Tulisan saya tentang membina tasawur usuliy dalam memahami perlaksanaan hudud mendapat beberapa maklum balas dari pembaca yang prihatin, dan tidak kurang di kalangan mereka yang masih kekal dengan cara emosi dan tidak mahu berfikir secara sedar akan kepentingan memahami Khitabullah (Perintah Allah) yang bersangkutan dengan Af’al Al Ibad Al Mukalaffin (tindak-tanduk hamba Allah yang tertakluk pada tanggungjawab melaksanakan perintah atau hukum Allah).
Saya tidak dapat menyalahkan mereka waimma mereka ini hanya sekadar “ulama papan kekunci” ataupun kerja mereka hanyalah “menyerang” membuta-tuli walaupun atas risiko mendedahkan betapa “bebalnya” ilmu dan akhlak mereka.
Tanggapan tulisan saya yang diumpamakan “berbelit kerana tidak mahu laksanakan hudud” ataupun “semacam bani Israel yang memberi alasan yang banyak untuk tidak mahu laksanakan perintah Allah” adalah keterlaluan walaupun sekadar sebaris dua dalam ruangan komen media sosial. Ada yang ambil mudah “buat sajalah” dan tidak kurang yang kaitkan tulisan yang “pening penuh teori”.
Malangnya semua komentar tiada bersendikan hujah walau sepotong ayat Al Quran dan ia lebih mirip kepada hujah lagha (hujah tiada asas). Komentar lagha ini mengiakan lagi tanggapan saya pada awal penulisan dalam artikel tersebut tentang bagaimana persepsi tentang hudud tidak disuntik dengan keterampilan ilmu dan hujah.
“Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan mereka yang tiada berpengetahuan, tiada diambil ingatan melainkan mereka yang ada akal” surah Az Zumar ayat 9.
Maklum balas yang positif
Kecuali dua yang berkomentar melontarkan pemikiran yang layak disambut untuk diluaskan lagi perbahasan, iaitu Abu Mujahid dan Mohd Rosdi Ismail. Walaupun demikian rumusan Mohd Rosdi tidak sampai ke bumi nyata melainkan beliau “syok sendiri” dalam kesimpulannya dengan motif yang dia sahaja yang memahaminya.
Adapun Abu bahawa hujahnya ada asas yang kukuh dalam mempertikaikan isu taqnin dan tanfiz (memperundangkan dan pelaksanaan) hudud. Syabas saya ucapkan kepada Abu dari Segambut, saya akan cuba memperluaskan daerah tasawur usuliy (tasawur prinsip hukum) kepada daerah siyasah syariyyah (pemahaman politik dan kuasa).
Sekurang-kurangnya Abu mengiktiraf asas awal pembinaan hukum dalam hal hudud cumanya ia menganggap saya masih lagi berbicara tentang “anak gajah” walhal orang sudah bercakap tentang “gajah”. Saya bersetuju namun kalau tiba-tiba orang tengok gajah dia lupa bahawa dia perlu membayangkan dulu gajah sebelumnya adalah anak gajah.
Inilah yang saya cuba bawa, kerana kecelaruan berfikir dan tasawur yang setengah masak sebahagian kita menyebabkan sesetengah orang mengambil jalan pintas sedangkan tiada jalan pintas dalam memahami syariat Allah.
Siyasah Syariyyah
Tiada dalam penulisan saya yang menyatakan bahawa saya tidak meneliti soal taqnin atau saya masih keliru antara taqnin dan tanfiz, saya cuma membina asas kefahaman secara tasawur kepada prinsip hukum.
Sama ada hendak ditaqnin atau hendak ditanfiz itu terpulang kepada keperluan siyasah syariyyah yang saya sedikitpun belum menyentuhnya. Menghubungkan antara prinsip hukum tentang hudud dengan realiti semasa adalah jurisdiksi siyasah syariyyah yang asasnya adalah maslahah (kemanfaatan) dan mafsadah (keburukan).
Secara praktiknya Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II (EKJSK II) sudah ditaqninkan di peringkat negeri Kelantan sejak 1993 lagi, maka isu taqnin dengan bentuknya yang melihat kepada jenis undang-undang jenayah, proses pendakwaan dan kaedah penghukuman semua sudah dibuat penelitian sejak 1993 dan proses itu berjalan hingga ke hari ini.
Satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan untuk meneliti perincian dan butiran undang jenayah syariah Kelantan. Isunya bukan pentaqninan atau memperundangkan hudud tetapi isunya ialah penguatkuasaan yang terhalang. Apakah halangan tersebut?
Halangan-halangan
Perundangan negara – halangan yang mengambil kira maslahah ialah wujudnya Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengehadkan bentuk hukuman denda, sebatan dan penjara.
Denda untuk mahkamah syariah ialah tidak lebih daripada RM5000, manakala sebatan ialah tidak melebihi 6 kali dan penjara tidak boleh melebihi 3 tahun. Hukuman bagi kesalahan EKSJK II mengikut ketetapan syariah melebihi had rotan, penjara dan denda yang diperuntukkan oleh undang undang di peringkat pusat.
Saya sebagai penggubal undang-undang sudah beberapa kali mengesyorkan kepada kerajaan pusat dalam perbahasan supaya membuka had ini bagi Kelantan menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah. Kerajaan pusat masih tidak menunjukkan komitmen hingga ke saat ini.
Persediaan teknikal perundangan – bagi memastikan syarat EKJSK II ini berjaya, persediaan teknikal perundangan penting dan kerana itu masih banyak lagi persediaan hakim, peguambela, pendakwaan dan infra sumber manusia yang memerlukan lebih banyak pembaikan.
Usah bercakap tentang pentaqninan jika infra teknikal perundangan belum lagi diperkukuhkan. Apatah lagi isu pertindihan hukuman yang sememangnya telah tersedia ada dalam undang-undang kanun keseksaan seperti mencuri, membunuh dan lain-lain. Ia akan jadi lebih rumit kerana isu “double jeorpady” dikhuatiri akan berlaku.
Dua halangan di atas membentuk kefahaman awal tentang perlaksanaan hukum Allah bersifat taklif wadhie yang perlu diambil kira faktor sebab, syarat dan halangan. Saya tidak berbincang isu ini kerana tidak mahu melaksanakan tetapi melihat kepada kerangka taklif wadhie yang
ditetapkan oleh ulama berpandukan kepada nas kulliy (kefahaman teks secara menyeluruh) yang membentuk maqasid syariyyah.
Tanggungjawab siyasi
Saya bersetuju bahawa melihat kepada permasalahan ini dalam kerangka penggubal undang-undang seperti saya adalah satu tanggungjawab. Namun saya juga bertanggungjawab untuk memastikan proses, cara dan kepentingan lain dimbangi sebaik mungkin supaya hudud tidak menjadi bahan politik untuk tujuan lain.
Saya juga bertanggungjawab supaya halangan untuk perlaksanaan hudud diberi penyelesaian yang diperlukan seperti memberikan kehidupan yang selesa, memperjuangkan gaji minima dan menghapuskan galakan kepada lahirnya masyarakat tidak bermoral serta memupuk perpaduan antara kaum.
Bukankah ini juga adalah tanggungjawab memartabatkan perintah Allah? Kenapa kita sempitkan tanggungjawab politik hanya kepada hudud semata-mata?
Tidak ada sesiapa yang memahami isu ini menafikan bahawa isu hudud terbina dalam kerangka tasawur menyeluruh bermula dari perspektif prinsip fiqh, prinsip siyasah syariyyah dan ini termasuklah kaedah memperundangkannya serta melihat realiti permasalahan dan halangan. Bagaimana kita boleh melompat kepada satu tahap tanpa memahami tahap sebelumnya dan tahap yang akan datang?
Apatah lagi isu hudud lebih banyak terdedah kepada manipulasi politik dan komentar “ulama keyboard” yang sewewenang-wenangnya mentakrifkan seseorang tanpa memahami kaedah. Sebelum mengenali gajah perlu kenal anak gajah. Janganlah jadi seperti kisah 3 orang buta yang mahu mengenali gajah tetapi kesemua mereka mempunyai persepsi tersendiri tentang gajah.
Hudud perlu mendapat persefahaman yang berasaskan kejelasan dengan tasawur menyeluruh lalu diturunkan tasawur itu pada peringkat operasi berpandukan kepada fiqh waqie yang tidak terelak oleh kita semua. – 22 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments