Opinion

Kebebasan dan tanggungjawab moral

28 MAC — Kebebasan bukanlah satu perkataan yang mudah difahami kerana berbagai tanggapan dan definisi secara operasional dirungkaikan. Daripada perkataan yang menggambarkan kenikmatan sehinggalah kepada perkataan yang menggambarkan sebab kepada huru-hara dan ketidakstabilan, KEBEBASAN adalah satu perkataan yang hari ini sukar untuk dicari dalam bentuknya yang sempurna. Walau apa pun yang ditanggap terhadap makna kebebasan, yang pasti ia tetap menjadi satu idealism yang senantiasa cuba dicapai dan dikecapi dari sudut kemuliaan yang terkandung di dalam perkataan tersebut.  Persoalannya adakah kebebasan wujud secara mutlak atau bersyarat?

Falsafah Kebebasan

Kebebasan sebenarnya dibentuk kefahamannya dari premis sarwajagat seseorang. Bagi seorang Muslim, pandangannya terhadap erti kebebasan bertitiktolak dari doktrin teologinya yang berasaskan kepada pendefinisian Maha Pencipta dan hubungannya dengan makhluk. Dalam Islam tidak ada kebebasan yang mutlak kerana segala sesuatu kuasa yang mutlak itu hanya ada pada Allah dan kebebasan itu tertakluk kepada apa yang Allah gariskan dalam keperluan panduan hidup manusia di dunia yang fana ini. Sebab itu asas kepada perdebatan tentang kebebasan sebenarnya berligar di sekitar premis sarwajagat seseorang terhadap peranan Tuhan dalam hidup manusia.

Bagi mereka yang mengaggap peranan Tuhan sudah berakhir dalam hidup manusia, sudah tentu menolak segala sesuatu yang membicarakan kuasa mutlak Tuhan, apatah lagi kuasa yang mempengaruhi perjalanan hidupnya di dunia. Ada pula yang tidak menolak peranan Tuhan tetapi cuba menyisihkannya dan meminggirkannya dalam sudut-sudut tertentu yang pada istilah awam, tersudut pada aspek kerohanian semata-mata dan dalam kehidupan dunia manusia bebas melakukan sesuatu tanpa kawalan dari Tuhan.

Dari premis sarwajagat ini hubungan dengan Tuhan  terbentuk dan segala perlakuan manusia yang dianggap bermoral atau tidak diwajarkan dari sudut premis masing-masing sehingga terbentuklah mazhab-mazhab penentuan moral  yang terbahagi kepada perbahasan “siapa yang menentukan  baik dan buruknya sesuatu perbuatan itu?”  “dari mana tercetusnya tanggungjawab yang dikatakan perbuatan bermoral” dan yang menyentuh soal kebebasan ialah persoalan “perlukah moral dikuatkuasakan?” perbahasan ini panjang dan tidak berkesudahan sehingga terlabel kelompok yang berbahas dan berdebat kepada kelompok “liberal”, “konservatif” dan” ortodoks”, walau apa pun ciri-ciri yang cuba digambarkan pada kelompok masing-masing, perbahasan senantiasa hangat dan penuh dengan ide-ide yang senantiasa menacabar status-quo.

Kebebasan Bertanggungjawab

Kalaupun ada satu deskriptif yang menyebut erti kebebasan, bertentangan dengan kebebasan mutlak ialah ‘kebebasan bertanggungjawab’  kerana dengan kata sifat ini, makna kebebasan terpelihara dalam bentuknya yang positif. Selalunya perkataan ini digunakan untuk menggambarkan etika kebebasan supaya ia tidak disalahertikan dan terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi pihak tertentu yang mewajarkan ketidaktentuan atas nama kebebasan.

Kepertanggungjawaban itu kembali kepada kepada dua premis iaitu dalaman dan luaran. Dalaman bererti seseorang yang mendakwa makna kebebesan mestilah berada pada tahap kesedaran terhadap makna kebebasan yang menjamin kebaikan untuk kelompok yang lebih besar dan bukan hanya untuk dirinya. Luaran pula bermakna parameter perundangan, suasana dan budaya masyarakat yang mana makna kebebesan itu beroperasi apabila ada implikasi perundangan, adat resam dan sesuatu nilai yang dipegang. Dua premis ini mentakrifkan makna tanggungjawab apabila membicarakan persoalan kebebasan dan emansipasinya.

Polis Moral  

In satu lagi istilah yang telah menimbulkan berbagai kontraversi khususnya kepada tindakan-tindakan penguatkuasaan institusi agama ke atas perlakuan-perlakuan yang dianggap tidak bermoral yang diabsahkan dengan kuasa undang-undang. Pihak yang menentang penguatkuasaan ini mengatakan hujahnya dengan persaoalan ha individu yang dianggap telah dicerobohi oleh penguatkuasa agama ini. Bagi pihak penguatkuasa, mereka mendakwa tindakan mereka adalah berasaskan undang-undang dan undang-undang perlu dihormati dan caranya ialah dengan penguatkuasaan. Persoalan dan perdebatan ini terus menjadi panas dengan satu persoalan yang lebih penting diajukan oleh golomngan yang anti polis moral: “perlukah kita undang-undang yang bercanggah dengan hak individu untuk melakukan sesuatu dikongkong oleh pengawalan dan pengawasan?” Bukankah tanggungjawab moral itu tercetus dari dalam dan bukan kerana takut kepada polis yang mengawas dan mengawal perlakuan moral kita? Atas alasan ini, isu Polis Moral tidak dapat diterima khususnya atas alasan menceroboh hak individu  yang bagi sesetengah kelompok anti polis moral mewajarkan teks-teks Al Quran bagi menghujahkan bahawa Islam memelihara hak individu dan  tiada alasan untuk menceroboh hak ini hatta atas nama moral.

Di Mana Petunjuknya?

Perkara ini tidak semudah yang dijangkakan untuk mendapat jawapan yang meletakkan garis pemisah yang jelas kerana terlalu banyak kekaburan yang menyelubungi isu yang dibawa dalam artikel ini. Ia memerlukan ketekunan dalam memahami hubungkait masalah dengan suasana masyarakat, aspek perundangan, sosio-budaya dan politik. Paling utama ialah perincian secara rentas dan tuntas kefahaman teks-teks Al Quran dan Hadis yang berbicara secara langsung atau tidak langsung  persoalan moral. Ini memerlukan satu skil untuk memahami mesej yang hendak disampaikan dalam lipatan makna-makna tekstual ini. Kalau ditanya mana  petunjuknya , saya menyatakan, bermula kita bersikap terbuka dan mula berbicara tentang semua isu di atas tanpa rasa bersalah adalah petunjuk awalnya kepada jawapan yang dicari. Semoga bertemu petunjuknya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments