22 DIS — Isu Melayu akan tertonjol semula setiap kali ada parti Melayu yang merasakan kedudukan politik mereka tertekan. Asas tertekan adalah kerana kehilangan sokongan politik dari kelompok Melayu dan kegoyahan sokongan bukan Melayu.
Politik kelompok tergugat apabila pemikiran yang lebih alamiyah muncul menawarkan satu jalan keluar kepada rakyat Malaysia dari order politik lama yang berakar umbi dalam negara selama ini. Pemikir politik lama berasa seolah diri mereka tidak lagi releven untuk kekal dalam terjahan arus politik baru yang menelur hasil dari idea bahawa dunia ini tidak lagi semudah hitam atau putih.
Norma keadilan sosial, hak samarata dan peranan parti-parti politik sendiri yang buat sekian lama tidak pernah dipersoalkan kini dicabar begitu rupa sehingga berupaya menggugat cara order lama menafsirkan politik Malaysia mengikut “world-view” mereka.
Melayu dalam perspektif
Perbahasan Melayu adalah satu kerangka wacana yang meluas, golongan politik kekelompokan Melayu menjurus hanya kepada persoalan ethnicity atau keetnikan yang menilai segala pokok persoalan dari titik-berdirinya lalu melihat orang lain dalam pemikiran “aku lawan kamu. Hubungan “aku lawan kamu” menjadikan perspektif Melayu bagi order politik lama begitu sempit dan membentuk suasana politik negara menjadi ethno-centric.
Setiap pendekatan politik order lama atas apa sahaja namanya akan dikawal oleh doktrin yang berakar umbi secara tersendirinya untuk kepentingan Melayu. Kuatnya doktrin ini memaksa politik kekelompokan dari kaum lain khususnya kelompok Cina menerima doktrin ini sebagai syarat perkongsian pintar ala politik rasis. Landasan ethno-centric terus menjadi budaya politik orang Malaysia sehingga tidak ada yang berlaku di sini melainkan pasti akan ada perasa perkaumannya.
Memelihara asas
Lama tidak semestinya tidak baik dan baru tidak semestinya menjamin kebaikan, apa yang perlu diambil kira ialah persoalan penyesuaian diri sesuatu ide dan kemampuan ide itu mengemudi masa depan negara kepada satu tahap yang lebih hebat daripada apa yang ada hari ini. Apa yang lebih penting proses ini tidak akan menggugat asas-asas penting kenegaraan yang hakikatnya adalah jaminan paling utama untuk melakukan reformasi negara yang sangat diperlukan ketika ini.
Implikasi politik lama
Teori Konflik mengandaikan bahawa perubahan tidak akan berlaku tanpa kocakan kuat malah krisis yang meruncing berkemungkinan melahirkan peluang untuk melakukan satu perubahan. Apa yang dialami oleh politik Malaysia hari ini ialah proses ke arah itu kerana gara-gara politik lama yang meninggalkan impak sosio-ekonomi politik.
Budaya politik lama telah melahirkan generasi yang kelompok masing-masing yang prejudis terhadap kaum lain. Begitu juga satu fahaman yang meletakkan perkara lain lebih rendah dari perkauman hatta kepada keperluan moral dan agama.
Budaya lama menghasilkan politik kebimbangan kepada persoalan kaum lain kononnya akan menguasai itu dan ini sehingga jurang interaksi dan komunikasi terbentuk dengan melebarnya. Soal pendidikan yang terumbang-ambing antara kepentingan pendidikan nasional dan pendidikan bahasa ibunda menyebabkan segala bentuk pendekatan integrasi gagal dan masing-masing berada di zon kebimbangan walaupun sudah merdeka 50 tahun lebih.
Lebih buruk dari implikasi tersebut ialah usaha politik bagi pewajaran keadaan di atas supaya regim lama terus kekal berkuasa.
Melayu Islam, Islam Melayu
Implikasi paling besar fahaman politik lama ialah melahirkan formula politik bahawa Melayu itu Islam dan begitulah sebaliknya. Formula ini nampaknya begitu berkesan samada bagi mendiamkan penentang politik perkauman ataupun untuk mendapat sokongan dan simpati bagi orang Melayu.
Malangnya formula ini bukan sahaja silap sifirnya tetapi ada NGO Islam dan segelintir pemimpin NGO menerima sifir ini tanpa segan silu kepada keilmuan yang diberikan Allah kepada mereka. Silapnya formula politik ini ialah pada hakikatnya dan pada rumusannya.
Hakikatnya
Hakikatnya ialah Islam bukanlah sebuah agama yang berteraskan bangsa, ia adalah agama yang bersifat merentasi kaum bagi memenuhi kriteria alamiyahnya Islam (21:107), kedua hakikat kemuliaan seseorang ialah pada keimanan dan ketaqwaannya bukan kepada keturunan atau kepuakannya (49:13), ketiga menghormati sesama insan tanpa mengira kaum atau bangsa adalah tuntutan ilahi (17:70).
Seharusnya sebagai seorang Islam, susunan pemikiran tersebut mesti didahulukan atas segala-galanya. Mewajarkan Melayu dengan Islam atas formula politik sesat di atas adalah bercanggah dengan hakikat Islam itu dibangkitkan oleh Allah.
Godaan perkauman
Sememangnya godaan untuk menggunakan perjuangan atas kepentingan kaum pernah terlintas di kepala Nabi Muhammad s.a.w untuk maslahat dakwah, tetapi ia dilarang oleh Allah kerana tidak mahu menjadikan contoh kepada umat Islam kemudian.
Hakikat ini disebut oleh Allah dalam surah Isra’ 73-75 di mana tanpa panduan Allah dan ketetapannya Nabi Muhammad akan ikut kehendak Quraisy untuk mengatakan selain daripada apa yang ditetapkan oleh Allah. Malah ayat ini menegaskan siksaan Allah kepada Nabinya jika tidak kerana Allah memperkukohkan sikap Nabi mengikut perintah Allah supaya jangan mengikuti kehendak Quraisy dalam membawa agama ini.
Salah satu daripada kehendak Quraisy ialah supaya Muhammad menerima tawaran menjadi pemimpin mereka tapi hendaklah meningalkan seruan Islam. Nabi menolaknya dengan penuh hormat bagi mengasaskan sikap yang jelas kepada umat selepasnya supaya tidak tergoda dengan pendekatan-pendekatan kepuakan atau kekelompokan.
Rumusan yang silap
Menyamakan Melayu dengan Islam dan sebaliknya adalah kezaliman kepada bukan Islam kerana ia menggambarkan hak eksklusif bangsa tertentu. Khusus di Malaysia ia telah melahirkan satu tanggapan yang silap bahawa jika memeluk Islam kita mesti menjadi Melayu.
Orang Cina tidak boleh menjadi Melayu kerana bangsa akan kekal dalam diri masing-masing tetapi Islam adalah agama yang dianuti, ia berpotensi tidak dianuti lagi. Buktinya betapa ramai orang Melayu yang mahu mengistyharkan dirinya keluar agama, apakah dia akan tetap menjadi Islam walaupun sudah tidak memeluk agama Islam? Jawapannya ialah ia tetap Melayu walaupun bukan Islam. Jadi di mana lojiknya Islam disamakan dengan Melayu?
Begitulah sebaliknya, jikalau seseorang memeluk Islam dan dia berbangsa Cina apakah dengan itu dia menjadi Melayu? Jawapannya ialah ia menjadi Muslim yang berbangsa Cina, jadi dimana lojiknya Melayu itu Islam?
Rumusan formula ini melahirkan kesilapan demi kesilapan dan kerananya kita mendapat natijah yang silap dalam memahami percaturan politik di Malaysia. Formula ini perlu dihentikan segera kerana ia akan menjejaskan peluang perjuangan Islam untuk menerangkan betapa luasnya Islam yang berteraskan Karamah Insan daripada Asabiyah Perkauman yang sempit dan opportunis.
Belajar dari sejarah
Sejarah Islam muat dengan pengajaran bahawa bangsa bukan agama dan agama bukan bangsa. Arab contohnya adalah bangsa yang dibangkitkan daripada mereka Nabi yang membawa Islam. Bangsa Arab menerima Islam tetapi sejarah membuktikan bahawa apabila bangsa itu meninggalkan Islam atau tidak mengamalkannya lagi, kewibawaan membawa Islam hilang daripa bangsa itu. Sebagai membuktikan kenyataan ini, digantikan bangsa lain untuk membawa Islam dan dimuliakan bangsa itu.
Sejarah kaum Hui
Begitu juga dengan sejarah keturunan Hui dari bangsa Cina yang dikaitkan keturunan itu dengan Islam sehingga di China, nama Islam itu disebut sebagai agama kaum Hui (Hui Djow) malah bagi orang Cina di Malaysia nama parti Islam diterjemahkan sebagai Hui Djow Tang atau terjemahan literalnya Parti Agama Hui.
Ulamak Islam di China sejak tahun 90 an berasa tidak selesa dengan persamaan Islam dengan sesuatu kaum di China,cuba mengubah persepsi dengan memperkenalkan nama Islam dalam bentuknya yang asli dalam gaya sebutan Bahasa Mandrin iaitu Yee Si Lan Djow (agama Islam).
Ia bukan sebab persoalan bahasa semata-mata tetapi perkembangan sosial dan pembangunan telah membawa kaum Hui tidak lagi berpegang kepada Islam dengan sebaiknya malah ramai yang meninggalkan agama Islam.
Islam hanya kekal sebagai sebahagian dari sejarah untuk Kaum Hui dan kerana itu ulamak Islam di China berasa bimbang kaitan Islam dengan sesuatu kaum yang sudah hilang pegangan agamanya akan memburukkan nama agama itu sendiri. bukankah ini pengajaran bagi pengasas formula Islam itu Melayu, Melayu itu Islam?
Formula Ilahi
Yang benar ialah formula Ilahi yang menetapkan bahawa kayu pengukur hubungan bangsa dan agama diukur melalui keutamaan agama dan bukan bangsa. Agama lebih superior dari bangsa kerana apabila sesuatu kaum atau bangsa meninggalkan agama maka Allah akan menggantikan kaum lain pula untuk membawa Islam.
Formula ilahi ini juga mengajar kita bahawa kekal atau tidak Islam itu bukan terletak kepada prioriti bangsa itu, tetapi kekal atau tidak Islam itu dalam sesebuah bangsa ialah melalui amalan dan keyakinannya kepada agama. Formula ilahi ini mencabar segala formula ethno-centric yang cuba mewajarkan kaum dan bangsanya sebagai yang utama dan kemudian cuba meletakkan Islam di bawah kewajaran itu.
Jalan ke hadapan
Tiada berpusing balik, jalannya jelas, politik perkauman harus berakhir manakala kaum itu perlu mengikuti arus fitrah yang mengajak kepada keadilan sosial, kebajikan dan kepimpinan yang berpaksikan moral.
Tidak akan bangkit sesuatu perjuangan yang hanya mementingkan satu kaum kerana ia akan membawa kepada kezaliman terhadap kaum lain, yang ada ialah perjuangan kemanusiaan dan memuliakan nilai-nilai kepentingan sejagat.
Lagipun, Melayu tak perlu bimbang secara berperlembagaan kerana haknya telahpun termaktub, apa isunya? Hanya pengamal politik perkauman sahaja yang mengetahui. Janganlah menggadai isu Melayu untuk kepentingan sempit, fikirlah masadepan negara.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments