25 SEPT — Nama Bangkok memang terkenal dengan industri pelancongannya, apatah lagi industri pelancongannya selalu dikaitkan dengan industri seks yang menjana sumber pendapatan utama kepada Thailand. Namun sejak banjir besar yang menenggelamkan Bangkok dan Ayuthia, Bangkok lebih dikenali hari ini kerana hujan lebat dan sistem pengairan dan perparitannya yang tidak terurus dengan baik. Sejak banjir besar itu warga Bangkok akan senantiasa trauma apabila hujan turun.
Inisiatif
Saya menghadiri satu konferensi yang telah diadakan di Bangkok mulai 17-19 September. Latarbelakang konfensi adalah atas inisiatif Dr Ismail Lutfi, Rektor Universiti Islam Yala bersama dengan beberapa pihak lain yang berkenaan dari Universiti Mahidol dan Pejabat Shaikhul Islam. Konfrensi itu bertemakan Agama dan Peranan Membentuk Keamanan di Rantau ASEAN. Sebenarnya perkara ini telahpun dibincangkan oleh saya dan Dr Ismail Lotfi bersama dengan Dr Shahril Harahap semasa kami berkoferensi di Medan 2 tahun yang sudah.
Hasrat kami ialah supaya setiap negara ASEAN akan mengadakan Konferensi Dialog Antara Agama dalam berbagai perspektif supaya dapat dikongsi bersama peranan agama yang tidak hanya tersudut di upacara-upacara tertentu sahaja. Dr Ismail Lotfi berjanji untuk mengadakannya di Bangkok dan baru-baru ini tercapailah sudah hasrat tersebut. Saya mengharapkan Malaysia akan jadi tuan rumah dan saya dipertanggungjawabkan untuk tujuan tersebut, Indonesia sudah dua kali menjadi tuan rumah di bawah kerja keras Dr Shahril Harahap. Namun dari skala kecilan saya telah berjaya mengadakan dua Makan Malam Antara Agama yang diadakan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang melibatkan wakil dari berbagai agama dan Dr Shahril dan Dr Ismail Lutfi dijemput sebagai pengucap utamanya.
Hasrat kami ialah membawa agenda dialog antara agama ini sebagai pencetus keamanan di rantau yang dipalit dengan kebencian kaum dan agama seperti yang berlaku di selatan Thailand, Selatan Filipina dan terkini di Myanmar. Kami adalah pemain kecil yang berhimpun untuk tujuan besar di mana hati-hati kami terpaut dengan cintakakan kedamaian dalam hubungan antara agama.
Jaringan
Antara masalah kami ialah kami tidak dapat akses kepada rakan ASEAN yang lain dari berbagai agama yang berkongsi cita-cita ini walaupun saya tahu ramai yang menuju ke arah jalan yang mulia ini. Peluang di Bangkok saya menfaatkan dan alhamdulillah saya dan Dr Ismail Lotfi telah berjaya melebarkan jaringan rakan-rakan dari ASEAN yang lain. Saya berpeluang bertemu dengan jalinan dari Mynmar, Laos, Vietnam, Kampuchea Singapura dan Brunei. Kami berkongsi pengalaman semasa makan malam dan semasa rehat antara program. Saya lebih banyak bertanya daripada bercerita kerana saya mahu mengambil peluang melebarkan jaringan. Menarik ialah, pada setiap negara ASEAN semua agama diwakili termasuk minoriti Islam dan Kristian. Malah dari Malaysia ada perwakilan dari kepercayaan Bahaism yang dijemput melalui Mahidol Universiti.
Tokoh-tokoh
Tokoh besar dalam dialog peradaban ini seperti Dr Din Syamsudin, Ketua Umum Muhamadiyah, Dr William F. Vendley dari Religions for Peace dan Dr Abdullah Sulaiman Al Turki dari Rabitah Alam Islami (World Islamic League) turut hadir membentuk arus pemikiran keamanan dari perspektif kepelbagaian agama yang ada. Saya berpeluang mendengar ucapan-ucapan mereka dan sempat bertemu dengan mereka. Khususnya Dr Din Syamsudin, saya pernah menjadi moderator kepada ucaptamanya dalam Seminar Kesederhanaan Tulen yang diajurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun sudah. Saya juga sempat bertukar fikiran dengan Dr William yang bernaung di bawah UN untuk kerja-kerja keamanan melalui perspektif agama. Namun saya bertuah kerana dapat temujanji pertemuan tertutup bersama Dr Abdullah Al Turki. Kami berbual panjang dan nampak sikap diplomasinya kerana beliau adalah mantan Menteri untuk kerajaan Arab Saudi bagi urusan agama. Saya menyatakan hasrat untuk bekerja melalui dialog antara agama kerana ia adalah tanggungjawab yang dituntut oleh Islam. Beliau gembira kerana Rabitah Alam Islami juga mempunyai cita-cita yang sama, malah beliau menegaskan komitmen dan sokongannya untuk rantau ASEAN ini menjadi model yang baik dengan usaha yang berterusan. Bagi saya bertemu dengan tokoh dan pencinta keamanan bertaraf dunia adalah penghargaandan semangat untuk saya menggagahkan langkah kecil saya ini.
Melebarkan risalah
Semasa di Bangkok saya berkesempatan mendapatkan media tempatan menemubual saya. Satu wawancara khas diadakan melalui BTV yang merupakan satelite TV Islam berbicara tentang konflik Selatan Thailand dan harapan kedamaian. Soalannya yang diterjemahkan agak mencabar kerana saya terpaksa menjawab persepsi bahawa Malaysia melindungi pemberontak di Selatan Thailand. Saya menyatakan dalam wawancara tersebut bahawa kami ada ikatan budaya dan etnik dengan masyarakat Selatan namun urusan keselamatan adalah tanggungjawab kerajaan Thailand dan Malaysia ada perjanjian keselamatan jika ada apa apa masalah yang timbul.
Sebuah Majalah Islam Thailand yang berpengaruh turut wawancara saya pada pagi saya bersiap untuk meninggalkan Bangkok. Apabila ditanya apakah nasihat saya kepada minoriti Islam Thailand, saya membalas dengan menasihati mereka menjadi muslim yang baik dan setia kepada negara yang didiaminya. Mereka harus tertakluk kepada kerangka sistem yang ada dan menjadi sebahagian anggota masyarakat yang menyumbang kepada kebaikan negara tersebut. Sikap ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana Islam memberikan kita ruang yang selesa untuk berada di mana-mana sahaja di ceruk dunia ini.
Yala
Seminar mengambil ruang satu hari di Yala di mana Universiti Islam Yala menjadi tuan rumah. Kami menaiki pesawat tentera dan sampai dalam keadaan keselamatan yang ketat kerana kawasan di situ masih bergolak. Saya berucap mewakili Malaysia untuk menyatakan bahawa usaha damai dari perspektif agama adalah proses yang panjang dan mencabar, semua pihak memainkan peranan bukan sahaja orang agama. Ini adalah kerana orang politik, media dan juga orang ramai turut berperanan menjayakan misi ini. Kami kembali ke Bangkok setelah satu hari di Yala dalam jadual yang ketat dan esoknya saya bersiap balik ke tanah air tercinta. Malam sebelum bertolak balik, Bangkok hujan lagi. Suasana dingin dalam bilik hotel Sukasol tempat kami menginap membuatkan saya tidak lelap tidur awalnya kerana khuatir esok jika berterusan hujan, penerbangan akan terganggu, malam itu Bangkok hujan lagi namun terlelap jua mata saya kerana terlalu letih satu hari di Yala.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments