8 MAC — Parti politik mempunyai tiga tugas utama. Pertama ia menjalankan tugas menyampaikan ideologi yang diperjuangkan, kedua ia menguruskan urusan organisasinya dan ketiga ia memainkan peranan sebagai parti yang memerintah jika ia menang sebagai kerajaan. Oleh kerana matlamat parti politik adalah mendapat kuasa, pemikiran bahawa ideologi partinya akan diterapkan dalam urusan pemerintahan adalah sesuatu yang praktikal.
Sebab itu lahirnya satu lagi konsep dalam membicarakan politik berparti iaitu satu ide yang dinamakan sebagai “parti yang menguasai kerajaan”. Perlaksanaan konsep ini ditentukan dengan bilangan kerusi yang dikuasai oleh parti tertentu yang berlaku melalui konsep berkongsi kuasa yang terbentuk antara parti-parti yang bersepakat.
Dalam konteks Malaysia kedudukan parti politik adalah kepelbagaian apabila wujudnya berbagai aliran parti politik yang bersaing untuk mendapat kuasa pemerintahan. Pembangkang akan menggunakan strategi kesepakatan sesama mereka untuk memastikan penguasaan mereka. Setelah PRU yang ke 12 baru ini pembangkang telah membentuk Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti pembangkang terbesar iaitu PAS, DAP dan PKR.
Secara praktikalnya parti yang terbanyak antara ketiga parti ini akan akan menentukan dasar-dasar pentadbiran dalam negeri yang dikuasainya. Ini jelas dapat dilihat di Kelantan dan Kedah di mana PAS yang dominon menentukan dasar tadbir kerajaan negeri. Begitu juga di Pulau Pinang di mana DAP yang mempunyai pengaruh besar. Dalam hal ini tidak dapat dinafikan bahawa konsep parti yang berkuasa melalui mekanisma yang ada adalah amalan politik kepartian hari ini di Malaysia.
Persoalannya ialah sejauhmana konsep ini dilaksanakan oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat? Dan apakah cabarannya? Sementara kita boleh bersetuju konsep ini diamalkan namun tahap perlaksanaannya adalah isu yang perlu dibahaskan. Tahap perlaksanaannya bergantung kepada beberapa faktor, antaranya ialah penghayatan kepada polisi yang diperjuangkan selama ini dan perlaksanaan semak-imbang dalaman parti.
Kepimpinan parti yang berkuasa mestilah menghayati retorik yang disebutnya dalam manifesto sebelum pilihanraya. Ia menjadi sukar apabila terpaksa berhadapan dengan kompleksnya sistem pentadbiran yang berakar umbi sebelumnya termasuklah budaya dan cara membuat keputusan. Pengambilalihan kerajaan oleh parti yang baru turut berhadapan dengan pengaruh-pengaruh parti sebelumnya melalui arahan dari sumber yang lain. Dalam hal ini keazaman politik serta penghayatan yang tinggi kepada cita-cita manifesto politik menjadi kekuatan yang mampu berhadapan dengan halangan ini.
Oleh kerana Malaysia mempunyai sistem pentadbiran yang unik antara kuasa federal dan negeri, usaha parti yang mengambilalih pemerintahan akan berhadapan dengan keunikan ini dan mereka mestilah menguasai selok-belok bagaimana sesuatu keputusan boleh dioperasikan dalam halangan-halangan yang ada.
Faktor semak-imbang parti juga adalah utama dalam melaksanakan konsep parti yang berkuasa. Hubungan parti dengan kepimpinan kerajaan adalah jelas kerana parti mempunyai kuasa yang sebenar dari sudut meletakkan calon-calonnya semasa pilihanraya. Jentera-jentera yang memenangkan calon-calon parti mengharapkan parti dirunding setelah menang dan berkuasa, jika mereka melihat hubungan parti dan kepimpinan kerajaan tidak dirujuk maka ia boleh menjadi ancaman kepada konsep parti yang berkuasa dan parti akan menggunakan kuasanya untuk menggagalkan urusan pentadbiran melalui protes dalam berbagai bentuk. Hubungan yang retak hanya akan memburukkan keadaan dan dalam keadaan tertentu tekanan dari parti boleh menimbulkan krisis kepimpinan seperti tanda-tanda tidak percaya kepada kepimpinan yang memerintah.
Satu lagi yang perlu diambil kira ialah keseragaman antara tekanan pengundi yang mungkin mengharapkan sesuatu yang berbeza dari kehendak parti. Ada juga trend yang memberi tekanan kepada parti supaya wakil-wakil rakyat menurut permintaan pengundi dan bukan parti. Ini berlaku kerana pola sokongan pengundi tidak banyak bergantung semata-mata kepada manifesto yang ditawarkan tetapi ada di kalangan pengundi yang mengundi kerana tidak suka kepada satu parti yang lain atau ia lebih bersifat sokongan peribadi.
Jadi, perlaksanaan konsep parti yang memerintah tidaklah semudah yang dijangkakan kerana ia berhadapan dengan berbagai cabaran. Kecualilah jika kita bersedia untuk mengamalkan konsep keterbukaan di mana kuasa parti boleh dikompromikan dengan kebebasan individu untuk menyokong atau tidak sesuatu cadangan dari partinya. Tetapi dengan melihat cara bagaimana parti-parti politik beroperasi dan bagaimana organisasi parti politik terbentuk serta budaya politik kepartian yang telah berakar umbi sekian lama di Malaysia, arah kepada sikap terbuka dalam konsep parti yang berkuasa masih terlalu jauh.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments