Opinion

Ke mana PAS selepas muktamar?

25 NOV — Survival PAS

Soalan yang diajukan oleh para penganalisis sejurus selesai Muktamar ialah “ke mana Pas lepas Muktamar?’’ Bagi para analisis, soalan ini menuntut jawapan bagaimana Pas dapat meletakkan dirinya dalam lanskap politik pasca PRU ke 13 yang semakin hampir. Petunjuk penting ialah bagaimana Pas dapat menguasai kerusi yang dipertandingkan kerana itu akan mengimbas sokongan orang ramai kepadanya dan sekaligus menentukan nasib dan potensi kewujudannya di persada politik tanahair.

Akar umbi PAS

Muktamar bagi pengamat politik adalah sumber penting bagi menilai arah tuju parti melalui ucapan para perwakilan yang membentuk satu mesej atau desakan mewakili hasrat akar umbi parti. Begitu juga dengan kepelbagaian pandangan dari perwakilan, ianya boleh ditafsir sebagai simpang siur pemikiran yang berlegar dalam parti membentuk dinamika sesebuah organisasi politik. Akar umbi penting bagi parti yang berasaskan ideologi seperti Pas kerana mereka adalah pendokong setia yang menggerakkan aktiviti parti. Pemimpin akan terus terdesak untuk memenuhi kehendak akarumbi bagi menggambarkan kesetiaan kepimpinan kepada dasar dan perjuangan parti. Dari aspek ini penganalisa boleh melihat hubungan pemimpin dan akar umbi yang diikat dengan ideologi parti yang begitu mendasar sifatnya. Dalam hal ini tidak diragui oleh sesiapa pun bahawa PAS masih mendahului dari sudut akar umbi yang setia pada kepimpinannya selagimana mereka masih setia dengan perjuangan Islam.

Konservatif dan reformis

Mana-mana parti politik akan terdedah kepada faktor tarik dan tolak antara menjadi kelompok konservatif atau reformis dalam parti. Antara kedua kelompok itu yang paling hangit akan menjadi Radikal dalam mempertahankan dasar dan pada suatu hujung pula akan menjadi Liberal dalam menafsirkan keperluan semasa parti. Pertembungan kelompok ini akan terserlah melalui hujahan perwakilan mempertahankan dasar-dasar parti dalam melaksanakan keperluan strateginya. Apa yang dianggap Liberal atau Radikal terpulang kepada bagaimana kepimpinan PAS menguruskan dan menentukan di atas garisan apakah para perwakilan perlu berada. Ia tidak akan berlaku tanpa penetapan tegas kepimpinan di manakah peringkat PAS pada tahap ini dari sudut keupayaan organisasinya dan kemampuannya untuk mencapai strategi politiknya.

Suasana politik negara

Tidak dapat dinafikan parti politik berusaha untuk mendapatkan kuasa dan untuk tujuan tersebut mereka terpaksa bersaing melalui proses demokrasi berpilihanraya. Di Malaysia persaingan merebut kuasa politik banyak bergantung kepada strategi berpakat dengan parti-parti lain yang di mana pola perkauman membentuk karakteristik penting politk negara. Pas tidak dapat lari dari keperluan strategi ini lantas pendekatan politik pakatannya terus menjadi perbahasan utama para perwakilan.Di sini juga perbahasan menarik mendedahkan kebimbangan perwakilan kepada kepimpinan parti antara memenuhi kehendak strategi Pakatan dan mengekalkan dasar parti. Perwakilan bimbang dalam keghairahan PAS bersama rakan-rakan strategiknya ia terpaksa tunduk kepada kehendak dasar Pakatan lalu mencairkan pegangannya selama ini khususnya tentang Hudud, Negara Islam dll. Muktamar baru-baru ini kelihatan jelas meluahkan kebimbangan ini dan selagi kefahaman tentang  konsep kenegeraan dan perundangan tidak digarap dengan baik oleh kepimpinan PAS selagi itu polemik negara Islam dan Hudud akan berada pada menu hidangan para perwakilan semasa dan selepas muktamar.

Negara Islam dan hudud

Penafsiran kepada konsep Negara Islam dan Hudud terserlah dalam ungkapan perwakilan antara golongan tekstualist dan kontekstualist. Jurang ini nampak meluas dengan penafsiran tekstualist menguasai muktamar. Penafsiran tekstualist adalah fahaman literal kepada ayat-ayat  Al Quran tanpa meraikan kondisi dan konteks, manakala fahaman kontekstual cuba memahami teks melalui kondisi semasa dan meraikan persoalan applikasi agar perintah Al-Quran tidak menjadi fitnah. Sebagai parti Islam, PAS tidak dapat lari dari menterjemahkan teks Al-Quran dalam bentuk manifesto politiknya untuk meyakini orang ramai. Dalam suasana inilah persoalan Hudud dan Negara Islam diberi sentuhan-sentuhan fahaman yang berbagai. Adalah penting untuk diberi perhatian kepada gaya berfikir ini kerana ia akan membentuk persepsi kepada para pengundi yang mempunyai berbagai kecenderungan sokongannya. Apa yang ironinya ialah, semangat strategik PAS dalam PR ialah berorientasikan kecenderungan kontekstualist manakala semangat akar umbi jelas cenderung kepada tekstualist dalam penafsiran ideologi Islamnya. Kedua-dua jurang ini menuntut kepimpinan PAS melangganinya secara tegas dan berhemah kerana jika tidak ia akan terus menimbulkan berbagai kekeliruan kepada para pengundi yang merupakan aset terpenting PAS menjelang PRU ke 13 nanti.

Keutamaan dipersoalkan

Kehangatan perbahasan dalam Muktamar turut mempertikaikan persoalan keutamaan yang perlu diberi fokus oleh parti. Persoalan keutamaan timbul dalam memahami suasana kompleks yang terpaksa dihadapi oleh PAS dalam mencapai strategi roadmap parti ke Putrajaya. PAS terpaksa berhadapan dengan faktor pengundi yang berbagai segmen dan kecenderungan. Mengadaptasi kecenderungan pengundi dengan tidak menggadaikan prinsip parti adalah isu yang menggarisbawah perbahasan dalam soal keutamaan parti. Contohnya, apakah soal negara Islam yang perlu ditonjolkan ataukah manifesto good governance yang ada dalam Buku Jingga yang perlu ditekankan. Contoh lagi, apakah perbezaan pandangan antara parti PR yang perlu dibahas ataukah menumpukan kepada kepincangan Umno dan BN? begitu juga dalam persoalan dasar PR, apakah menumpukan soal perjanjian bersama yang perlu diperkukohkan ataukah berbincang tentang Hudud dan perlaksanannya yang perlu diutamakan? Sebenarnya perbahasan isu keutamaan adalah mesej kebimbangan perwakilan PAS antara risiko hilang undi Melayu dan mengekalkan undi bukan Melayu.

Kepimpinan ulamak

Kepimpinan Ulamak dilihat sebagai peneraju utama kepada kejayaan yang dikecapi hari ini. Perwakilan turut menegaskan sokongan padu supaya gagasan itu berterusan. Seolah-olah ada pertikaian tentang kepimpinan ulamak, seluruh muktamar secara konsensus mempertahankan kesinambungan kepimpinan ulamak. Bagi para penganalisis gagasan kepimpinan ulamak menjadi sebahagian daripada kayu pengukur kepada potensi PAS untuk menjayakan misinya ke Putrajaya bersama rakan-rakannya.  Sejak tahun 1982, kepimpinan ulamak adalah cetusan daripada proses transformasi PAS yang berusaha keluar dari krisis semasa kepimpinan Datok Asri Hj Muda dan nama kepimpinan ulamak adalah kerana wujudnya satu badan tertinggi parti yang dianggotai keahliannya oleh para ulamak yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulamak. Gagasan itu penting bagi membawa parti ke tahap baru dan memulihkan parti dari perpecahan akibat krisis yang melanda parti waktu itu. Ia bukan sahaja transformasi tetapi berlaku proses pembudayaan organisasi sehingga ia menjadi sebati dengan kejayaan yang ada hari ini. Kepimpinan ulamak sifatnya adalah organisasi dan kritikannya juga bersifat organisasi dan bukan sesuatu yang bersifat kedudukan. Salah faham berlaku ialah apabila kritikan kepada kepimpinan ulamak dianggap mempertikaikan keilmuan dan kedudukan seorang yang bergelar ulamak dan tanpa disedari wujud ruang antara yang bergelar ulamak dan yang tidak ulamak. Kritikan juga berlaku kepada aspek pengorganisasian yang kemudiannya disalahtafsir sebagai pertikaian kepada satu gagasan besar parti yang telah membawa kejayaan hari ini. Apa pun keputusan yang dilahirkan secara konsensus untuk mempertahankan keberlangsungan kepimpinan ulamak pasti akan memberi impak kepada tercapai atau tidaknya hasrat ke Putrajaya nanti.

Sampaikah hajat PAS?

Sebelum ini PAS cuma membawa slogan menawan beberapa negeri sahaja seperti Kelantan, Terenganu dan Kedah tetapi kini PAS seolah-olah bersedia untuk berada pada tahap penguasaan nasional. Ia tidak mungkin melahirkan hasrat itu tanpa kekuatan strategi pakatan politik yang dimetraikan dengan DAP dan PKR. Lagipun suasana dan mood rakyat untuk berubah adalah tinggi sekaligus membuka ruang kepada PAS berada dalam proses ini. Persoalan samada hajat PAS untuk ke Putrajaya akan tercapai atau tidak terpulang kepada aksi imbangan yang perlu dibuat oleh PAS antara tuntutan perwakilan yang mahukan ketegasan dasar-dasar Islam dilaksanakan dan keperluan strategi Pakatan yang lebih pragmatik dan akomodatif. Semua itu adalah rumusan kepada perbahasan di dalam dewan PUTIK tempoh hari. Walaupun artikel ini tidak menjawab secara tepat ke mana PAS selepas Muktamar tetapi sekurang-kurangnya artikel ini dapat membantu memahami persimpangan sukar yang sedang dilalui oleh PAS. Betapa sukarnya usaha PAS menjadi salah satu parti yang akan memerintah di peringkat nasional kelak, namun tidak mustahil bagi PAS mencapainya bersama kemunculan politik baru yang fajarnya sudahpun mula menyinari negara Malaysia.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments