Opinion

Dua personaliti di bulan Ramadan

2 OGOS — Ziarah Ramadan

Di awal minggu Ramadan saya ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan Tazkirah Ramadan selama beberapa hari. Ia menjadi upacara tahunan setiap kali masuk bulan Ramadan. Saya akan meluangkan masa 3 atau 4 hari di sana sambil beriktikaf di mesjid menumpang teduh dan memburu pahala beribadat di bulan Ramadan. Pada tahun ini saya menziarahi dan bertemu dengan dua tokoh dalam rangka ziarah Ramadan saya ke Kuala Lumpur. Dua tokoh ini mempunyai keistimewaannya tersendiri dan mengukir nama di bidang masing-masing yang pastinya mengharumkan nama Malaysia. Mereka berdua masing-masing terlibat dalam bidang penulisan dan terjemahan yang jarang sekali diketahui oleh generasi kita hari ini kerana pembaca di Malaysia masih di tahap yang rendah berbanding dengan negara maju yang lain. Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buku setahun!

Mengharumkan Nama

Tokoh pertama yang saya kunjungi dalam perjalanan saya ke Kuala Lumpur ialah seorang rakyat Malaysia berketurunan Tiong Hua yang mengukir namanya tersendiri di bidang penterjemahan. Beliau berlatarbelakangkan karier sebagai wartawan dan menjawat jawatan sebagai wartawan kanan di salah sebuah akhbar harian berbahasa Cina yang terkemuka. Beliau yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik mempunyai kelebihan yang kemudian membuka ruang kepadanya untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Tidak siapa yang menyangka kepakaran penterjemahan dari Bahasa Mandarin ke Inggeris dikuasai oleh anak Malaysia, di luar negara. Saya bangga kerana orang Malaysia lebih pakar di bidang penterjemahan Mandarin-Inggeris dan Inggeris-Mandarin berbanding dengan warga Republik Rakyat China sendiri yang bahasa resminya adalah Bahasa Mandarin. Beliau menjadi pegawai penterjemahan dengan kerajaan Amerika dikhususkan dalam bidang terjemahan undang-undang dari bahasa asal Inggeris ke bahasa Mandarin. Beliau bertanggungjawab menterjemah Undang-Undang Jenayah California dan undang-undang lain yang berkaitan. Bukan mudah untuk menterjemah bahasa undang-undang sehingga ia menjadi rujukan. Beliau juga bertanggungjawab menterjemahkan Deklarasi Hak Perlindungan Kanak-Kanak dan Wanita ke Bahasa Mandarin yang menjadi rujukan di Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan senarai yang panjang pengalaman penterjemahan dalam bidang undang-undang siapa yang tidak teruja bertemu dengan personaliti rakyat Malaysia ini.

Semangat Patrioritik

Apa yang lebih istimewa dalam personaliti yang bernama Wong See Choon ini, ialah semangatnya yang tinggi untuk berkhidmat kepada anak bangsanya walaupun bertahun memegang status PR di US. Beliau menyatakan hasratnya pada saya tentang bagaimana dia mahu melihat negara ini berhak mendapat masa depan yang lebih gemilang. Beliau menolak sebarang bentuk ketidakadilan dan rasuah yang berleluasa di negara ini dan mahu menghabiskan sisa masanya dengan kepakarannya untuk memastikan negara ini terus maju ke hadapan dengan kepimpinan yang lebih wibawa. Kami berkongsi harapan yang sama dan saya memberikan beliau jaminan bahawa tugas saya sebagai ahli politik tidak akan mengecewakan hasratnya yang murni itu. Selain itu beliau mempunyai semangat yang tinggi untuk menyumbang kepada anak bangsanya, menurut beliau apa yang dinikmatinya hari ini dia mahu pulangkan kembali kepada masyarakatnya yang masih jahil dengan kesedaran undang-undang. Salah satu caranya ialah menterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya iaitu Mandarin supaya mereka faham tanggungjawab mereka terhadap perundangan negara ini. Dia telahpun selesai menterjemah Akta Pertubuhan dan pernah menjadi pensyarah untuk latihan pengurusan korporat dari sudut undang-undangnya. Sepanjang perbualan kami beliau amat tertarik dengan perjuangan PAS yang menurutnya perlu dibudayakan dalam kelompok masyarakat Cina di Malaysia.

Masalah Terjemahan

Kami berbual tentang bahasa apabila diterjemahkan perlu mendapat semangat dan maknanya yang asli kerana kadang-kadang saya mendapati terjemahan ke Bahasa Mandarin tidak menepati kehendak maksud asal bahasa itu. Saya membuat contoh terjemahan Islam ke Bahasa Mandarin yang kerap dipakai oleh masyarakat Cina Malaysia ialah Hui Chiaw, iaitu Agama Kaum Hui yang beragama Islam. Nama Islam dikaitkan dengan bangsa sehinggalah kini baru ditukar terjemahannya dengan Yesilan Chiaw. Topik menarik apabila bahasa terjemahan boleh mengelirukan kefahaman asal maknanya dan sekaligus mencacatkan maksud dalam sesuatu mesej bahasa yang hendak disampaikan. Kami berpisah petang itu dengan harapan perbualan ini diteruskan dalam hubungan selanjutnya.

Masjid Kayu Ara

Malam pertama di Kuala Lumpur saya bertarawih di Masjid Kayu Ara. Sebelum Isya saya memberikan kuliah tentang puasa dan kaitannya dengan sebuah perjuangan. Saya pernah mengunjungi masjid ini beberapa kali dan saya tidak akan terlepas peluang pada setiap kali saya mengunjungi masjid itu untuk bertemu dengan seorang ustaz yang saya hormati iaitu Ustaz Darus Senawi. Kali ini kelibatnya tidak kelihatan, mata saya meliar mencari susok tuboh Ustaz Darus sambil memberi kuliah. Selesai solat saya bertanya kepada salah seorang AJK masjid di mana Ustaz Darus? Mereka mengatakan Ustaz Darus tidak berapa sehat dan saya terus meminta nombor handphone beliau untuk saya bercakap sendiri dengan beliau. Semasa saya membuat panggilan Ustaz Darus agak kaget mendengar suara saya kerana tidak menduga saya akan bertanyakan khabar tentang dirinya. Kami berjanji melalui perbualan telefon untuk bertemu keesokannya di rumah beliau yang hampir dengan masjid.

22 Tahun Tidak Bertemu

Esoknya saya memenuhi temujanji dan alangkah terkejutnya saya untuk mendapati ustaz yang saya kenali tahun 80an dulu kini kelihatan uzur, langkahnya perlahan ketika menyambut saya di pintu rumahnya. Semasa saya mengunjunginya hujung 80an beliau ligat bergerak melayan kami yang masih pelajar ketika itu, oleh kerana peristiwa itu masih segar dalam ingatan, saya lupa jarak kunjungan saya dahulu dengan temujanji hari ini sudah berlalu 22 tahun. Masyaallah begitu cepat masa berlalu, hati saya terdetik. Beliau menghulurkan tangannya menyambut saya dan saya memeluknya tanda rindu sambil bertanyakan khabar. Rumahnya seperti dulu, dinding ruang tamunya dihiasai rak buku semata-semata, manakala di atas mejanya berselarak berbagai buku.

Semangat Muda

Saya berasa gembira kerana walaupun secara fizikal keadaannya agak uzur namun semangatnya dan ingatannya tetap kuat. Mungkin itu tabiat seorang penulis oleh kerana kegigihannya menulis dan membaca, fakulti akalnya sentiasa tajam dan cakapnya penuh dengan keterujaan apabila menceritakan tentang sesuatu isu yang serius. Pada lingkungan pembaca buku-buku fikrah Islam awal ‘90an, Ustaz Darus Senawi dikenali kerana usahanya menterjemah bahan bacaan dari Bahasa Arab ke Bahasa Malaysia. Buku Fathi Yakan umpamanya banyak diterjemahkan oleh Ustaz Darus melalui penerbitan Pustaka Fajar empunya YB Bandar Bharu hari ini iaitu Yaakob Hussein. Semasa pelajar, kami bukan sahaja menikmati buku terjemahannya malah kami juga sempat berusrah dengan beliau dan berkongsi pengalaman dengannya. Saya amat menghargai jasanya di bidang terjemahan Arab-Melayu kerana bahan yang dibekalkan amat berguna untuk mereka yang ingin menggali khazanah ilmu Islam. Buku terjemahannya yang paling banyak di pakai ialah Fiqh Seerah oleh Syeikh Said Ramadhan Al Buthi dalam tiga jilid. Terjemahan yang paling besar ialah Seerah Nabawiyah Al Rahiq Al Makhtum karangan Abdul Rahman Al Mubarakfuri terbitan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia. Saya sering menggunakan dua buku Seerah ini dalam kuliah Seerah saya dan adanya terjemahan memudahkan saya dan mereka yang belajar dengan saya untuk dijadikan rujukan. Saya menyatakan penghargaan saya kepada beliau dan bahawa beribu rakyat Malaysia dapat menfaat daripada usaha besar yang beliau lakukan. Sifat beliau yang sentiasa berendah diri membuatkan pujian saya seolah-olah tidak didengarinya lalu beliau berpindah ke tajuk lain tentang hasratnya untuk terus menterjemah.

Veteran Bertemu Junior

Beliau mengikuti perkembangan saya di arena politik dan sebagai orang lama cuba menasihati saya melalui soalan-soalan yang diajukan untuk saya mengambil perhatian. Kami bersembang sehingga ke hal bagaimana mahu membentuk Fiqah Hubungan dengan non-Muslim corak Malaysia. Beliau kelihatan bersemangat sambil mengambil buku-buku di raknya untuk mewajarkan perlunya penerokaan dalam bidang ini. Beliau juga kagum dengan usaha penulis-penulis Barat dari sudut kegigihan mengumpulkan maklumat tentang Islam dan sejarahnya. Beliau menunjukkan sebuah ensiklopedia yang mengenalpasti masyarakat ethnic seluruh dunia yang beragama Islam dengan maklumat yang terperinci sekali. Beliau seolah ingin mengatakan apa yang dibuatnya terlalu sedikit berbanding dengan yang lain dalam bidang penulisan. Beliau juga telah melengkapkan terjemahan secara ringkasan Hayatus Sahabah (Kehidupan Para Shabat Nabi) iaitu buku 2jilid tebal karangan asal Allamah Ad Dahlawi. Kami berpisah dengan satu harapan supaya tajuk fiqah Malaysia dalam hubungan dengan non-Muslim diperpanjangkan dan beliau boleh membantu saya untuk memberi ide-ide bagi menyiapkan satu dokumen penting ini.

Syahdunya Ramadan

Ramadan bukan sahaja tentang pentabiyahan rohani, ia juga adalah hubungan sosial yang mengeratkan hubungan silahturrahim. Ramadan kali ini cukup bermakna dalam konteks ini kerana saya diberi penghargaan untuk bertemu dengan dua tokoh di bidang penterjemahan dengan niat yang mulia. Walaupun keduanya mempunyai bidang fokus yang berlainan namun nilai mulia yang mendorong mereka berbuat demikian adalah penting untuk difahami oleh generasi hari ini. Mereka menterjemah bukan untuk buat duit tetapi mereka melakukan usaha murni ini ialah supaya kita dapat menikmatinya sebagai rakyat Malaysia yang masih jauh lagi tahap budaya membacanya. Syahadunya Ramadan tahun ini dalam perspektif yang berbeza apabila saya bertemu dengan kedua tokoh hebat ini.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments