10 JUN — Makkah dan Madinah tidak dapat dipisahkan, jikalau Madinah adalah tempat berhijrah Nabi maka Makkah adalah tempat bermulanya dakwah. Kedua-duanya mempunya tabiat mukabumi yang berbeza dan sekaligus mempengaruhi tabiat penduduknya, Madinah terkenal dengan sifat ramah dan lembutnya kerana mukabuminya yang lebih subur dan dipenuhi dengan telaga-telaga yang menyejukkan mukabuminya. Makkah pula terdiri dari bukit-bukau batu yang kering kontang dan permukaanya yang berbukit menjadikan hidup penduduknya sukar. Hanya telaga zam-zam yang menghidupkan kota padang pasir ini dan demikianlah sejarah Nabi Ibrahim telah membuktikan kehebatan Makkah. Saya kini berada di lembah yang kering kontang ini seperti yang disebut dalam sejarah.
KAABAH ADALAH MAKKAH
Sejarah juga telah membuktikan Kaabah sebagai perhatian utama Makkah. Tanpa Kaabah tidaknada Makkah yang menjadi tumpuan. Ia adalah bangunan pertama atas mukabumi ini bagi menandakan pemusatan seluruh alam sebagai tanda kebesaran Allah. Ia tidak disembah tetapi sebagai pusat tanda supaya manusia tertumpu kepadanya untuk menyembah Allah, Pencipta Alam Semesta. Sejarah Kaabah adalah panjang merentasi semua kisah para Anbiya dari Adam, Ibrahim, Ismail dan akhirnya Muhammad s.a.w. Malah hikmah kedatangan Nabi yang dibangkitkan di Makkah adalah simbol penyatuan jalur para Anbiya ditemukan melalui Ibrahim a.s melalui Nabi Ismail dan Nabi Ishak menandai kesatuan Risalah Tauhid dari Ahlul Kitab sebelumnya. Saya terasa kagum berada di pusat penyatuan risalah para anbiya dan Kaabah berdiri megah menjadi saksi kepada sejarah agung ini.
MASJID DAN TANAH HARAM
Dengan semua penghayatan sejarah ini, Masjidil Haram telah meyimpulkannya dan justeru itu saat pandangan pertama kepad Kaabah akan pasti menyentuh kalbu siapa yang memandangnya. Ia kekal di situ berhadapan dengan cabaran zaman dan pertukaran masa dan sejak itu tidak ada saat ia tidak diagungkan dengan berjuta manusia bertawaf dan beriktikaf di dalamnya semenjak manusia mengenalinya. Walaupun dalam sesuatu zaman ia dicemari dengan berhala yang digantung di sekelilingya, Kaabah tetap dihormati malah tanah haram sekelilingya dipelihara dari pertumpahan darah yang boleh mencemarinya. Dengan itu Makkah mendapat nama tanah haram, iaitu haram bagi pengunjungnya menumpahkan darah manusia mahupun binatang. Di atas nama ini ia dianggap suci dan diagungkan kerana mengikuti perintah Allah supaya ia di sucikan untuk para pengunjung yang mempunyai niat suci menyembah Allah di dalamnya.
MAKKAH ERA KINI
Seseorang akan terbayang Makkah adalah bandar suci yang kekal dengan cara hidup lama dengan bangunan yang lama. Jawapannya adalah Makkah memiliki status bandar moden tetapi mengekalkan sejarahnya melalui pemeliharaan Masjidil Haram. Adalah mudah untuk seseorang menikmati gaya hidup modern di celah bandar suci ini. Jam terbesar dan tertinggi disaluti emas di hadapan pintu masuk King Abdul Aziz menjadi bukti kemewahan Makkah. Bangunan wakaf King Abdul Aziz adalah satu bangunan berbagai dari hotel, kompleks beli-belah dan gerai-gerai kecil ala bazar. Bangunan Safwah bersebelahannya juga hebat dengan berbagai keperluan modern untuk dinikmati oleh para pengunjung. Makanan dunia terdapat di mana-mana di Makkah, bolehlah dikatakan Makkah adalah adalah Bandaraya Antarabangsa terhebat di dunia. Tetapi tidak ada yang dapat dibandingkan dengan aura Kaabah dan bersolat di masjidil haram.
LABAIKALLAHUMMA LABAIKA
Berpakaian ihram serba putih tanpa sebarang alat yang berjahit sememangnya membuatkan kita tiada memiliki apa-apa, ia mengingatkan kita semasa kita dilahirkan hanya dibalut kain. Berihram sendiri telah mengeluarkan segala kesombongan kita selama ini dan kita lakukannya semua kerana Allah. Pada suhu yang mencecah 30'C hanya Allah sahaja tempat kita memohon perlindungan semasa menyempurnakan tugas umrah. Saya mengajar anak-anak saya talbiyah beberapa kali semasa van kami memasuki Makkah, sambil mata saya mencuri melihat bangunan jam besar yang boleh dilihat dari setiap sudut kita memasuki Makkah. Namun tumpuan utama ialah untuk melakukan ibadat umrah di mana kami akan bertawaf, bersaie setelah berihram di Zulhulaifah. Kami dipandu oleh mutawwif dari Patani bernama Ustaz Lotfi seoarang pelajar di sini. Semasa kami mendekati pintu besar King Abdul Aziz, saya sekali lagi mengingatkan anak-anak saya supaya benar-benar mengikhlaskan diri dengan penuh sifat kehambaan apabila memasuki Masjidil Haram. Sebaik sahaja Kaabah mula menunjukkan dirinya semua kami terpegun sambil berdoa supaya Allah memelihara Kaabah dan menambahkan padanya penghormatan dan kehebatan. Selesai urusan umrah kami kembali ke hotel keletihan sambil mengharapakan dapat menjalankan solat subuh berjemaah di masjid.
MEMBINA KEKUATAN
Saya amat memahami selama ini bahawa kekuatan hakiki ialah kekuatan dalaman yang memberikan bekalan untuk setiap manusia melalui perjalanan di dunia yang fana ini. Ujian terlalu besar, ombaknya ganas, perhentiannya entah di mana, jadi hanya keyakinan pada Allah dan kekuatan diri menjadi teman ketika semua manusia tidak akan memberikan apa -apa faedah untuk kita. Perjalanan umrah kali ini cukup bermakna untuk saya mencari erti kekuatan dan ketenangan jiwa. Semasa saya bersendirian di tempat saie bahagian Bukit Safa, saya merasai ketenangan itu, walaupun beribu manusia dengan suara zikir yang tinggi lalu lalang di hadapan saya, saya seolah berada sendirian,mengenangkan perjuangan Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar bersama anaknya Ismail yang masih bayi meronta-ronta dahaga dan kelaparan. Siti Hajar berlari-lari dari Safa ke bukit Marwa sekitar 1 km pergi balik mendapatkan pertolongan suaminya Ibrahim yang meninggalkannnya kerana perintah Allah. Namun kehendak Allah menentukan sejarah zam-zam bermula di sini apabila berbuak dari bawah tanah air zam-zam yang masih dinikmati hingga saat ini oleh berjuta kaum muslimin yang datang ke Makkah. Saya tidak mengendahkan hiruk pikuk orang ramai yang bersaie, waktu itu adalah waktu saya mengimbau dalam ketenangan waktu saya dan apabila saya sedar membuka mata, bibir saya spontan menyebut ALLAHU AKBAR, segalanya bermula di sini...
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments