Opinion

Secebis kisah media mesra Umno

Beberapa bulan lalu, rangkaian berita pro Umno , Media Prima khususnya TV3 didakwa menghentikan liputan aktiviti membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam erti kata lain, Zahid kena “black out” oleh Media Prima. Demikian dakwa satu sumber yang rapat dengan naib presiden Umno paling popular itu.

Dakwa sumber itu lagi, ketika itu presiden parti Datuk Seri Najib Razak dikatakan “sudah tidak berkenan” dengan Zahid dan lebih “mengutamakan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga naib presiden Umno.

Maksudnya Zahid ketika  itu “was out of favour”.

Sumber yang rapat dengan Zahid bagaimanapun  tidak pasti sama ada “tindakan” Media Prima terhadap Zahid itu satu keputusan sendiri atau atas arahan mana-mana pihak.

Dua pengarang kanan Media Prima ketika diajukan dakwaan itu menafikan rangkaian berita mereka “memboikot” Zahid.

Sama ada benar atau tidak,  itu semua hanya “academic” sekarang. Sudah jadi cerita lama.

Cerita baharu ialah media yang dituduh memboikot Zahid sedang memberi liputan luas terhadap pemimpin Umno itu dan sibuk merangka jadual liputan lebih meluas.

Bukan perkara aneh dan bukan sesuatu yang pelik kerana Zahid sekarang timbalan perdana menteri. Ia jelas membuktikan beliau mendapat kepercayaan penuh Najib.

Sekali gus Tan Sri Muhyiddin Yassin,  (yang digantikan Zahid) mendapati dirinya tidak lagi diberi liputan luas terutama media arus perdana milik atau pro Umno.

Juga sesuatu yang bukan pelik atau aneh kerana seseorang yang bergelar “bekas” lazimnya tidak menjana berita menarik.

Namun bagi Muhyiddin, (dan beliau tentu tahu ini semua) sama ada terus diberi liputan media pro Umno bergantung kepada apa yang beliau sedang atau akan lakukan.

Undur cara “baik” liputan kendur dengan sendirinya.

Ambil langkah “tidak menyenangkan” pucuk pimpinan parti (dan kerajaan) akan menyaksikan Muhyiddin tidak diberi liputan  atau hanya mendapat liputan negatif  atau  “diserang” terus.

Ucapan beliau pada mesyuarat Umno Bahagian Cheras akhir bulan lalu (yang dilihat sebagai pencetus segala galanya) “dilembutkan nadanya” media pro Umno.

Akhbar dikuasai Umno, Utusan Malaysia pula langsung tidak menyiarkan ucapan itu.

Lantas mendorong bekas bos mereka (ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu 1983-1992) Tan Sri Zainudin Maidin berkicau menerusi Twitter : “Saya terkejut ucapan Mahyuddin yang kritikal terhadap Najib tak disiarkan Utusan.

Maka salahkah saya kalau mencari di Malaysiakini, Star, M Insider” (beliau mengeja “Muhyiddin” dan “mencari” dengan gaya tersendiri ).

Pun begitu, apa yang dilakukan Utusan tidak pelik dan aneh malah sudah dijangka. Utusan milik Umno.Wakil presiden Umno dikatakan duduk dalam lembaga pengarah akhbar itu.

Utusan wujud untuk menjaga kepentingan Umno dan mempertahankan parti khususnya presiden.

Beberapa orang Umno dan wartawan “mengingatkan ” saya ketika Datuk  (kini Tun) Musa Hitam “berlawan” dengan Datuk Seri (kini juga Tun ) Dr Mahathir Mohamad, Utusan memihak kepada Dr Mahathir  yang masa itu presiden parti.

Begitu juga semasa Tengku Razaleigh Hamzah “berperang” dengan Dr Mahathir. Utusan ketika itu dipimpin Zainuddin yang juga dikenali sebagai Zam.

Mungkin Utusan zaman Zainudin dan Utusan zaman sekarang masing-masing berbeza cara melaksanakan strategi “memihak” kepimpinan Umno.

Walau apa pun, penguasaan Umno terhadap media arus perdana khususnya Utusan bukan perkara baharu.

Imbas  kembali 1961 ketika Singapura “sebahagian” daripada Malaya semasa akhbar Utusan Melayu dikepalai wartawan unggul kelahiran Singapura, Said Zahari.

Utusan  Melayu semasa itu adalah sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas dan tidak dikuasai mana-mana parti politik.

Dalam bukunya Meniti Lautan Gelora – sebuah memoir politik  Pak Said menulis : “Kami berpendirian Utusan Melayu yang bebas daripada penguasaan seperti itu sahajalah yang benar-benar boleh berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air, bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti politik sahaja.”

Tetapi Umno, menurut Pak Said mahu menjadikan Utusan Melayu sebaliknya.

Lantas menugaskan tokoh penting dalam parti Ibrahim Fikri selaku “jeneral” dalam “peperangan” merampas kuasa di ibu pejabat Utusan Melayu.

Ibrahim datang menemui Pak Said menuntut Utusan Melayu tunduk akur terhadap permintaan Umno.  Pak Said dan rakan-rakan enggan. Maka terlancarlah mogok Utusan Melayu pada 21 Julai 1961.

Namun mereka tewas.  Mogok bertahan 3 bulan sebelum tamat pada 21 Oktober 1961.

Pak Said menulis : “Maka pada hari Ibrahim Fikri masuk ke pejabatku dan mengajukan syarat-syarat penyerahan diri 4 perkara itu, aku tahu Utusan Melayu sebagai sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas sejak lebih dua dasawarsa itu, sudah mati. Yang masih hidup ialah Utusan Melayu celup.” – 5 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments