19 OKT — Setelah satu hari menunggu giliran untuk berucap bahas bajet 2012, akhirnya sebelum rehat pukul 1 tghari , saya memulakan ucapan dan kemudian menyambongnya pukul 2.30. Kami diberi 20 minit untuk berbahas. Terlalu banyak yang hendak diperkatakan tetapi malangnya masa tak cukup. Saya telah menyentuh beberapa tajuk besar antaranya tanggungjawab membuat keputusan terbaik, kritikan bajet secara menyeluroh, soal alam sekitar, keselamatan dan peranan agama. Saya memulakan ucapan dengan membaca ayat Quran dari Surah Hud ayat 88, yang membawa tema perlunya reformasi atau dalam istilah Al Quran Al Islah. Saya juga memetik kata- kata hikmah orang tua-tua memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin:
“Mengejar pangkat mau menjilat
Mengejar harta mau melata
Mengejar kedudukan mau melendan
Mengejar pengaruh mau bergaduh
Mengejar dunia mau menganiya”
Saya menyatakan juga tentang kegagalan dasar kerajaan dalam menangani isu kesan alam sekitar. Saya membawa contoh Bukit Merah yang pernah dicadangkan untuk tapak loji nadir bumi yang akan dikendalikan oleh Mitsubishi dari Jepun. Usaha itu mendapat tentangan pada tahun 1982 sehingga 167,000 penduduk Pekan Papan dan sekeliling telah membantah kerana kesan alam sekitar yang membahayakan kesihatan penduduk, antaranya leukimia, keguguran, cacat kelahiran dan kanser paru- paru. Kejayaan menutup tapak itu adalah tanda kejayaan NGO menimbulkan kesedaran bahaya kesan alam sekitar dan ia juga menandakan sikap penduduk yg prihatin yang tidak rela dijadikan mangsa di atas nama pelaburan yang menguntungkan. Walaupun kini dalam pasca Bukit Merah masih ada berbaki 800,000 ton sisa radioaktif yg belum dihapuskan. Untuk menghapuskan sisa radioaktif itu menelan belanja US100juta. Malah kematian akibat kesan radioaktif ini juga tinggi iaitu 9 kes kematian kerana leukimia, selalunya kes leukimia hanya berlaku dalam kes terpencil.
Tiba-tiba hari ini kita dikejutkan dengan kes yang sama akan dibuka di Gebeng, Pahang oleh syarikat Lynas Corp dari Australia. Bayangkan kalau Bukit Merah luasnya hanya 9 ekar, kini di Gebeng luasnya 100ekar iaitu seluas 140 padang bola! Apakah sikap kerajaan yg lebih melihat laba ekonomi dan keuntungan dari kesan jangkapanjang yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam? Dasar kerajaan terperangkap antara mengaut keuntungan atau menyelematkan kesan alam sekitar dari radioaktif. Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa radioaktifnya rendah tetapi sebagaimana yang digambarkan oleh pencinta alam sekitar relatifnya radioaktif itu rendah tidak menafikan ianya bahaya cuma tahapnya sahaja rendah atau tinggi!
Dalam menyentuh persoalaan Gebeng, ucapan saya dicelah oleh Ulu Selangor bertanyakan saya secara nakal apakah saya bertentangan pendapat dengan Hulu Langat dari Pas yang memberikan pandangan bahawa radioaktif di tapak Gebeng tidak bahaya. Semua sudah mengetahui bahwa Hulu Langat, Yb Dr Che Rosli adalah pakar nuklear yang dihormati. Saya mengatakan di sebalik saya memghormati pandangan Dr Che Rosli, kes Bukit Merah menjadi rujukan secara hidup kesan dari sisa radioaktif, ia tidak perlu untuk mana mana pakar untuk memberitahu kita apa yang berlaku di Bukit Merah.
Saya sempat juga menyentuh isu keselamatan di mana saya mendedahkan surat yang saya terima secara misteri. Saya menerima dari orang lain surat itu yang meminta saya supaya mendedahkannya. Surat itu ialah dari PGA (Pasukan Gerak Am) Briged Tengah mengarahkan anggotanya dan keluarga mereka serta pesara polis supaya menandatangani memorendum membantah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu tentang peranan Mat Indera yang dikatakan seorang komunis. Saya menegaskan bahawa kalau betul surat arahan dari Pegawai Tinggi Polis dalam kes Mat Sabu, maka polis tidak profesional dan telah campurtangan dalam persoalan yang sifatnya politik! Adakah polis secara sengaja cuba menimbulkan kemarahan terhadap Mat Sabu? Ataukah Polis menerima arahan dari pihak politik untuk merencanakan kebencian terhadap Mat Sabu? Saya minta Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan tentang surat ini. Saya diganggu dalam ucapan saya oleh Kulim-BandarBharu yang menuduh saya membuat fitnah! Saya kata saya cakap dalam parlimen dan bukan di kedai kopi! Saya bertanggunjawab atas soalan saya.
Kerana diganggu, masa saya terjejas jadi isu peranan agama saya tak sempat nak perincikan. Saya mencadangkan hubungan antara agama mestilah memperbanyakkan dialog dan perbincangan secara bertamadun dan bukan dengan menimbulkan kemarahan atau isu yang sensitif. Saya mencadangkan juga akta zakat bagi memperkemaskan pengurusan dan kawal selia zakat bagi membantu pengukuhan umah. Malangnya masa tidak cukup dan saya terpaksa berhenti setelah diarahkan oleh Tuan Speaker.
Selesai ucapan saya membuat sidang akhbar bersama rakan dari Kuala Kedah atas dua isu. Pertama sikap kami secara peribadi dalam perhimpunan sejuta umah di mana kami melihat ini eksploitasi Umno dan golongan desperate untuk menimbulkan kebencian antara agama dan bukan keharmonian antara agama. Kedua saya mendedahkan surat yang saya terima secara misteri yang memberi petunjuk bahawa Polis dari PGA terlibat mengarahkan secara resmi supaya anggotanya , keluarga dan pesara menandatangan kempen membantah Kenyataan Mat Sabu. jikalau ini berlaku ia sesuatu yang malang bagi Polis yang tercalar imej mereka kerana menjadi alat kepada pihak tertentu yang desperado untuk berpegang kepada kuasa mereka yang semakin terhakis.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments