Tiada yang lebih tepat daripada gambaran Akta Hasutan umpama cemeti yang menghukum suara kebebasan di negara ini. Seperti pemegang cemeti yang dilatih, tangan melibas mangsa sentiasa siap-siaga meninggalkan bekas sebagai harga menjadi penjahat atau penjenayah. Cemeti juga digunakan untuk menakut-nakutkan yang lain mereka juga boleh menjadi mangsa.
Akta Hasutan adalah sebuah akta lapuk dan saka yang menghantui rakyat Malaysia. Ia adalah hubungan tuan dan hamba di mana rakyat dalam kerangka akta ini dijadikan sebagai subjek hamba yang bernyawa atas belas ihsan tuannya.
Mentaliti akta ini adalah mentaliti penjajah dan tidak mengejutkan kerana ia dibuat dalam usaha membenamkan suara kebebasan dan kemerdekaan semasa British menjajah kita. Namun apa yang mengejutkan ialah Malaysia yang merdeka 57 tahun masih lagi memakai akta ini dalam usaha 'menjamin' keamanan.
Penjajah British pasti tersenyum betapa hebatnya anak jajahannya mempertahankan warisan saka ini walaupun ia sendiri membunuh saka ini kerana sudah tidak relevan lagi.
Akta Hasutan sebenarnya adalah pistol yang picunya boleh dipetik bila-bila masa tanpa apa-apa keperluan, hanya cukup dengan berkhayal rasa diri terancam maka picu pun dilepaskan. Pendakawaan ke atas pelaku tidak perlu membuktikan niat dan disertai perbuatan, hanya sekadar kenyataan yang boleh diintepretasi sebagai menghasut sudah cukup untuk didakwa.
Ciri ini memang merupakan doktrin akta yang memberi kelebihan kepada pemerintah untuk membuka ruang kepada eksploitasi merejam suara rakyat yang bebas.
Mendengar betapa menindasnya akta ini, seorang rakyat Malaysia tidak akan terbayang kerajaan hari ini terus mahu mengekalkan klasik penjajah ini namun realitinya Program Transformasi Kerajaan hari ini gagal melihat isu ini dengan tuntas.
Anehnya suara mahu mengekalkan akta ini walaupun terbukti lapuk dan tidak relevan datang daripada pemimpin besar yang pernah memimpin negara ini dan daripada sebuah parti besar yang masih memimpin negara ini sejak 57 tahun lalu.
Suara mengkritik pemerintah tidak boleh dianggap sebagai penjenayah. Walaupun kenyataan dan pandangan terhadap institusi Islam dan institusi Raja Berperlembagaan mempunyai perlindungan namun ia bukannya mutlak kerana apabila ia mutlak ia akan jadi sakral dan sakral ini hanya ada pada Allah dan Rasulnya.
Itupun sakral Allah dan Rasul diberi panduan asalkan nilai kebebasan itu terus tidak dihapuskan. Akta Hasutan tidak mengenali prinsip mulia ini, ia mahu mengambil alih tugas kemutlakan Kerajaan, institusi Islam dan Raja Berperlembagaan tidak boleh diusik dan disentuh.
Tidak ada siapa pula yang mahukan kebebasan atas risiko membinasakan negara ini. Kebebasan bersuara tidak boleh dibuat persamaan dengan natijah inginkan huru-hara kerana ia logik yang songsang.
Kebebasan bersuara adalah untuk memenuhi kehendak kebebasan berfikir dan hak untuk tidak bersetuju asalkan tidak ada niat merosakkan. Begitu juga sekadar bertutur sesuatu terhadap kaum atau bangsa malah agama sesuatu belum tentu menentukan niat jahatnya kerana itu juga adalah pandangan.
Walaupun saya tidak semestinya bersetuju dan saya perlu menentangnya melalui hujah saya dan bukan menyekatnya melalui dakwaan.
Oleh itu satu doktrin perundangan yang meletakkan kebebasan pandangan dalam kerangka hak perlu diperkenalkan menggantikan doktrin Akta Hasutan. Asasnya ialah niat perlu dibuktikan dulu dan intepretasi negatif mesti diasaskan dulu serta konsistensinya.
Piawaian pembuktian yang tinggi ini digunakan untuk memelihara suara kebebasan daripada disalahgunakan pemerintah dan rakyat tidak perlu bimbang untuk bersuara.
Sehingga doktrin baru memelihara nilai kebebasan bersuara dapat melihat cahayanya, kerajaan yang memerintah hari ini diingatkan supaya jangan meneruskan projek pembodohan rakyat melalui ugutan dan ancaman cemeti Akta Hasutan.
Satu pandangan terhadap idea doktrin baru dikemukakan Majis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) melalui Jawatankuasa Kerja Undang-Udang dan Dasar bagi membantu hasrat perdana menteri 1Malaysia yang berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan dengan menggantikan satu akta yang dinamakan sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Selagi Kabinet melengahkan idea ini untuk digubal sebagai akta baru beserta dengan pemansuhan Akta Hasutan selagi itu rakyat terus dihantui saka dan akan hidup dalam ketakutan kerana cemeti sentiasa menunggu melibas mangsanya.
Artikel ini didedikasikan untuk semua mangsa Akta Hasutan dan kepada yang mencintai kemuliaan insan.
Mari berdiri teguh untuk kita katakan tidak kepada Akta Hasutan dan ya kepada Akta Keharmonian Nasional. – 9 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments