Opinion

Umno serba salah

Patut atau tidak Umno singkir Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Di kalangan Umno heboh diperkatakan ketiga-tiga akan disingkir apabila Majlis Tertinggi parti bermesyuarat 9 September ini. Sebabnya jelas, mereka "bermasalah" dengan presiden Umno dan presidenlah yang akan mempengerusikan mesyuarat yang akan jadi "penentuan" mereka.

Lantas pucuk pimpinan tertinggi Umno berdepan dengan satu masalah besar.

Jika singkir

Andai penyingkiran yang Umno putuskan, maka ketiga-tiga khususnya Muhyiddin akan dilihat ramai sebagai "wira yang dianiayai".

Akar umbi dijangka akan marah. Kini pun sudah timbul kemarahan di kalangan beberapa pemimpin peringkat bahagian dan cawangan. Suara-suara "anti Najib". 

Singkir akan menyaksikan kemarahan itu "memuncak". Mungkin tidak sehebat "letupan" yang berlaku apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dulu.

Tetapi tidak dinafikan Muhyiddin juga mempunyai penyokong setia yang bilangannya "agak lumayan". Begitu juga Shafie selaku naib presiden dan Mukhriz , ketua perhubungan Umno Kedah dan menteri besar negeri kelahiran ayahnya.

Umno akan "huru-hara". Beberapa pemimpin parti termasuk timbalan pengerusi tetapnya Tan Sri Mohamed Aziz menyifatkan tindakan memecat atau menggantung keahlian mereka bertiga akan memecahbelahkan Umno.

Jika tidak singkir

Andai ketiga-tiga diizinkan kekal dalam kedudukan dan keadaan sekarang, mereka bebas bergerak selaku pemimpin kanan Umno. Mereka bebas untuk kata apa yang hendak mereka kata di seluruh pelosok negara.

Maksudnya mereka khususnya Muhyiddin akan terus mengkritik dan menegur pimpinan parti terutama Najib berhubung isu 1MDB dan "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Penyokong ketiga-tiganya akan bertambah garang. Suara kemarahan akan pasti kedengaran dengan kuat. 

Anina Saaduddin umpamanya (yang menuduh Najib "kencing" Umno) akan bertambah lantang.

Orang Umno yang menyokong presiden akan tertindak balas.

Umno akan "hura-hara" dan wujud 2 kem utama (ramai kata sudah pun wujud). Pimpinan parti akan melihat Muhyiddin sebagai duri dalam daging (walaupun Muhyiddin , Shafie dan Mukhriz menyifatkan tindakan mereka demi kebaikan Umno).

Pilihan ketiga

Umno boleh "menolak"  mereka bertiga menerusi pemilihan parti.

Namun sebelum itu MT perlu membatalkan arahan penangguhan pilihan parti yang dikuatkuasakan tidak lama dulu untuk membolehkan pemilihan diadakan tahun depan mengikut jadual asal. 

Pada pemilihan parti, Muhyiddin dan Shafie boleh dicabar calon pilihan pucuk pimpinan.

Dan pucuk pimpinan boleh "berusaha" keras untuk "memastikan" Muhyiddin dan Shafie kalah. Kedudukan Mukhriz sekarang adalah atas pelantikan. Lantas beliau tidak ada jawatan untuk dipertahankan. Namun beliau bebas menawar diri untuk bertanding jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, pemilihan parti juga bermakna Najib pun boleh dicabar.

Maknanya Muhyiddin boleh memilih untuk tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden dan sebaliknya cuba merampas jawatan presiden daripada genggaman Najib.

Terpulang kepada Umno untuk tepuk dada tanya selera. – 4 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments