Opinion

Kesinambungan perjuangan PAS

Hakikat

Perjuangan memakan masa yang lama, ia tidak dinamakan perjuangan tanpa perjalanan yang panjang dan sebuah pengorbanan yang mahal harganya. Perjalanan  PAS untuk kekal di persada perjuangan menyaksikan ramai pemimpin PAS yang datang dan pergi, tidak ketinggalan yang pergi 'meninggalkan' perjuangan atau yang istiqamah hingga di titik akhir nafasnya.

Patah tumbuh, hilang berganti, begitulah pewaris PAS meneruskan galas-ganti amanah menetapkan garis perjuangan supaya tetap di paksinya. PAS tidak pernah kemarau dengan pelapis yang sentiasa memenuhi ruang legar kepimpinan yang cukup untuk semua kerana setiap individu dalam parti dalam setiap posisinya ada peranan masing-masing, yang utama ialah mencurahkan kebaktian untuk parti. Walau apa pun yang diperkatakan orang tentang PAS dan sejarah panjangnya, mukadimah ini adalah hakikat yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pihak khususnya pejuang PAS.

Nama yang terukir

Walaupun dalam PAS senarai nama yang tidak diukir lebih ramai daripada yang diukir, pun demikian nama yang terukir bukan atas permintaanya tetapi di atas penghargaan dan amanah yang dipikulnya sebagai pengemudi bahtera perjuangan lantas diberikan penghormatan. Kepimpinan PAS terbentuk melalui daya juang yang tinggi dilatari suasana tekanan pesaingnya Umno yang selalunya memiliki kelebihan kelicikan dan kuasa. Keupayaan pimpinan PAS menongkah arus dalam suasana demokrasi yang terhimpit wajib mendapat satu tabik spring.

Tokoh-tokoh PAS boleh dibahagi kepada mereka yang memimpin pada zaman sebelum kepimpinan ulama dan selepas kepimpinan ulama. Kepimpinan ulama adalah kemunculan PAS pasca Datuk Asri yang memimpin PAS dari 1971-1982.  Sebelum beliau, Dr Burhanudin al Helmy membawa PAS ke pesada kerana namanya yang besar itu sehingga PAS berjaya menguasai Terengganu dan kemudian Kelantan, seterusnya melebarkan sayapnya ke utara dan tengah tanah air.

Kepimpinan ulama

Keluar daripada konflik bukanlah satu usaha yang mudah apabila Allah menguji bahtera perjuangan PAS dengan kocakan dalaman. Hikmahnya ialah Allah mengkehendaki PAS terus maju dan ini terbukti dengan gagasan baru kepimpinan PAS yang menggelarkan dirinya sebagai Kepimpinan Ulama. Tokoh pertama yang menggalas tanggungjawab ini sebagai Presiden ialah Yusof Rawa. Namanya tidak tertonjol pada awalnya dan dia yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Yusof Rawa setia dengan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat dari 1959. Namanya muncul untuk jawatan Timbalan Presiden pada 1981 dan semasa Datuk Asri meletakkan jawatan, Pak Yusof Rawa memangku dan kemudian diamanahkan sebagai Yang diPertua Pas Pusat tahun berikutnya. Gelaran itu kemudiannya ditukar kepada Presiden dan itulah yang diamanahkan kepadanya sehingga 1987. Pak Yusof Rawa turut mencatit sejarah dalam PAS apabila menjadi Mursyidul Am yang pertama pada 1987. Jawatan Mursyidul Am diwujudkan selaras dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama dalam perlembagaan baru parti. Jawatan tertinggi dalam PAS itu diamanahkan kepada Pak Yusof Rawa sehingga 1989 dan kemudiannya beliau meletakkan jawatan kerana keuzuran beliau untuk memimpin parti.

PAS bangkit semula

Kepimpinan Ulama menandai kesungguhan kepimpinan parti untuk membentuk platform baru kepada parti. Apabila idea kepimpinan ulama diketengahkan pada awal 80-an, permasalahan umat Islam pada waktu itu menjadi fenomena dunia. Kejatuhan Soviet dan kekalahan yang memalukan kuasa komunis terbesar itu di tangan para Mujahidin di Afghanistan mengisyaratkan kebangkitan kuasa Islam yang tidak boleh dipandang ringan. PAS mendefinisikan dirinya semula dalam suasana tersebut dan kerana itu kelantangan suaranya kepada jatidiri umat pada pesada alamiyah turut menyuntik semangat kebangkitan Islam di Malaysia.

PAS juga harus membina kekuatan dari arah dalam dengan membentuk program perkaderannya yang kini dikenali sebagai Tarbiyah. Ahli disuntik dengan kekuatan dalaman dan mereka mesti melahirkan ciri-ciri muslim yang memilik shakhsiah Islamiyah lewat usrah, tamrin, mukhayaam dan ceramah. Pada waktu yang sama PAS perlu mendapat semula sokongan rakyat setelah jatuh Kelantan yang merupakan kubu tradisinya. Ini bermakna PAS perlu mengekalkan pengundi tegarnya dan sambil menggamit pengundi baru melalui sikap politik yang diambilnya menentang Barisan Nasional (BN) melalui pendedahan salah laku pentadbiran kerajaan diselitkan dengan ketegasannya terhadap ideal Islam dalam pentadbiran.

Semasa PAS mendefinasikan semula kewujudannya, Pak Yusof Rawa menggalas tugas selaku arkiteknya, malah seorang jurnalis terkenal M J Pilayy menggelar Pak Yusof Rawa sebagai 'arkitek' yang bertanggungjawab membina semula PAS dalam era kepimpinan ulama. Pak Yusof Rawa banyak tertumpu membina kekuatan baru PAS daripada kalangan profesional muda yang baru kembali ke tanah air dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan universiti tempatan manakala figuranya yang berlatarbelakangkan pengajian Islam amat disenangi oleh para ustaz yang mendapat pendidikan formal Islam dari dalam dan luar negara khususnya Al-Azhar.

Mempromosi PAS

Tidak mudah kerja perhubungan awam dilakukan dalam suasana politik baru yang dilalui oleh PAS dalam era kebangkitannya. Tembok penghalang utama ialah tanggapan sinikal yang tersemat dalam persepsi masyarakat khususnya bukan Melayu yang menganggap PAS sebagai untuk orang Melayu sahaja. Kesedaran yang tinggi di kalangan kepimpinan waktu itu terhadap fahaman bahawa Islam sebagai agama merahmati semua kaum mendorong kepimpinan PAS waktu itu menggapai sokongan masyarakat cina khususnya melalui dialog dan ceramah untuk kelompok bukan melayu. Kesungguhan usaha ini memungkinkan terbentuknya CCC atau Chinese Consultative Council, malah calon-calon bukan melayu turut bertanding atas tiket PAS dalam persefahaman lewat CCC.

Sememangnya dilema antara mengekalkan pengundi Melayu sebagai asas dan mempromosi PAS kepada segmen pengundi bukan Melayu adalah umpama melakukan aksi berjalan atas tali yang halus. Keseimbangan mengekalkan momentum untuk berjalan adalah keunikan kepimpinan dalam suasana Malaysia yang multi kaum dan kepimpinan ulamak yang awal telah mengambil risiko tersebut. Namun hasilnya berbaloi dalam bentuk jangka panjang apabila suasana politik hari ini menyediakan platform yang selesa untuk menerima kelompok bukan Melayu sebagai sebahagian dari identiti PAS dengan terasasnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Kepimpinan di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini tidak mungkin melakarkan sejarah penting ini jika tidak diterokai lebih awal lagi oleh dua pemimpin awal kepimpinan ulamak iaitu Pak Yusof Rawa dan Datok Fadzil Mohd Nor.

PAS hari ini dan seterusnya

Generasi PAS hari ini tidak mungkin menuai hasil tanpa penat jerih yang dirintis oleh generasi awal PAS.  Daripada Ahmad Fuad kepada Dr Abbas Alias kemudian dikemudi oleh Dr Burhanudin dan diambil alih oleh Datuk Asri Muda adalah bintang gemerlapan PAS. Pada waktu orang melihat PAS akan berakhir setelah era Datuk Asri, muncul pula Yusof Rawa lalu Datuk Fadzil Nor memikul amanah dan kini PAS terus kukuh di bawak kepimpinan Abdul Hadi. Pada setiap era gandingan mantap pasukan kepimpinan sentiasa memastikan PAS terus mara ke hadapan. 

Hari ini PAS menyambut tahun ke-59 Muktamar Agung dalam suasana yang semakin mencabar, seperti semalam, ia berjaya melalui ombak dan badai laut politik yang bergelora dan seperti kata-kata semalam juga oleh pemimpin kita yang bijaksana bahawa pemimpin datang dan pergi namun perjuangan akan tetap diteruskan dengan kepimpinan yang akan melakar masa depan parti yang gilang gemilang, di atas nama Islam, insyaalah parti ini akan terus mekar mengharum membimbing umat ke medan siayasah. Betapa generasi hari ini harus mengambil pesanan dari lagu PAS yang dikarang oleh Datuk Asri:  "Bergeraklah ke medan jasa, kalah menang bukan alasannya, sucikanlah niat di hati, hingga nyata benarnya janji Rabbi....” – 30 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments