Arab Spring adalah antara peristiwa yang menguasai media antarabangsa sejak revolusi di Tunisia menggulingkan Zainal Abiden Ben Ali tercetus pada 17 Disember, 2010. Tunisia telah mencetuskan kebangkitan yang selama ini terpendam di seluruh dunia Arab.
Mubarak dan Gaddafi menanti dengan penuh debar kerana mereka merasakan sisa-sisa pemerintahan mereka semakin hampir. Kebimbangan mereka terbukti apabila pada 25 Januari 2011 kebangkitan revolusi rakyat menghumbankan Mubarak dan kemudian pada 15 Februari 2011 Gaddafi pula dikejar seperti tikus yang ketakutan.
Artikel kali ini cuba melihat pendakian arus Islam ke pesada kuasa dengan mengambil model An Nahdah di Tunisia sebagai rujukan.
Kekosongan dari kejatuhan diktator negara-negara ini membuka ruang kepada jalan demokrasi yang menjadi tema tuntutan rakyat. Proses demokrasi dengan permulaan pilihanraya telus dan adil memberi ruang kepada Islamis untuk berkuasa melalui parti politik yang terbentuk pasca-Arab Spring.
Perbahasan sama ada penguasaan Islamis mewakili hasrat rakyat melalui dasar-dasar yang diperkenalkan atau tidak menjadi polemik antara pesaing politik dari kelompok liberal dan golongan kiri, Kelompok Liberal masih terdorong dengan persepsi skeptikal terhadap komitmen golongan Islam yang berkuasa terhadap lunas dan proses demokrasi.
Isu negara Islam, perlaksanaan hudud dan hak asasi manusia serta hak wanita menjadi tema yang cuba menimbulkan keraguan terhadap komitmen politik Islam. Apa yang menarik ialah parti-parti Islam yang mengisi kekosongan ini di sebalik skeptisme, mendapat sokongan akar umbi yang kuat dan mereka meyakini kemampuan kelompok Islamis memimpin mereka sehinggakan adakalanya parti-parti Islam seperti An Nahdah (Tunisia) dan FJP (Freedom and Justice Party di Mesir) mendapati diri mereka berada dalam tekanan antara memenuhi kehendak pengundi yang mahukan penegasan Islam dalam dasar negara dan tuntutan golongan liberal yang mahukan kebebasan dari negara teokratik.
Perbahasannya sememangnya menarik kerana ia akan membawa persoalan yang lebih prinsip iaitu peranan agama dalam kerangka negara dan sejauh manakah kebebasan yang dituntut serta persoalan betulkah negara Islam adalah sebuah negara teokratik.
Rashid Ghanoushi adalah tokoh yang mula dikenali sejak tahun 80an lagi. Suasana sekular totok negara Tunisia yang mengongkong apa sahaja yang bernama Islam menjadikan pemikiran Rashid Ghanoshi terhadap demokrasi dan negara digarap dalam bentuk berhati-hati dan adaptif tanpa hilang prinsip Islam yang menjadi idealisme Rashid Ghanoshi.
Pemikirannya tentang Islam dan demokrasi, sekularisma, negara sivil dan kemodenan Barat cuba mencari keseimbangan bahawa Islam mempunyai falsafahnya dalam menangani permaslahan ini. Ghanoushi juga seorang yang praktikal dalam membentuk kerangka negara di mana resolusi penting yang dibuat pada tahun 1981 sebelumnya mewakili suara Islamis menegaskan bahawa, “Adopting democracy without discrimination or elimination of any party or trend including the communist party”.
Ghanousih melalui parti An Nahdah cuba membawa aspirasi kebebasan bersuara melalui demokrasi dan beliau yakin ianya tidak bercanggah dengan Islam. An Nahdah sebagai parti yang berkuasa berhati-hati dalam menegaskan konsep campur tangan negara dalam soal agama dengan berkata:
“No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahdah or anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture… the dynamic continues untill there is concensus about the opinion of religion on the issue… ”
Pengalaman Tunisia menarik kerana sikap berhati-hatinya terhadap nilai-nilai demokrasi di sebalik skeptisme yang menyelubungi kewujudannya di pesada kuasa. Walaupun Ghanoshi memimpin pemikiran politik Islam dalam kerangka demokrasi dan kenegaraan, dia tidak mudah meyakini golongan Salafi yang lebih literal penafsiran teksnya dan lebih tertutup konsep kenegaraannya.
Beliau juga berhadapan dengan ahli An Nahdah sendiri yang menganggap beliau terlalu “lembut” dengan dasar Islamnya. Namun salah seorang jawatankuasa eksekutif An Nahdah, Riadh Chaibi dalam mewajarkan sikap An Nahdah menyatakan bahawa ada tiga peringkat ideologi Islam yang dirujuk oleh An Nahdah sebagai keutamaannya.
Pertama; peringkat dogma dan perundangan (fiqh) sebagai idealisme An Nahdah. Kedua; peringkat penafsiran atau ta’wil kepada teks-teks muamalat yang tidak diputuskan dan peringkat ketiga ialah ruang luas dari pilihan-pilihan yang ada terhasil dari ijtihad yang dibuat dengan mengambil kira maslahah sebagai premisnya.
Bagi beliau inilah caranya bagaimana proses siyasah syari’yyah terbentuk tanpa An Nahdah menggadaikan prinsipnya. Kejelasan ini penting bagi An Nahdah guna untuk meyakinkan orang ramai komitmen mereka terhadap demokrasi dalam kerangka kenegaraan tanpa mereka perlu hilang prinisp Islam yang menjadi sumber ideologi politiknya.
An Nahdah tidak mungkin sampai kepada tahapnya hari ini tanpa ia melalui fasa-fasa yang mematangkan kewujudannya dalam arena politik dan seterusnya menjadi parti pemerintah hari ini.
Bermula dari ideologi Islam yang diangkat sebagai idea kepada pembumian perjuangannya dalam masyarakat Tunisia yang menuntut An Nahdah mendapat persetujuan kolektif realiti masyarakat pelbagai dan rencam adalah perjalanan jauh An Nahdah yang membawanya kepada tahapnya hari ini.
Ia tidak berlaku dengan mudah kerana An Nahdah terpaksa mencabar fahamannya selama ini dan kesanggupan ahlinya menerima penyegaran ini. Seorang lagi ahli jawatankuasa lujnah politik An Nahdah iaitu Ajmi Laourimi menegaskan sekarang bukan lagi ‘Mengislamisasikan Masyarakat’ tetapi ialah projek “Tunisification of the Islamist current” atau Mengakarumbikan arus Islamis kepada keperluan realiti Tunisia (MenTunisiakan Islamis).
Semua ini bukanlah untuk menghilangkan prinsip perjuangan Islamis tetapi adalah untuk membumikan prinsip Islam dengan keperluan nasional dengan konsensus yang disepakati oleh semua pihak.
Saya telah menamakan keperluan ini dalam dua buah buku saya iaitu Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS sebagai keperluan 'MENASIONALKAN PAS” guna untuk menyahut keperluan politik-Islam berada dalam konsensus yang diterima oleh semua pihak. Rujukannya ialah Perlembagaan Persekutuan dengan merujuk kepada asas yang membentuk konsensus tersebut.
Pengajaran seterusnya buat PAS ialah keseimbangan yang diperlukan antara prinsip dan fikrah dengan realiti dan kerangka masyarakat sivil yang asasnya ialah pendemokrasian ruang awam di mana keterangkuman semua pihak lebih utama dari kepentingan apa yang dikehendaki oleh parti, bahkan semua parti.
Semua pihak tidak kira apa asas fahamannya berhak mendapat ruang untuk suaranya didengari asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang negara. Begitu juga rekonsiliasi atau rapprochement mesti bersifat kondusif kepada dialog kepentingan nasional dan bukan melalui ancaman atau ugutan yang berupaya membawa polirisasi kepartian yang kronik.
Kemenangan melalui proses demokrasi bukanlah segala-segalanya, mengasaskan prinsip demokrasi dalam membentuk keperluan dasar negara setelah menang adalah cabaran utama bagi PAS. Bersediakah kita melibatkan semua pihak dan aliran dalam mengasaskan konsensus politik baru dan membina ruang demokrasi untuk semua?
Uniknya pengalaman An Nahdah ialah ia cuba menemukan konsensus nasional dengan idealisme Islam yang diperjuangkan melalui dasar keterbukaan yang diamalkan. Latar belakang perlembagaan Tunisia dalam artikel 1 yang mengatakan bahawa “Tunisia adalah negara yang bebas dan berdaulat. Bahasanya ialah Arab dan agamanya ialah Islam dan kerajaannya adalah Republik”.
Artikel 1 ini kekal hingga hari ini dan secara tidak langsung melahirkan perdebatan antara Syariah sebagai sumber undang-undang ataupun prinsip demokrasi dalam menggubal undang-undang sebagai sumber. Polemik sumber rujukan ini kekal menjadi perdebatan apabila arus politik-Islam mula membentuk pengaruhnya dengan kejatuhan para diktator yang selama ini menyekat kebangkitannya.
Mahukah para Islamis khususnya PAS di Malaysia mengambil pengajaran dari Tunisia dalam konteks parti Islam dan komitmen demokrasi? - 7 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments