28 FEB — Ramai yang akan bertanya tentang masa depan dan nasib sesuatu pemasalahan melalui soalan yang kekal sejak zaman berzaman: “adakah harapan?” Harapan adalah sesuatu yang tidak pernah padam dalam kehidupan manusia, malah kerana harapanlah kita masih bernyawa dan berjuang untuk mengekalkan sebuah kehidupan. Lazimnya harapan tersandar kepada sesuatu yang lebih tinggi kedudukannya setelah segala usaha dicurahkan untuk mendapat keputusan yang terbaik. Usaha dan harapan adalah dua komponen yang membentuk keberhasilan yang diinginkan dan seolah-olah tiada harapan tanpa usaha dan tiada usaha yang tidak mengharapkan hasil yang terbaik. Kali ini saya mahu mencari jawapan kepada harapan kita untuk mencari kedamaian dalam hubungan antara agama di negara ini. Masihkah ada harapan?
Persoalan ini timbul bukanlah dalam kelompongan, bahkan ia satu soalan yang ada kewajarannya apabila kita melihat latarbelakang hubungan antara agama di negara kita tidak menunjukkan indikasi yang positif. Dalam rundingan mejabulat antara agama anjuran Institute of Advance Islamic Studies (IAIS), isu agama dikatakan menjadi isu kedua teratas dalam senarai isu-isu dalam negara. Ini dinyatakan sendiri oleh pegawai dari Jabatan Perpaduan Negara semasa saya turut serta dalam rundingan meja bulat tersebut. Konotasi kenyataan tersebut dibayangkan sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana isu antara agama adalah terlalu sensitif untuk dibicarakan secara terbuka oleh masyarakat majmuk di Malaysia menurut kajian Merdeka Center.
Saya telah menambahkan lagi satu tanggapan kepada permasalahan ini dengan menyatakan bahawa budaya politik di negara kita pula tidak banyak membantu bahkan boleh diibaratkan umpama menambah minyak pada api yang membara. Mempolitikkan hubungan antara agama adalah keberlangsungan hidup bagi sesetengah parti politik sempit di negara ini, mereka seoalah-olah mati kutu kalau keharmonian dan kerukunan hubungan tercapai, oleh itu mereka menciptakan suasana supaya hubungan antara agama di negara ini sentiasa tegang dengan berbagai isu provokatif. Amat malang sekali hubungan antara agama menjadi pertaruhan dalam permainan politik sempit mereka. Sebagai seorang ahli politik yang berinspirasikan cita-cita nasional saya berasa begitu malu kerana golongan ini telah mencemarkan nama baik politik dan sedikit sebanyak terpalit pada diri saya. Budaya politik di negara kita juga dipenuhi degan sikap prejudis antara satu sama lain sehinggakan setiap permasalahan disensasikan dulu sebelum ianya dapat diselesaikan. Isu murtad contohnya, walaupun memang berlaku tetapi hingga hari ini gembar-gembur pemurtadan itu tidak dibekali dengan fakta angka dan isu pokok yang lebih mendasar, tahu-tahu ada satu pihak mahu menyelamatkan aqidah umat Islam tanpa melanggani isu pokok. Apakah isu pokok? kemiskinan, kegagalan pihak berotoriti khususnya jabatan agama dan kegagalan untuk menggapai dan menaut berbagai pihak untuk berunding dan duduk semeja. Selagi perkara pokok ini tidak dapat dilanggani dengan bijaksana, isu hubungan antara agama akan senantiasa menjadi mangsa ratahan puak rasis dan sempit agama. Malang berganda apabila ada pihak merasakan keadaan ini adalah peluang untuk meraih sokongan politik bagi mengisi peti-peti undi mereka.
Dalam rundingan tersebut yang diwasitkan oleh Profesor Osman Bakar banyak juga yang berbicara tentang kejahilan penganut agama masing-masing tentang perlunya mereka membina jambatan kedamaian antara agama. Menurut Profesor Muhammad Hashim Kamali yang bertindak sebagai pengucap utama, sebahagian umat Islam masih beranggapan bahawa isu dialog antara agama dicamkan dengan sikap liberal yang mencairkan makna agama lalu melabelkan usaha ini sebagai agenda merosakkan agama! Betapa jauhya makna mencairkan agama dengan tuntutan dialog antara agama. Bagaimana mungkin Islam yang menyamai makna kerahmatan tiba-tiba menolak dialog yang mahu mencapai maksud kedamaian? Menolak dialog antara agama seolah-olah membenam makna kerahmatan yang menjadi mercu tanda risalah Islam. Menolak keperluan berdialog antara agama hanya memberi peluang sikap fanatik tumbuh mekar dalam ketiadaan dialog dan menjadi baja kepada tertumbuhnya pohon berduri kebencian antara agama. Bahayanya menyemai benih ini disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai sikap melampau lalu ditegah umatnya dengan teguran keras: “Jaga-jaga kamu dari sikap melampau, sesungguhnya orang terdahulu dari kamu hancur kerana sikap melampau mereka dalam beragama” Dialog menyerlahkan sifat kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.
Kecetekan kita memahami tuntutan agama kita adalah antara penghalang utama kepada usaha dialog bergerak maju ke hadapan. Para ulamak khususnya yang berotoriti dari para mufti perlu keluar dari kepompong sempit mereka yang memberi pandangan dari titik-tolak Islam=Melayu dan sebaliknya. Mereka harus menyatakan Islam sebelum Melayunya dan sebaliknya adalah salah. Para juru dakwah yang hebat-hebat hari ini di kaca-kaca TV dan di pentas-pentas mesjid perlu tegas dalam persoalan ini, malah perlu menjadikan sebahagian silibus dakwahnya memahamkan makna mencari kedamaian dalam hubungan antara agama. Hanya dengan itu barulah makna kerahmatan alam anjuran Islam dapat dihayati dan dikongsi bersama.
Apakah semua ini harapan yang bersandarkan realiti? Ataukah ia hanya harapan di alam utopia. Kita tidak boleh terlalu pesimis dalam pengharapan ini kerana saya yakin pihak yang gigih menjalankan usaha-usaha ini seperti IAIS dll badan telah membuat langkah yang besar dan roda-roda pedati telah pun mula bergerak. Saya yakin masa depan negara ini antaranya bergantung kepada hubungan yang harmonis antara agama dan sehingga roda-roda pedati mengumpul momentumnya, harapan tetap ada dan ia tetap memberikan kita semangat untuk terus maju ke hadapan.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments