26 APRIL — Muqaddimah
Semua mata tertumpu di Dataran Merdeka pada 28hb April ini kerana seluruh rakyat yang cintakan demokrasi berpilihantaya yang telus akan berhimpun untuk menyampaikan mesej kepada Kerajaan yang memerintah. Walaupun pada 24hb April sebelum ini satu konsert di Raja diadakan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka, namun perhimpunan Bersih turut juga mencuri perhatian orang ramai yang bakal diadakan nanti.
Nostalgia 2007
Saya masih ingat tarikh 10 November 2007, itulah kali pertama satu perhimpunan menuntut hak pilihanraya yang lebih demokratik disuarakan. Tuntutan Bersih ketika itu tidak menjangkau 8 perkara yang dituntut pada Bersih 2.0, ia hanya menuntut 4 perkara, iaitu penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, hapuskan undi pos dan akses media yang bebas. Momentum tuntutan ketika itu amatlah kuat memandangkan kemarahan rakyat kepada pimpinan Pak Lah yang dilihat layu dan tidak bermaya walaupun telah menang bergaya pada tahun 2004. Saya turut serta dalam perhimpunan 2007 itu kerana mahu menjadi sebahagian daripada sejarah dalam tuntutan rakyat untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Walaupun sebelum ini parti-parti politik pembangkang menyuarakan pilihanraya yang berat sebelah namun kali ini suara itu dikongsi dengan tuntutan massa dan seluruh masyarakat sivil. Ia bukan lagi suara-suara yang didebatkan dalam forum-forum era 80an tetapi ia suara yang dibawa ke jalanraya secara aman dan protes sivil yang diperuntukkan haknya dalam Perlembagaan Persekutuan. Biar apa pun yang dikatakan termasuklah istilah "beruk-beruk jalanan", namun ketidakpatuhan sivil atau "civil disobedience" mula beraksi untuk membawa masyarakat sivil ke satu tahap yang baru.
Saya menaiki LRT dari Setiawangsa turun di stesyen Masjid Jamek kemudian menyertai kelompok yang ramai melalui pasar seni untuk terus ke Istana Negara. Sampai di sana saya meloloskankan diri dalam lautan manusia yang hadir untuk berada di barisan hadapan bersama unit amal yang membuat rantaian manusia. Kami betul-betul bertenungan dengan FRU sambil menenangkan ribuan manusia yang mengasak di hadapan pintu Istana Negara (yang lama). Hujan mulai turun dan kelihatan susuk tubuh wanita berjalan laju di celah-celah orang ramai, saya menyambutnya di barisan paling hadapan sambil berunding dengan pegawai polis supaya wanita ini dapat masuk kedalam istana menyerahkan memorendum. Wanita itu adalah Datin Seri Wan Azizah, saya berbangga kerana dapat mengiringi beliau ke pintu istana. Malah masih segar dalam ingatan saya baju hijau yang saya pakai dengan lilitan kain kuning Bersih di kepala dan di lengan tangan. Saya basah kuyup sambil memayungi Datin Seri Wan Azizah dan menunjukkan isyarat tanda bagus pada polis-polis yang mengawal sepanjang ke pintu istana.
Di ambang Bersih 2.0
Bersih 2.0 melakarkan sejarahnya tersendiri, nama saya tersenarai antara 91 nama yang dilarang masuk ke bandar Kuala Lumpur. Saya hanya mengetahuinya apabila kawan saya berSMS memberitahu tahu saya "tahniah nama Yb tersenarai dalam muka depan surat khabar" Saya memang menjangkakannya sebab sebelum ini saya dihendaki oleh polis dalam ceramah saya di PJ Selatan di ambang Bersih 2.0. Saya dihubungi oleh seorang inspektor untuk memberi keterangan atas laporan ceramah tanpa permit. Saya memberi alasan kesibukan dan hingga kini saya tidak memberi apa-apa keterangan tentang ceramah tersebut. Memang malam itu agak tegang sebab trak polis dan unit anjing mengepung markaz PAS PJ Selatan malam itu.
9 July 2011 menyaksikan penggunaan kuasa melampau oleh polis sehingga ramai dari penunjuk perasaan secara aman dibelasah dan disembur dengan gas pemedih mata. Saya sempat memimpin hampir 1,000 orang di mana kami berjalan dari Pudu menuju ke Bukit Bintang dan kemudian ke KLCC dan sempat berucap sebelum bunyi loceng FRU dan bau asap gas pemedih mata menyelubungi awan KLCC. Kami lari lintang pukang, Dr Hatta terjatuh dan tercungap-cungap menahan asap gas dan terjatuh namun terselamat dari kena tahan. Saya lari sambil seorang ahli PAS memanggil saya dari atas motor dengan membuat isyarat "naik" saya pun melompat naik lalu dia memecut motornya melepasi kelompok yang bertaburan dan berselerak. Baju saya basah kuyup kerana seperti Bersih 1.0 hujan turun lebat termasuklah hidung dicucuk bekas asap durjana yang menyempitkan pernafasan siapa sahaja yang menghidunya. Bersih 2.0 menambah 4 lagi tuntutan iaitu tempoh kempen 21 hari, hindari rasuah politik, larangan guna kemudahan kerajaan semasa tempoh kerajaan sementara dan hindari politik kotor. Saya harus ucap tahniah pada rakyat yang melakukan protes 9 July 2011 kerana tekanan ini telah menelurkan Jawatankuasa Khas Parlimen membincangkan tuntutan Bersih 2.0.
Apa akan jadi 28 April?
Malangnya isu sebenar reformasi pilihanraya tidak digarap iaitu daftar pemilih yang masih meragukan termasuklah isu pemilih yang diragui sebanyak 42,000 yang dikatakan pendatang asing diberi kad pengenalan untuk mengundi BN dalam PRU nanti. Atas alasan daftar pemilih yang menjadi asas kepada pilihanraya yang bersih dan adil, rakyat sekali lagi mahukan kepastian SPR samada mereka bersungguh untuk melakukan reformasi atau tidak?
Bezanya kali ini format perhimpunan bukan lagi berarak tetapi duduk dan bantah di Dataran Merdeka. Kesungguhan masyarakat sivil mahukan pemilihan yang demokratik dalam pilihanraya akan datang akan melakarkan satu lagi peningkatan perjuangan demokrasi yang telus. Ia bersesuaian dengan manifesto PR yang mahukan asas negara ini tertegak atas demokrasi yang telus.
Pastinya regim BN akan bertahan kerana mereka kekal selama ini atas ketempangan demokrasi yang mereka cipta. Usaha transformasi Najib yang melewati masanya kini menjadi basi, apatah lagi Pindaan RUU Akta Kesalahan Pilihanraya menjerutkan lagi proses pemilihan yang bersih dan adil. SPR mempunyai kuasa yang mutlak menafikan mekanisma semak dan imbang apabila ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan bukan lagi menjadi mandatori tetapi opsional mengikut selera Ketua Tempat Mengundi.
PM Transformasi berada dalam dilema samada untuk mengengkang perhimpunan 28hb ini atau membiarkannya sebagai tanda pelan transformasinya. Paling tidak DBKL akan digunakan untuk menghalang perhimpunan ini atas alasan tempat ini bukan untuk tujuan politik walaupun pihak polis akan memberi permit. Dalam dilema ini, rakyat akan tetap berazam untuk mempelajari satu kaedah baru civil protest iaitu duduk dan bantah. Ia menarik kerana dengan cara ini perhimpunan aman ini tidak akan menggangu aliran trafik kerana tertumpu di satu tempat. Pilihan terbaik kerajaan dan DBKL ialah membenarkannya berlaku jikalau negara ini mahu dibawa ke satu tahap demokrasi yang lebih baik. Menghalang atas alasan keselamatan awam bukan lagi hujah yang baik kerana akta perhimpunan aman menjamin hak untuk berhimpun sebagaimana tertakluk dalam artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Saksikanlah sendiri
Kalau nak tahu apa yang akan berlaku, datanglah sendiri melihat satu lagi bakal sejarah akan diukir dalam perjuangan rakyat ini membina sebuah demokrasi yang telus melalui pilihanraya yang bersih dan adil. Sesungguhnya Bersih 1.0, 2.0 dan nanti Bersih 3.0 adalah sejarah perjuangan yang penting. Anggaplah tulisan ini sebagai jemputan untuk hadir pada 28hb nanti, jumpa di sana.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments