Opinion

Masa depan PAS di tangan ahli PAS

Tajuk di atas mempunyai implikasinya tersendiri daripada segi sejauh mana ahli PAS melihat kelestarian parti Islam ini dapat terus mewarisi legasinya kepada generasi pelapis yang akhirnya akan memimpin PAS.

Selain itu persepsi awam turut memberi kesan sama ada PAS akan kekal relevan atau hanya menjadi parti yang dianggap kuat oleh ahlinya tetapi gagal menggamit sokongan massa dan gagal menjadi parti inspirasi nasional.

Timbal balik kesedaran tinggi ahli PAS dan kepimpinannya dan harapan rakyat mendambakan perubahan lanskap politik nasional negara menuntut satu pencerahan, penghuraian dan pencerakinan kepada sekadar naratif isu dan sikap minda yang terlalu simplistik. Bukankah Islam menuntut kita bersikap maju dan sentiasa meningkatkan pengamatan kita?

Nabi bersabda:”Barangsiapa yang harinya sama saja dia ditipu (oleh hari-hari yang berlalu) dan barangsiapa mengakhir harinya dengan kejahatan maka ia dicela, barangsiapa yang tiada penambahan maka ia sedang berkurangan dan barangsiapa yang berkurangan maka mati lebih baik untuknya, barang siapa yang rindukan syurga maka bergesalah ke arah kebaikan dan kebajikan.” (Hadis Marfu' oleh riwayat Dailami).

Pecah tembok Cina

PAS dan ahlinya harus sedar rakyat memberi perakuan terhadap kejayaan PAS dengan memberi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang tidak pernah dicapai PAS selama ini. PAS menerebus masuk ke Pantai Barat dan menang kerusi di daerah sana lantas berjaya membuktikan ia bukan sekadar parti kuat di Pantai Timur saja. 

Faktor berkemungkinan dalam penguasaan kerusinya selain kubunya di Pantai Timur kerana sokongan segmen bukan Melayu yang memecah tradisi selama ini. Laluan politik yang diberikan masyarakat bukan Islam khususnya pengundi Tiong Hua sepatutnya menjadi dorongan yang lebih kepada pimpinan PAS untuk mengukuhkan segmen ini  dan bukan mengecewakan mereka dengan sikap berdolak-dalik kita kepada komitmen PAS for All.

Ahli PAS harus sedar dan akur kejayaannya tidak akan ke mana hari ini jika laluan segmen bukan Melayu tidak memberi undi kepada calon PAS khususnya di Selangor. Sejauh manakah kesedaran ini diterjemahkan dalam bentuk kejujuran memperjuangkan hak untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan batasan agama dan memenuhi janji manifesto bersama Pakatan Rakyat (PR)?

Apakah hanya kerana segelintir pemimpin PAS yang gagal memahami realiti ini dibiarkan menghancur laluan sebesar ini dalam sejarah politik negara atas alasan yang rapuh? Surah Al Fath pada permulaannya menggambarkan laluan kemenangan dengan lafaznya “Inna Fatahna Laka Fathan Mubina”.

Bukankah pecah tembok segmen bukan Melayu yang terhalang selama ini adalah laluan kepada kemenangan yang dicari?

Sebagai parti bertanding PAS harus berhati-hati tidak mengecewakan kepercayaan awam terhadapnya. Pengundi hari ini mengundi atas keyakinannya kepada PAS dan manifesto yang kita janjikan dan ini lebih benar kepada pengundi di Pantai Barat yang tertarik dengan tawaran PR dan mengundi atas semangat PR. Baru setahun lebih berlalu keghairahan PR bertelagah di Selangor pastinya mengurangkan kepercayaan awam terhadapnya dan PAS terpalit sebagai antara pihak terlibat.

Tahaluf siyasi

Lonjakan besar  PAS hari ini berjaya merubah lanskap politik tanah air melalui pendekatan tahaluf siyasinya bersama DAP dan PKR. Adalah menjadi suatu perkara yang tidak dipertikaikan lagi untuk memimpin perubahan politik tanah air parti-parti politik mesti bergabung.

Menyedari hal ini, Umno membentuk BN dan demi mengekalkan status-quo kuasanya Umno melalui strategi sarafnya perlu memastikan parti yang menyainginya duduk berasingan. Dengan cara ini walaupun Umno dan Barisan Nasional (BN) berada pada posisi yang lemah, ia akan terus berkuasa kerana pesaingnya berpecah dan tidak menyatukan tenaga mereka untuk menumbangkan Umno/BN.

PR terbentuk melalui hakikat parti selain komponen BN mesti bersatu dan bergabung tenaga untuk membuat perubahan politik dan PAS bersedia untuk membekalkan tenaga yang diperlukan untuk tujuan tersebut dan terbukti ia berjaya menggugat status-quo kuasa Umno/BN.

Tidak ada siapa pernah terbayang Selangor jatuh ke tangan selain Umno dan lebih mengejutkan PAS berjaya meraih 15 kerusi lantas membentuk kerajaan bersama DAP (15) dan PKR (14). Ia menjadi model yang terbaik bagaimana gabungan tenaga PAS dengan parti lain selain Umno berjaya melakukan apa yang selama ini dianggap mustahil.

Dorongan untuk melebarkan model ini ke negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu , Perlis hatta Sabah dan Sarawak bukan lagi mimpi di siang hari tetapi sesuatu yang praktikal dan boleh dilaksanakan lantaran itu berupaya menjayakan perubahan kuasa dari Umno/BN ke PR.

PAS bersama dengan rakannya hanya perlu bersabar dan istiqamah dengan meminimakan langkah yang boleh menggagalkan gambaran besar ini dan perlu mengelak daripada terlibat dalam membincangkan perkara remeh-temeh dan bertukar serangan sesama mereka. Istiqamah untuk melihat hasil yang lebih besar adalah bentuk kesabaran pada tahapnya yang tinggi.

‘Oleh itu, maka serulah dan tetap teguhlah engkau menjalankan sebagaimana diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, sebaliknya katakanlah: "Aku beriman dengan segala kitab yang diturunkan oleh Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada pertengkaran antara kami dan kamu (kerana kebenaran jelas dan nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama pada hari akhirat dan kepadanya tempat kembali semuanya untuk dihakimi dan diberi balas.’ (As Syura: 15).

Memimpin lanskap baru

PAS juga perlu melihat peranannya yang besar dalam mengimbangi politik perkauman yang semakin menjadi-jadi di negara ini lewat politik Rahmatan yang didengungkan. Sebelum ini pada awal 1980-an PAS membawa obor 'Menggempur Fahaman Assabiyah (Perkauman Sempit)' dan ia berjaya dikembangkan sehingga membuka jalan kepada 'Pas For All' dan kemudian 'Rahmat Untuk Semua'.

Sebenarnya jalur perjalanan PAS yang panjang ini berada pada landasan yang betul dan tepat waktunya untuk membentuk politik masadepan negara ini yang didambakan semua kaum hari ini, iaitu politik merentasi semua kaum.

PAS tidak harus patah balik ke belakang dengan sikapnya yang seolah-olah terpengaruh dengan dakyah Umno memainkan sentimen Melayu/Islam yang pada hakikatnya adalah Asabiyah Kaumiyah (Perkauman sempit) yang PAS tentangi sejak berdekad.

Sememangnya kilauan permainan Melayu/Islam Umno boleh melemahkan langkah tegas yang diambil PAS untuk kebaikan politik baru yang sedang kuat muncul sekarang. Justeru itu PAS dan ahlinya harus menjangkau lebih jauh dari sekadar terheret dalam krisis Selangor yang merupakan jerangkap politik Umno dan melihat peranan nasionalnya membentuk lanskap tanah air yang terdesak kepada politik baru merentasi kaum di mana Umno gagal melakukannya. Nabi Muhammad pun pernah dikilaukan dengan penipuan kaumnya kononnya untuk berkrompomi dengan Nabi tetapi Allah menegaskan:

“Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau berpegang teguh kepada kebenaran, tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.” (Al Isra 74).

Pemimpin PAS

PAS tidak mungkin sampai ke tahap ini jika tidak kerana pemimpin yang mengemudi bahtera PAS. Sepanjang sejarah PAS, pendekatan strategik penggabungan dengan parti lain (Tahaluf Siyasi) akan menguji tahap kepimpinan orang nombor 1 PAS.

Zaman Tun Mohd Asri Muda mengemudi PAS sebagai anggota komponen BN dan ia membawa PAS ke persada kuasa pemerintahan kerajaan pusat. Namun kelicikan Umno menjadikan penggabungan ini untuk menimbulkan kekeruhan dalaman PAS berjaya apabila mereka campur tangan dalam urusan menteri besar Kelantan ketika itu.

erajaan Pusat memilih Datok Mohd Nasir sedangkan kerajaan negeri mahukan calonnya sendiri. Kerana enggan menurut kehendak kerajaan pusat, PAS ditendang keluar. Tun Mohd Asri Muda terus dipersalahkan dan dipertikaikan kepimpinannya oleh ahli sendiri sehingga menyebabkan pengakhiran karier politiknya dalam PAS.

Haji Yusof Rawa ambil alih dan turut mengadakan penggabungan dengan parti pembangkang yang lain termasuk CCC (Chinese Consultative Council). Beliau terpaksa menerima kritikan tetapi kali ini oleh pihak yang menentang pendekatan bersama CCC, malah beliau pernah meletakkan jawatan mempertahankan tanggungjawabnya terhadap CCC tetapi kemudian dipujuk semula. Yusof mempertahankan pendekatan Tahaluf walaupun mendapat tentangan ahli.

Datuk Fadzil Nor teruji dengan Semangat 46 oleh para skeptikal sehingga wujudnya Islah untuk menegaskan penolakan bersama Semangat 46, tetapi beliau mempertahankan Tahaluf ini. Beliau terus melaksanakan dasar Tahaluf dalam Barisan Alternatif (BA) namun kepimpinannya mengemudi Tahaluf Siayasi terhenti dengan pemergiannya.

Datok Seri Abdul Hadi Awang diberi peluang mengemudi Tahaluf dalam PR dan berjaya membawanya sejak 2009 hinggalah dalam PRU ke-13 malah berjaya membuktikan PAS adalah rakan yang kuat dan berpengaruh.

Namun hari ini tidak seperti sahabat kepimpinan beliau yang terdahulu, presiden PAS seolah-olah  dilihat tidak berupaya mempertahankan Tahaluf PR melalui kemelut di Selangor? Apakah sebabnya? Adakah kerana tekanan untuk keluar PR terlalu kuat? Ataukah presiden PAS terlalu lemah? Jawapan ini penting untuk membuat kayu piawaian masadepan PAS dan apakah kriteria kepimpinan masa depan untuk membawa lanskap baru politik.

Ujian kepimpinan akan berakhir kepada jawapan apakah mereka masih relevan untuk mengemudi lanskap baru atau tidak dan sehingga ahli membuat penilaian yang matang dan luas perkiraannya, mereka akan sentiasa diperhatikan.

Buatlah keputusan

Semua yang diperkatakan di atas adalah untuk ahli PAS dan kepimpinan di semua peringkat membuat keputusan penting. PAS berada pada persimpangan yang merumitkan antara mahu undur ke belakang atas apa juga alasan ataupun mahu mara terus ke depan.

PAS tidak boleh berfikir hanya untuk dirinya, dia perlu berfikir untuk kepentingan strategiknya dan harapan rakyat yang memerlukan kepimpinan untuk agenda perubahan. Hadir ke muktamar kali ini bukan sekadar retorik dan ucapan bersemangat mempertahankan kepimpinan ulama atau presiden tetapi bagaimana perwakilan akan mempertahankan prinsip parti, prinsip organisasi, prinsip strategi dan lebih penting bagaimana PAS harus berperanan dalam kerangka membina masadepan negara.

Selamat bermuktamar! – 18 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments