Opinion

Dataran larangan

Bermulanya Kebangkitan

Matahari terik berada betul-betul di atas kepala lautan manusia berbaju kuning yang sejak dari tadi memekik-mekik kata keramat BERSIH! BERSIH! dalam berbagai bentuk irama seolah-olah gerombolan tentera kuning ini bersiap sedia untuk bertempur di medan perang. Kedengaran suara mereka lebih kuat dari bunyi geseran  rel LRT yang menyusur laju di atas gerombolan ini. Walaupun pintu dan tingkap LRT tertutup namun kedengaran pekikan bala tentera kuning begitu hampir sekali di gendang telinga penumpang-penumpang LRT. Masing-masing menjenguk dari tingkap cermin sambil ada yang terikut-ikut laungan keramat BERSIH! BERSIH!.

Amaran

LRT berhenti di stesyen Masjid Jamek, dari atas stesyen yang berada di tengah-tengah kesibukan jalan utama yang dalam  jarak satu km sahaja membawa ke dataran merdeka hati saya mula berdebar kerana menyaksikan banjiran lautan kuning menyelubungi persekitaran Masjid Jamie. Debaran saya bukan kerana takut tetapi teruja dengan kehadiran manusia yang begitu ramai walaupun beberapa hari sebelum ini pihak penguasa telah memberi amaran kepada penganjur bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka. Hanya kelmarinnya pihak polis telah mendapat waran untuk ‘mengurung’ Dataran Merdeka dari menerima mana-mana pengunjung dari pukul 6 pagi Jumaat hingga 6 petang Ahad. Pihak polis mengistyharkan kawasan itu sebagai ‘Dataran Larangan’ manakala kesan fizikal arahan ini tampak jelas dengan kawad berduri disekelilingnya seolah-olah yang merdeka itu kini ditawan oleh penjajah baru berpakaian biru dan bertopi merah.

Memimpin Gerombolan

Saya bergegas turun dari tangga stesyen Masjid Jamek, di jalanraya saya disapa beberapa anak muda yang berpakaian kuning seperti saya, ada yang mahu bergambar dengan saya dan ada yang memanggil-manggil nama saya sambil melambaikan tangannya dengan penuh wajah bersemangat. Sambil kepala saya ligat mencari jalan bagaimana tindakan saya seterusnya, saya ditarik tangan oleh pengiring saya dari Pulau Pinang untuk berada di celah kelompok yang ramai membawa sepanduk panjang yang tertera di atasnya perkataan BERSIH.  Entah bagaimana, saya tiba-tiba mendapati diri saya mengiringi dan memimpin sekelompok besar protestan sambil melaung ‘slogan perang’ bertemakan BERSIH. Di kiri kanan jalan lasykar kuning samada hanya berdiri menyaksikan perarakan ataupun yang sibuk merakamkan video dan kamera masing-masing turut sama menggemakan teriakan dan pekikan kata semangat yang saya hemburkan. Saya sempat melambai-lambaikan tangan kepada lautan manusia yang tertumpu kepada kelompok kami yang hingga kini menguasai sepanjang jalan dari Menara Maybank Jalan Pudu merentasi Masjid Jamek dan kini hanya beberapa meter sahaja dari simpang hujung Jalan Tuanku Abdul Rahman yang bertentangan dengan ‘dataran larangan’ Antara yang saya laungkan ialah: “BERSIH, BERSIH PILIHANRAYA!” “BERSIH, BERSIH SPR!” “UNDUR,UNDUR PENGKHIANAT!” “HAPUS,HAPUS PENIPUAN!” Setiap kali saya menamatkan laungan bersemangat itu ia disambut dengan pekikan “ALLAH-O-AKBAR” beberapa kali

Membengkak

Di simpang penghujung Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Pudu perjalanan kami tersekat ‘bengkak’ kerana telah sampai ke penghujung tempat gerombolan kuning berhimpun. Besar harapan mereka untuk berhimpun di Dataran Merdeka tetapi kerana ia sudah menjadi ‘Dataran Larangan’, mereka berputih mata sahaja melihat Dataran kebanggaan rakyat Malaysia kini telah dijajah oleh penjajah biru dan topi merah yang masuk dengan penuh bongkak. Saya melepasi halangan lautan manusia bersama kakak saya seorang aktivis Muslimat yang gigih dengan dibantu oleh pengiring saya abang Zuki. Dalam celah-celah manusia itu, saya kehilangan pengiring saya, tidak tahu kea rah mana nak dituju, saya disapa oleh seseorang yang memeluk saya sambil dia berkata: “lama tak tengok ustaz, hari tu ustas berkuliah di tempat saya di taman TTDI” saya dengan penuh mesra mengangguk-angguk sebelum saya benar-benar dapat mengecam lelaki yang bersungguh-sungguh menegur saya ini. Baru saya teringat wajahnya dan sememang dia adalah aktivis parti yang sering menjemput saya untuk berkulian di tempatnya.  Dia bertanya lagi: “ustas nak pi mana?” saya mengatakan saya perlu berada bersama pimpinan untuk berucapkepada lautan manusia yang sudah mula duduk seperti yang diarahkan. Pemuda ini dengan berbesar hati menarik saya sambil meminta jalan pada orang ramai untuk saya dan beberapa muslimat meredah ke tempat adanya pimpinan parti.

Dengan sedikit kesusahan dapat juga saya berada bersama pimpinan yang lain yang sudahpun memulakan ucapan mereka. Mungkin kedatangan kami disedari, Datuk Husam Musa menyebut nama-nama pemimpin yang kini menjadi tumpuan lautan manusia yang ‘dahaga’ mahu mendengar ucapan-ucapan bersemangat pemimpin mereka. Datok Mahfuz berucap dengan penuh semangat di selang seli dengan laungan BERSIH! Para pendengar yang kini sudahpun duduk begitu bersemangat sekali dengan membuat respons sorakan tanda sokongan setiap kali pemimpin mereka menghemburkan kata-kata semangat . Datok Mahfuz seorang yang dah ‘season’ dalam suasana begini malah YB Pokok Sena itu pernah dipenjarakan kerana berdemo semasa kedatangan pasukan kriket Israel tahun 90 an dulu. Masa itu hanya orang PAS yang menguasai demo-demo yang diadakan khusus dalam isu penderitaan umat Islam di peringkat antarabangsa. Tidak heranlah, ketika Datok Mahfuz berucap dia berupaya mengocak hati para demostran dengan gayanya yang tersendiri.

Ucapan Bersemangat

Selepas itu Yb Tian Chua yang mempunyai auranya tersendiri mengambil alih mikrofon yang pembesar suaranya sejak dari tadi dipegang  oleh unit amal yang bertugas. Era reformasi 98-99 tak akan lupa gambar seorang lelaki kurus bertentangan mata dengan kenderaan pancut air FRU semasa orang lain bertempiaran lari. Lelaki ini duduk diam tanpa menghiraukan pergerakan trak tersebut yang hanya beberapa meter sahaja dari tempat dia duduk. Trak tersebut terpaksa berhenti sehinggalah polis rusuhan ‘mengangkat’  secara paksa lelaki kurus ini yang masih dalam posisi duduk. Dia terkenal dengan aksi beraninya dan kini bergelar Yb sedang berucap di hadapan lautan manusia. Semasa Yb Batu ini berucap, trak polis 5 tan dengan enjin berderu-deru cuba meredah lautan manusia dan cuba lalu di belakang kami.Orang ramai jadi marah, ada yang membaling botol mineral sambil bertempik “anjing,anjing!” “bangsat, bangsat!” Tien Chua mententeramkan keadaan: “..mereka mahu provoke kita, jangan respons, biarkan mereka lalu..” suaranya tenggelam dalam kemarahan orang ramai, suara saya tanpa mikrofon cuba menenangkan orang ramai langsung tidak kedengaran. Seketika setelah trak biru polis berlalu, saya pula berucap, saya memulakan dengan laungan bersemangat BERSIH! antara lain yang saya sebut:

“Tuan-tuan, mereka boleh menghalang kita dari masuk ke sana (sambil tangan saya menunjuk di belakang iaitu Dataran Merdeka), mereka boleh meletak kawat berduri dan mereka boleh menghalang kita dengan trak-trak mereka, tetapi yang pasti mereka tidak boleh menyekat jiwa dan azam kita untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih!”

Sesak dan Panik

Selesai ucapan giliran wakil Mahasiswa untuk menyatakan pendirian mereka dan sokongan mereka kepada himpunan hari ini. Saya sudah merasai teriknya matahari dan peluh membasahi tubuh. Panasnya dengan lautan manusia membuatkan pernafasan saya sedikit terganggu kerana saya memang mempunyai asthma. Khuatir nafas saya tersekat , saya membawa diri keluar untuk ambil sedikit udara. Di pangkal Jalan Raja Laut saya melihat ada sedikit ruang kerana orang ramai berselarak. Saya pun menuju ke sana hanya beberapa meter dari tempat kami berucap tadi. Sambil duduk di atas Jalan Raja Laut bersantai ramai yang saya temui dari rakan-rakan Kedah, Kelantan dan Pahang. Semasa bersantai tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman dari tembakan gas pemedih mata dan asap mula berkumpul. Kelompok yang mendengar ucapan kami tadi berselarakan dan saya pula lari kerana ada orang yang sudah memberi  amaran supaya “lari!,lari!” Trak polis dan kelompok baju biru topi merah mula bergerak  ke arah Jalan Raja Laut tempat saya berlepak.

Semasa kekalutan itu, saya dibawa lari oleh Nasir dari PAS Jelutong yang ada bersama saya semasa melepak sekejap tadi, dia member tahu saya sambil kami menuju ke arah Sogo,: “lebih baik ustaz tinggalkan tempat ini, nanti saya cari orang bawak ustaz” Kelihatan beberapa biji motor memecut , ada seorang penunggang yang seolah-olah menanti saya, Nasir pun minta kepada penunggang ini untuk membawa saya ke tempat selamat. Entah siapa orang ini, dia pun membawa saya dengan laju sehinggalah ke The Mall. Seketika setelah saya selamat , Nasir mengirim sms pada saya berbunyi “beberapa orang awam cedera parah dlanggarkereta polis yg cuba nak lari dari penunjuk perasaan yang baling botol mineral bgitu juga beberapa polis trafik moto ditendang” Subhannallah keadaan nampaknya sudah tidak dapat dikawal lagi. Saya kemudiannya bergegas meninggalkan kota KL menuju ke Langkap Perak kerana ada temujanji makan malam Dewan Himpunan Penyokong Pas dan kemudian berceramah di Kg Gajah, Pasir Salak.

Meninggalkan Ibukota

Malam itu saya berceramah begitu bersemangat sekali dengan uniform kuning saya masih di baju dan bau hangit peluh dan bau asap gas pemedih mata masih terkesan. Saya kembali ke rumah dengan memandu sendiri bersama isteri dan anak bongsu saya pukul 2 pagi. Sepanjang jalan pulang setelah berceramah, saya tidak berasa mengantok kerana di sepanjang jalan saya sedang membuat rumusan-rumusan penting peristiwa petang tadi untuk saya nukilkan dalam pennulisan saya ataupun dalam ceramah-ceramah saya nanti. Yang pasti Dataran Merdeka pada hari itu menjadi Dataran Larangan dan yang pasti Penjajah British telah lama pergi untuk diganti dengan penjajah baru dari regim Umno/BN yang memperkudakan SPR untuk membuat kerja kotor bagi mereka. Terkini, PAS menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR letak jawatan dalam tempoh 30 hari dari surat tuntutan ini diserahkan di Putrajaya.

*Pandangan diberi merupakan pandangan peribadi penulis.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments