1 NOV — Umur kejar kita
Lagi beberapa minit waktu tempatan di Kaherah, saya akan menyambut hari lahir saya dan uniknya kali ini ialah saya berada di luar negara jauh dari orang yang tersayang. Kalau di Malaysia saya sudah memasuki tarikh itu sejak 5 jam yang lalu, dan ini bermakna umur saya sudah 5 jam lebih tua, di sini saya masih ada 30 minit lagi untuk menghabiskan sisa umur saya yang ke 48. Namun apa jua keadaannya, hakikatnya umur semakin mengejar kita dengan pantas dan hanya zon masa yang melambatkan atau mempercepatkan ia datang.
Happy Birthday
Walaupun sedih kerana jauh dari isteri dan anak, saya tersenyum seorangan membuka FB apabila ucapan “Selamat Harijadi” bertalu-talu masuk dalam wall saya dari sahabat FB yang prihatin. Isteri saya mengirim SMS pada awal pagi waktu Malaysia dengan madah yang menambahkan lagi kasih dan rindu saya kepadanya. Saya kerap membalas madah dengannya apabila berjauhan begini, apatah lagi pada saat istimewa seperti malam ini madahnya lebih mendayu. SMS kedua datang dari seorang yang mengingati juga harijadi saya. Sekurang-kurangnya ucapan itu mengubat rindu saya yang jauh bermusafir.
Selain dari itu harijadi sering dikaitkan dengan hadiah istimewa, lebih rapat kita dengan seseorang lebih istimewalah nilai hadiah yang diberi. Bagi saya tahun ini adalah hadiah yang paling teristimewa buat saya kerana ia datang dari sebuah bumi yang diberkati sekelilingnya dan ia juga adalah bumi isra’ dan mikraj dan kiblat pertama umat Islam. Hadiah istimewa itu ialah perjalanan ke Ghazzah dan saya mahu pembaca berkongsi hadiah istimewa ini dengan saya pada saat saya mengira detik jam untuk menyambut harijadi saya di Kaherah.
Ujian seorang kekasih
Kasih kita pada bumi Palestine bukan paksaan tetapi satu penghayatan kepada makna pengorbanan dan cintakan syahadah. Penghuni bumi bertuah ini adalah sebaik manusia bukan kerana bangsanya tetapi kerana sikapnya yang tidak mahu tunduk kepada penghinaan dan ketegasannya menegakkan kemulian diri dan kebebasan. Kehebatan bumi dan penghuninya membuatkan rasa kasih yang tinggi, biarlah jauh sekalipun keinginan memijak bumi ini membuak-buak. Perjalanan saya kali ini tiada sebab lain kecuali mahu menjejak kaki saya di sana. Umpama perjalanan seorang untuk mendapatkan kekasihnya ia dibentangkan dengan kesukaran dan ujian yang maha dahsyat sehingga kekecewaan hampir menguasai kita. Namun azam digenggam kukuh dan bersama kumpulan yang berkongsi cita-cita yang seiringan kami nekad untuk masuk juga ke Ghazzah walaupun terkandas satu hari kerana ketiadaan izin dari pihak berwajib.
Kami semakin hampir
Perjalanan kami ke Arish merentasi padang pasir Sinai dari Kaherah bermula pada 23 Oktober. Walaupun tanpa dokumen yang kukuh untuk menyeberangi sempadan, kami tetap yakin akan berjaya. sepanjang perjalanan saya berhubung dengan pihak berwajib di Ghazzah bagaimana caranya saya boleh sampai ke sana untuk menyampaikan amanah bantuan yang diberikan kepada kami untuk mereka. Mereka mengatakan, bagi pihak sebelah Ghazzah mereka tiada masalah, kami cuma perlu melepasi pihak berotoriti di Mesir. Walaupun Mesir sudah bebas dari regim diktator, namun, birokrasi merentasi sempadan masih lagi ketat tanpa sebab yang kukoh sehinga menyulitkan proses bantuan kemanusiaan terhadap Ghazzah. Mereka mencadangkan supaya kami mengikuti jalan alternatif untuk sampai ke sana. Tahukah anda apa jalan alternatif?
Semacam penyeludup
Saya difahamkan oleh pihak berkuasa Ghazzah bahawa risiko jalan alternatif ini adalah datang dari pihak Mesir jika mereka mendapati kami melalui jalan ini. Adapun bagi pihak Palestine, mereka tidak kisah sesiapa sahaja yang datang melalui jalan ini kerana mereka memerlukan bantuan sampai kepada mereka. Saya bermesyuarat dengan ahli rombongan dan kami bersetuju untuk mengambil risiko ini demi untuk sampai ke bumi Ghazzah.
Sebaik isyarat persetujuan kami disampaikan kepada pihak Ghazzah kami dimaklumkan bahawa ada kereta menunggu kami di pekan Arish untuk membawa kami melalui jalan ini. Saya membayangkan kereta ini akan terus membawa kami ke Ghazzah melalui pekan Rafah Palestine. Apa yang kami tidak jangkakan bahawa setelah menaiki kenderaan yang sedia menunggu, kami disuruh masuk ke dalam rumah di sebuah kampong sempadan untuk meneruskan perjalanan berjalan kaki. Rupanya jalan alternatif adalah lorong bawah tanah sepanjang 250m dan sedalam 50 kaki yang akan membawa kami ke seberang sana, ia dikenali juga sebagai lorong tikus kerana lubang yang dikorek dan cara pergerakannya yang penuh penuh kerahsiaan. Sudahlah kami menyusuri jalan kampung yang berbonggol-bonggol mengelakkan checkpoint, kami pula disuruh bergerak pantas umpama penyeludop mengelak dicekup.
Lorong tikus
Sesuai dengan namanya, ia cukup untuk saiz badan manusia dan adakalanya kami terpaksa tunduk untuk elakkan terantuk dengan kayu yang menjadi penampan atas dan kiri kanan terowong. Laluannya di pasang lampu untuk mengelak terantuk kepala walaupun sepanjang 250m itu penuh dengan debu dan kekurangan oksijen. Jalan pergi kami menurun jadi saya terpaksa mengawal penurunan supaya tidak tergolek jatuh dengan mengimbangi posisi menurun dan sempitnya ruang. Saya hanya mengikuti budak petunjuk jalan yang sambil membawa bagasi kami berjalan pantas. Sampai tengah perjalanan saya tercungap-cungap kekurangan oksijen dan terpaksa berhenti. Mungkin kerana memahami saiz badan saya, budak itu memberi isyarat semua berhenti untuk tarik nafas. Hanya beberapa saat sahaja kami diarahkan terus bergerak kerana khuatir sesuatu berlaku. Kami hanya turut perintah dan sampai di hujung terowong kelihatan beberapa orang berbadan besar tersenyum sambil mengucapkan “Marhaban, Marhaban” dihujung terowong itu agak selesa dan bunyi bising lif angkut kedengaran kerana kami terpaksa naik ke atas 50 kaki untuk keluar. Di atas kami seolah berada dalam khemah dengan semua orang bersalaman dengan kami sambil menyebut “welcome to Ghazzah” hanya setelah semua kami naik barulah kami keluar dan menaiki van yang sudah disediakan. Suasana agak relaks tidak seperti di Rafah Mesir di mana pergerakan kami kelam-kabut. Kami dibawa ke satu tempat di mana kami dapat melihat sempadan sebelah Mesir dengan jelas, tempat itu saya kira markaz perisikan kerana pegawainya mengambil maklumat kami mungkin supaya mereka tahu pergerakan kami, mereka dari pihak berkuasa Hamas yang memerintah Ghazzah.
Tepian pantai
Kami kemudian dibawa makan malam di tepi pantai Khan Younus iaitu salah satu pekan di Ghazzah. Restorennya agak mewah dan selesa, sepanjang jalan saya diceritakan oleh pemandu kami dan pengiring kami bahawa semua kawasan ini dikuasai oleh regim Zionis tetapi pada tahun 2006 intifadah dan serangan bertubi-tubi Briged Qassam Hamas telah membebaskan keselurohan kawasan pantai. Dulu katanya kami tidak boleh ke pantai tapi kini kami bebas dan tambahnya lagi dengan penuh semangat seluruh bumi Palestine akan bebas. Saya tumpang bersemangat walaupun perut berkeroncong dan badan letih. Sampai di sana kami disambut dan turut sama ialah Ahli Parlimen Pihak Berkuasa Palestine yang melayan kami. Saya banyak bertukar pandangan dengannya tentang politik Palestine dan Timur Tengah termasuk Syria yang sedang bergolak.
Majlis ringkas
Perjalanan ke tempat penginapan kami di Khan Younes selesa dan kami sampai di sebuah bangunan besar yang tertulis di luarnya Hospital Amal Bulan Sabit Merah Antarabangsa. Kami berkumpul di lobi bangunan dan berkenalan dengan anggota Persatuan Kebajikan Al A’Mar dan ahli majlisnya. Saya diminta beri ucapan bagi pihak rombongan dan menyatakan kegembiraan kami dapat sampai juga di bumi Jihad ini dengan niat membantu saudara-saudara kami yang tertindas dan diserang Zonist. Dalam majlis itu yang berlangsng pukul 11 malam, kami menyerahkan sumbangan-sumbangan yang diberi oleh orang ramai dan termasuklah dari tabung bantuan umat Islam zakat Pulau Pinang yang merupakan antara penyumbang terbesar kali ini. Kami beramah-mesra dan kemudian kami dimaklumkan untuk berjumpa dengan kelompok murabitun iaitu Briged Qassam yang menjadi sayap ketenteraan Hamas. Briged Qassam bertanggungjawab menjaga keamanan Ghazzah dan mereka adalah dari kalangan anak muda yang cukup terlatih untuk perang hendap ke atas penjajah Zionist Israel. Beberapa minit kemudian ada pertukaran perancangan kerana suasana keamanan tidak mengizinkan dan mungkin bahaya untuk kami. Akhirnya salah seorang komanden mereka datang berjumpa kami di luar bangunan untuk bertanya khabar dan saya mengucapkan terimakasih atas Jihad mereka yang penuh barakah ini serta keberanian mereka menentang penjajahan Yahudi ke atas bumi Palestine.
Tazkirah bersama pejuang
Salah seorang yang mengiringi kami mencadangkan supaya kami bertemu dengan sekelompok lagi anak-anak muda yang berkawal di zon yang terdedah kepada bahaya. Saya memang mengharapkan demikian supaya saya dapat menghayati betapa sukarnya perjuangan mereka walaupun dengan hanya bersalaman dengan mereka. Waktu itu sudahpun pukul 1 pagi. Kami bergerak ke salah satu khemah pelarian lama yang kini menjadi sebuah perkampungan untuk bertemu dalam kegelapan beberapa tentera Hamas yang berkawal. Pengiring kami memberikan tazkirah dan saya menterjemahkannya kepada beberapa rombongan kami yang ikut dan salah seorang dari mereka menangis sebak kerana tersentuh dengan kata-kata rangsangan berkorban untuk agama. Saya memberi sedikit tazkirah dan kemudian kami berpelukan sambil mengucapkan kata semangat kepada mereka. herannya ialah bau mereka sungguh harum walaupun mereka dalam pakaian tebal tentera. Mungkin itu bau syurga dunia untuk mengisyaratkan kepada yang mau berfikir betapa mulianya mereka, belum syahid lagi sudah berbau harum.
Kembali ke Arish
Esoknya kami diminta berada di bilik masing-masing sehingga diarahkan turun. Siap pukul 7.30 pagi kami pun diarahkan turun dan bersiap sedia untuk pulang. Kami diberitahu semalam satu operasi Briged Qassam telah berjaya melumpuhkan kedudukan tentera Zionist dan kerana itu, regim Israel mengamok hari ini dengan menyerang tempat tertentu yang dikatakan adanya tentera Hamas. Kami diberitahu ada perubahan dalam perjalanan pulang kami untuk mengelakkan risiko terowong kami dibom. Jadual kami tertunda sedikit kerana keadaan keselamatan tetapi akhirnya dalam menunggu di van tempat kami akan keluar kami diarahkan cepat-cepat masuk ke kawasan terowong dan secara tergesa mengucapkan selamat tinggal kepada tuan rumah. Sebelum itu saya diberi kejutan dengan pemberian hadiah sempena harijadi saya. Saya terkejut bagaimana sahabat dari Ghazzah ini tahu harijadi saya. Dia senyum sambil berkata, jika tidak kerana tergesa-gesa pasti dia adakan majlis sambutan untuk saya. Saya teruja dan sebak sambil memeluknya erat ketika hendak berpisah dengannya. Kehangatan ukhuwah amat terasa walaupun sibuk dengan jihad mereka membina semula Ghazzah yang hancur kerana serangan tempoh hari, masih ada ruang untuk bermahabbah dan berukhuwah yang asasnya adalah keikhlasan.
Selamat tinggal
Saya gembira kerana hari ini harijadi saya tapi saya sedih kerana hari ini saya terpaksa berpisah dengan kekasih saya yang bernama Ghazzah namun disebalik kesedihan itu saya telah menerima hadiah yang paling istimewa tahun ini. Hadiah itu menginsafkan saya tentang pengorbanan, jihad dan tiada kepentingan diri. Segala keseronokan dunia seolah tiada untuk mereka sedangkan kita berkejar-kejar menikmati dunia dan segala godaannya. Mereka tidak ada nama yang disanjung dan diukir, mereka membina apa yang diruntuhkan musuh mereka walaupun sesekali ia dilihat mustahil. Kepekatan malam yang menyelimuti kita dengan mimpi indah dunia menyelimuti mereka dengan mimpi mati syahid. Bau harum mereka masih terhidu dan senyuman mereka masih terukir dalam hati saya. Siapa yang tidak mahu dianugerahkan dengan hadiah ini? siapa yang boleh lupa perjalanan lorong tikus dan risiko yang menanti? Siapa yang boleh lupa bahawa semua ini dibuat hanya kerana kasihkan bumi Palestine? Perjalanan ini adalah hadiah teristimewa buat saya dan di akhir noktah artikel ini, saya mahukan pembaca meraikannya bersama. Viva Palestine!
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments