid Nordin, sehingga ini belum memberi reaksi tehadap isu Nazri-TMJ ini.
Pandangan atau pendirian mereka berhubung isu ini pasti “menarik” dan ditunggu ramai.
Keadaan belum reda. Berdasarkan pengakuannya, bolehlah dikatakan Nazri “is in the mess he’s in” ialah kerana bosnya. Dia membela bosnya. Tapi apa pandangan bosnya?
Adakah Najib setuju dan menghargai tindakan hulubalangnya itu? Atau sebaliknya? Apa pun, mungkin Najib sudah beritahu Nazri secara “one to one”.
Namun, lambat laun, Najib terpaksa juga mengumumkan secara terbuka pendiriannya terhadap isu ini. Adakah ini akan berlaku? – 19 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments