Opinion

Kau tetap di hati ku

26 OKT — Aku merindui mu

Tiada ungkapan yang lebih baik untuk diucapkan kepada sesuatu yang kita anggap bernilai melainkan rindu untuk bertemu. Rindu adalah perasaan hanya kepada yang merasainya, tiada rindu pada seseorang yang tiada merindui, ia hanya bertepuk sebelah tangan. Apatah lagi jika jarak semakin dekat ia menjadikan rasa rindu semakin membuak, hanya lambaian tangan dengan jeritan batin memahami bahasa rindu ini. Rindu saya kepada bumi Palestine dan mereka yang berjuang kerana mahukan kebebasan adalah rindu sejati walaupun banyak rindu yang datang dalam  hidup saya.

Jatuh hati

Walaupun saya mengenali Palestine dan pejuangnya namun kasih kepada Palestine menambah dengan kenalan saya terhadap Palestine. Persahabatan saya dengan pelajar Palestine di Mesir semasa menuntut mengeratkan lagi penghayatan saya terhadap perjuangan Palestine. Mendengar kisah mereka menjadi pelarian kerana dihalau oleh penjajahan gila Zionist Israel membuatkan perasaan saya semakin kasih kepada mereka. Paling hampir pertemuan saya dengan bumi Palestine ialah di sempadan Rafah Mesir untuk masuk ke Gazza tahun 2009. Malangnya kami disekat masuk untuk menyampaikan bantuan. Kami terpaksa ke Lebanon dan Syria untuk menyampaikan bantuan. Di Lebanon kami dapat berjumpa dengan kepimpinan Hamas untuk menyerahkan bantuan. Saya jatuh hati dengan pejuang-pejuang Hamas melihatkan kesungguhan mereka, wajah mereka membayangkan kecekalan dan di sebalik senyuman manis dan jambang yang dicukur rapi ada kegerunan tercampak di hati-hati musuh mereka.

Pencetus semangat

Palestine mencetuskan ruh kebangkitan pada jiwa yang longlai di saat kita rebah di pangukan dunia dan keseronokkannya. Penderitaan Palestine menyentak lena panjang umat Islam lalu dikejutkan dengan jeritan dan tangisan rintihan isteri yang kehilangan suami dan anak yang merindui ayah dan ibunya. Palestine menjadi tajuk kebangkitan rasa harga diri dan maruah yang dirobek, menuntut maruah dan harga diri dengan menebus nyawa adalah dendangan irama lagu hasil sentuhan semangat Palestine. Iramanya menyentuh jiwa lalu terasa mahu bangkit dan menyalahkan kelemahan kita, itu satu muhasabah yang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana motivator terhebat sekalipun.

Demi Palestine kita mendengar Al Aqsa dan dengungan kata semangat bebaskan Al Aqsa berkemundang di langit seiringan dengan azan yang tidak berhenti-berhenti di zon angkasa. Demi Palestine kita mendengar erti menjadi syahid untuk maruah dan harga diri, siapa sahaja yang berada dalam keadaan maruah diinjak pasti Palestine menjadi sumber kebangkitannya. Tiada mana-mana perjuangan di zaman ini yang tidak menjadikan Palestine sebagai modelnya kerana konsisten seruannya adalah paling lama dan mendapat tempat dalam senarai agenda krisis terpenting di dunia. Kalau dulu nama Arafat, kini Syeikh Ahmad Yassin, Aziz al Rantisi dan Khalid Mesy'al menjadi dendangan pejuang seluruh dunia. Kalau dulu PLO tapi kini orang berbicara tentang Hamas dan keberaniannya, itulah silsilah perjuangan yang hebat ini.

Dekat tapi jauh

21 Oktober saya dan rombongan Zakat Pulau Pinang dan Cakna Palestine dari Kelantan mengorak langkah kami beribu batu untuk pijak di bumi Ghazzah, Palestine. Umat Islam mewakilkan kami untuk menyampaikan rasa takzim kami dengan sedikit bantuan kepada mangsa perang di Ghazzah. Rindu saya akan terasa terubat dengan perjalanan ini yang sudah terpendam lama.

Namun Allah menguji kami kerana isu keselamatan, kami dilarang masuk sebab tiada kelulusan keselamatan yang begitu ketat prosedurnya. Apatah lagi beberapa hari sebelum itu, rombongan haji Palestine diserang hendap yang menyebabkan prosedur keselamatan menjadi semakin ketat dan rumi. Di Kaherah kami merancang dan meminta nasihat Kedutaan Malaysia yang berbaik hati membantu kami bagaimana cita-cita perjalanan kami boleh tercapai walaupun agak sukar dari gaya percakapannya.

Walaupun demikian, rindu kami ke bumi Palestine adalah semangat perancangan kami. Hari ini kami akan bertolak setelah terkandas satu hari di Kaherah. Doakan supaya kami selamat sampai membawa salam rakyat Malaysia di bumi Ghazzah dan lebih penting adalah buat saya mengubat rindu biarlah walau seminit kami memijakkan kaki di bumi jihad ini. Kami masih merancang walaupun Ghazzah dekat tapi masih jauh tetapi ketahuilah ianya dekat di hati kita semua. Viva Palestine!

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments