Jika berdakwah adalah objektif Puteri Umno melancarkan program Daulat Islam Agama Negara, jelas mereka "got off on the wrong foot" apabila melarang wartawan bukan Islam membuat liputan majlis pelancaran program di PWTC dua hari lalu.
Kata ketuanya, Datuk Mas Ermiyati Samsudin, "Sebab tajuknya daulatkan Islam. Jadi kita maksudnya ekslusif untuk pemimpin dan juga mereka yang beragama Islam sahaja."
Sehari kemudian beliau menyifatkan apa ysng berlaku satu “miscommunication”.
Tetapi yang selalu ditekankan para agamawan ialah Islam “inklusif” bukan “ekslusif” dan perkara yang “baik-baik” (rasanya 'mendaulatkan' Islam termasuk dalam senarai perkara baik) mesti diwar-warkan secara menyeluruh.
Dengan mengenakan larangannya, Puteri Umno terlepas peluang untuk “berdakwah” dengan orang bukan Islam.
Siapa tahu mungkin ada wartawan bukan Muslim mahu memeluk agama Islam selepas mendengar penjelasan dan penerangan mengenai Islam oleh Puteri Umno? Pahala besar tu.
Namun bagi Puteri Umno, hak melarang sesiapa ke acara yang mereka anjur adalah milik mereka dan perlu dihormati.
Lantas kita hormati. Terpulanglah siapa yang hendak mereka jemput siapa yang mahu mereka larang. Majlis merekalah katakan.
Mungkin berdasarkan hak sedemikian, mendorong Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini menegaskan partinya tidak mahu sesetengah media, khususnya media atas talian membuat liputan perhimpunan agung Umno tahun ini.
Sebabnya menurut Adnan, media itu “suka spin laporan” dan tonjolkan berita negatif mengenai Umno.
Tuduhan seperti itu terhadap media yang Umno “tidak berkenan" sudah banyak kali dilemparkan pemimpin parti. Bukan Adnan seorang.
Yang kerap dijadikan “contoh laporan spin” atau laporan yang Umno lihat sebagai “diputar belit ” ialah apa yang berlaku pada perhimpunan agung Umno 2006.
Ketika itu, Umno mengizinkan prosiding termasuk perbahasan disiarkan menerusi televisyen secara langsung.
Sebelum itu, hanya ucapan tertentu disiarkan secara langsung di televisyen. Ini diamalkan semula selepas 2006 sehingga sekarang.
Maka berucaplah pemimpin dan perwakilan pada perhimpunan itu disaksikan secara “live” oleh rakyat Malaysia. Dan ada juga adegan keris diarak, dihunus dan dikucup.
Umno kemudian (selepas perhimpunan) mengakui ucapan dan hujah di perhimpuan berkenaan “melukakan hati" beberapa pihak, khususnya masyarakat bukan Melayu negara ini.
Diakui juga perbahasan yang melampau batas menimbulkan masalah kepada komponen Barisan Nasional.
Umno percaya, akibatnya, golongan yang dilukai bertindak mengundi pmbangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang diadakan dua tahun selepas perhimpuan agung Umno 2006 itu.
Umno menyalahkan siaran langung televisyen sebagai punca utama prestasi buruk BN/Umno pada PRU 2008 kerana "semua dapat tengok apa yang diucapkan dengan jelas".
Dan mereka salahkan presiden parti ketika itu Datuk Seri (Kini bergelar Tun) Abdullah Ahmad Badawi kerana mengizinkan siaran langsung itu.
Yang patut disalahkan ialah pemimpin dan perwakilan yang berapi-api meniupkan elemen rasis dalam ucapan mereka.
Mereka menggambil kesempatan siaran langsung dengan menonjolkan “kehebatan” untuk disajikan kepada orang kampung masing-masing tanpa menghiraukan orang lain yang terguris perasaan.
Bukan pihak TV atau media yang menyediakan skip buat mereka. Atau mengarahkan mereka berlakon mahu pun berlagak bagai seorang rasis.
Semuanya mereka lakukan sendiri demi “their moment of glory on live TV” dan meraih “political points”.
Kata Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu timbalan presiden Umno, "Banyak kesan negatif siaran langsung. Ia beri gambaran yang tidak tepat tentang perjalanan perhimpunan agung Umno terutama hasil dan keputusan yang dibuat di akhir perhimpunan”.
Tetapi apa yang disiar televisyen adalah apa yang berlaku tanpa “censor” tanpa suntingan.
Visuals don’t lie.
Dan media online sekadar mengambil apa yang diucap untuk ditonjolkan sebagai berita. Bukan ciptaan media.
Masalah dengan pemimpin dan perwakilan Umno ialah mereka sudah terlalu biasa “dimanjakan" media mesra parti, yang selalunya lebih Umno daripada Umno.
Media itu sama ada dimilik atau dikawal Umno kerap membuat si pemimpin mahu pun si perwakilan “look good” dengan memaniskan kenyataan yang boleh menimbulkan kebencian ramai terhadap Umno.
Oleh itu, lazim bagi orang Umno bebas bercakap apa sahaja kerana tahu ada “penjaga” yang akan “membetulkan keadaan".
Media yang tidak berbuat demikian dicap pro-pembangkang dan disalahkan.
Rasanya sebagai parti yang mendakwa memartabatkan bangsa serta budaya dan adat resam Melayu elok Umno meneliti peribahasa Melayu yang berbunyi, “Menari yang tak pandai, dikatakan lantai nan terjongkit”. – 10 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments